Monday, June 17, 2013

GENERASI MUDA MELAYU TIDAK TAHU SEJARAH KAUM SENDIRI

KUALA LUMPUR 16 Jun - Segelintir generasi muda termasuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) menerima secara bulat-bulat dakwaan kononnya negara ini bukan milik orang Melayu disebabkan mereka tidak mengetahui fakta mengenai sejarah kaum sendiri.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, mereka terlupa hakikat Malaysia merupakan sebahagian wilayah yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai Gugusan Kepulauan Melayu.

Menurut beliau, sebelum penjajahan kuasa-kuasa Barat, orang Melayu bebas bergerak di mana-mana sahaja dalam wilayah yang ditadbir kerajaan-kerajaan Melayu seperti di Melaka dan Majapahit.

Namun, tambahnya, apa yang menyedihkan terdapat pihak tertentu cuba menukar fakta itu dengan mendakwa orang Melayu adalah pendatang kerana Orang Asli merupakan penduduk asal negara ini.

"Malah, ada yang kata penduduk asal negara ini ialah kaum Cina. Yang sedihnya, ada orang Melayu bersetuju dengan dakwaan itu kerana mereka tidak tahu sejarah. Ini perkara yang perlu diperbetulkan," katanya sewaktu menjadi seorang daripada ahli panel dalam Forum Rakyat: Melayu Islam Bersatu? anjuran Sahabat Ulul Amri di sini malam tadi.

Musa turut menyelar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyebarkan dakyah liberalisme bagi menyeleweng pemikiran generasi muda tentang konsep kebebasan mutlak.

Beliau memberitahu, NGO terbabit perlu sedar konsep hak asasi manusia yang diamalkan di negara ini adalah tertakluk kepada batasan yang ditetapkan syariah.

"Bukan hak mutlak boleh tidur dengan isteri orang. Bukan hak mutlak boleh tidur lelaki dengan lelaki. Hak asasi Islam mesti mengikut batasan yang dibenarkan Allah SWT," katanya.

Sehubungan itu, tambah Musa, pihak berkuasa perlu bertindak tegas terhadap anasir-anasir yang menerapkan fahaman liberalisme kerana boleh menyebabkan orang Melayu dan Islam menjadi pendatang di negara sendiri sekiranya tidak ditangani.

Beliau juga meminta kerajaan memberi keutamaan terhadap usaha memerangi rasuah dalam kalangan ahli politik dan penjawat awam kerana gejala itu mengikis rasa hormat generasi muda Cina kepada orang Melayu.

"Generasi muda Cina membenci rasuah. Apabila orang Melayu menerima rasuah, mereka menganggap seperti menjual hak kepada orang lain dan akibatnya mereka tidak menghormati orang Melayu," katanya. – Utusan Online

No comments:

Post a Comment