Tuesday, November 20, 2012

KERAJAAN BENTANG USUL KECAM KERAS SERANGAN ISRAEL

PHNOM PENH- Kerajaan akan membentangkan usul tergempar bagi mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Dewan Rakyat, esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan itu bertujuan menzahirkan sokongan dan keprihatinan kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap tindakan tidak berperikemanusian Israel yang mencabuli undang-undang antarabangsa, kemanusiaan dan hak asasi manusia serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tegas beliau, tindakan rejim zionis itu adalah satu jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949 Mengenai Perlindungan Orang Awam Semasa Perang.

"Saya sudah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz membentangkan usul itu di Dewan Rakyat esok," katanya kepada wartawan Malaysia di akhir hari pertama Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 di sini, hari ini.

Usul berkenaan antaranya akan menggesa Dewan Rakyat untuk mengambil ketetapan seperti berikut:
  • Mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin.
  •  Menggesa Majlis Keselamatan PBB membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraan ke atas wilayah Palestin di Gaza melalui gencatan senjata.
  •  Menggesa Perhimpunan Agung PBB mengadakan Sesi Tergempar Khas Perhimpunan Agung di bawah Resolusi 377A(V) jika Majlis Keselamatan PBB gagal menjalankan tanggungjawabnya.
  •  Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.
  • Mengambil keputusan untuk menyampaikan resolusi ini kepada semua Dewan Perundangan dan Parlimen yang berkenaan, khasnya Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain dan Parlimen Kesatuan Eropah.
Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 di Peace Palace di sini yang bermula hari ini.

Najib berkata, Malaysia berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan kukuh untuk menggunakan kekerasan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas wilayah Palestin.

Dengan itu, katanya, Malaysia menolak tindakan hukuman kolektif yang diambil ke atas rakyat Palestin di Gaza.

"Malaysia juga berasa amat dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa terutama Majlis Keselamatan PBB untuk menghentikan dengan serta-merta keganasan Israel yang dilakukan ke atas wilayah Palestin di Gaza," katanya.

Perdana Menteri berkata, Mesyuarat Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ke-39 di Djibouti sudah mengeluarkan satu kenyataan bersama mengutuk serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza dan menyeru campurtangan Majlis Keselamatan PBB mencari jalan penyelesaian menamatkan konflik itu.

Pada mesyuarat itu, Malaysia mengecam serangan Israel dan menggesa Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan segera bagi menghentikan kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin.

Perdana Menteri berkata, beliau sendiri akan membangkitkan perkara itu ketika Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula esok. – UtusanOnline
MAHU HADI JADI PM CERMIN SIKAP BEREBUT-REBUT PEMBANGKANG – TUN M



KUALA LUMPUR: Hasrat PAS yang mahu Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi perdana menteri sekiranya cita-cita pakatan pembangkang memerintah tercapai, menunjukkan sikap berebut-rebut sesama mereka.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara sinis berkata jawatan itu patut diberi kepada Pengerusi DAP Karpal Singh.

"Belum jadi kerajaan sudah berebut-rebut, esok (kalau) dah jadi kerajaan bukan saja Hadi, Anwar (Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim) malah Karpal Singh pun nak jadi PM juga.

"Bagilah kepada dia. Teruk, lama dia berjuang...patut bagi Karpal Singh (jadi) perdana menteri Malaysia, yang amat berhormat...bila pencen dapat Tun," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Bantuan Kecemasan Gaza di sini hari ini.

Dr Mahathir yang juga presiden Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF) mengulas pendirian perwakilan Muktamar PAS ke-58 baru-baru ini yang mahu Abdul Hadi menjadi perdana menteri sekiranya kemenangan berpihak kepada pakatan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Ditanya mengapa DAP pula mahu Anwar menjadi perdana menteri, Dr Mahathir berkata, parti itu mahu mendapat kepercayaan daripada masyarakat Melayu di negara ini.

Mengenai kenyataan Anwar kepada akhbar Wall Street Journal awal tahun ini yang dilapor menyokong semua tindakan menjaga keselamatan Israel, beliau berkata, perkara itu timbul kerana mahukan sokongan Yahudi.

Dr Mahathir bagaimanapun meminta penyokong Anwar supaya tidak terlalu taksub dan fanatik tetapi menggunakan akal untuk menimbang segala perbuatan yang dilakukan pemimpin mereka itu.

"Kalau tanpa mengambil kira apa yang pemimpin buat, ia akan merosakkan negara," tegasnya.

Mengenai pendengaran oleh Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur mengenai Palestin hari ini, Dr Mahathir berkata selain menyenaraikan Israel dalam daftar jenayah perang, media perlu menyiarkan pelbagai kesalahan jenayah Israel untuk diadili masyarakat antarabangsa.

Tambah beliau, media Malaysia lebih bersifat terbuka dalam melaporkan kejadian sebenar berbanding media antarabangsa yang kebanyakannya dikuasai Yahudi.

Tabung yang dilancarkan itu bertujuan membantu mangsa serangan Zionis Israel sejak Rabu lepas di Semenanjung Gaza yang dilapor mengorbankan lebih 100 penduduk dan mencederakan 700 yang lain. – BERNAMA/BHarian
KAMERA AES DILETAK DI 'KAWASAN HITAM'
KUALA LUMPUR: Semua 831 lokasi pemasangan kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) disahkan sebagai kawasan hitam atau kawasan yang mencatatkan kadar kemalangan tertinggi di negara ini.

Perkara itu disahkan Pengarah Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jaafar Mohamed kepada BH semalam, sekali gus menafikan dakwaan lokasi pemasangan kamera itu sengaja diwujudkan untuk memerangkap pengguna jalan raya.

Beliau berkata, senarai kawasan berbahaya itu diperoleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Daripada senarai itu, mereka lakukan penyelidikan dan mengenal pasti 831 lokasi yang dianggap paling kritikal kerana kadar kemalangan yang lebih tinggi berbanding kawasan lain, katanya.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas keraguan sesetengah pihak mengenai pemilihan lokasi pemasangan kamera berkenaan yang dikatakan hanya bertujuan memerangkap pengguna jalan raya.

Jaafar berkata, walaupun kawasan itu dikenal pasti oleh MIROS, pemilihan akhir dilakukan kerajaan selepas mengambil kira laporan kadar kemalangan yang disediakan oleh PDRM.

Jadi dakwaan lokasi itu direka untuk memerangkap pengguna jalan raya supaya disaman memang tidak tepat dan sangat tidak berasas.
Semua maklumat itu dibuat berdasarkan data kemalangan dari simpanan PDRM, katanya.

Pemasangan kamera AES sehingga kini mendapat maklum balas negatif dari orang ramai walaupun keberkesanannya dalam mengurangkan kemalangan dan meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya telah terbukti.

Satu kajian keselamatan jalan raya peringkat global yang dijalankan oleh Perancis mendapati penggunaan kamera AES mampu mengurangkan kadar kemalangan sehingga 48 peratus berbanding negara yang tidak menggunakan sistem itu. -BHarian
DOA HANCUR SESAMA ISLAM HARAM: MUFTI

IPOH: Mendoakan dan mengaminkan kehancuran saudara sesama Islam adalah perbuatan bidaah yang hukumnya haram.

Justeru, menurut Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria mereka yang melakukannya perlu bertaubat.
Beliau menegaskan dakwaan UMNO murtad adalah tuduhan bersifat fitnah yang tidak mempunyai asas jelas dari segi hukum syarak.

Jika orang itu tidak kafir, tetapi dia menuduh kafir... jadi dia kafir. Justeru, orang itu kena bertaubat. Selain itu, tuduhan mengatakan murtad terhadap orang Islam lain tanpa asas kukuh adalah fitnah.

Selagi kita mengucap syahadah, kita menyampaikan pendapat dan mempertahankan Islam... bagaimana kita boleh menjatuhkan hukuman murtad (kepada orang lain).

Saya takut orang yang menghukum orang lain murtad akan berbalik kepada diri sendiri, katanya selepas perasmian Muzakarah Ulama dan Cendekiawan Islam 2012, di sini semalam. Perasmian disempurnakan Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Harussani berkata, perbuatan itu juga dibimbangi menyebabkan penyelewengan di kalangan umat Islam kerana ia dilakukan seorang pemimpin berpengaruh.
Dalam hadis membincangkan mengenai penyelewengan orang alim... kerana dia ada pengaruh dan mempunyai pengikut. Kalau itu (perbuatan mendoakan kehancuran dan menuduh orang lain murtad) dibuat secara penyelewengan, kaki (ahli) yang memuja dia mesti menyokong.

Apatah lagi perbuatan mendoakan kehancuran orang Islam adalah salah dan bertentangan dengan syariat Islam. Setiap Islam bersaudara dan wajib dilindungi serta dinasihati jika melakukan perbuatan tidak betul, katanya.

Beliau juga kesal PAS menjadikan perbezaan pendapat politik sebagai suatu kebencian sehingga bertindak melampau dan menuduh pihak lain. -BHarian
DAP TAK MAHU HADI JADI PM

Kuala Lumpur: DAP menolak cadangan Dewan Ulama PAS yang mahukan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Perdana Menteri jika pembangkang berkuasa di negara ini.

DAP tidak berganjak dengan ketetapan sebelum ini dan mahu jawatan itu diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, berkata ia adalah pendirian konsensus pembangkang dan tidak akan diubah.

“Berdasarkan apa yang dipersetujui dalam pakatan pembangkang selama ini, Perdana Menteri adalah Anwar. Kita kekal dengan apa yang dipersetujui dalam pakatan pembangkang sebelum ini,” katanya di lobi Parlimen, semalam.

Bagaimanapun, Dewan Pemuda PAS Pusat tetap tegas mahu Hadi sebagai Perdana Menteri.

Ketuanya, Nasruddin Hassan, berkata seperti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahukan Anwar, Pemuda PAS juga berhak menyatakan pandangan mengenai pemimpin mereka yang layak menyandang jawatan itu.

Tambahan pula, katanya, majoriti perwakilan Muktamar Tahunan PAS Ke-58 di Kelantan kelmarin jelas menyatakan mereka mahukan Abdul Hadi sebagai Perdana Menteri.
"Saya berpandangan itu adalah pandangan perwakilan mengenai ketokohan dan kredibiliti Tuan Guru Haji Hadi dan ini bukan perkara pelik seperti juga PKR dan DAP mencadangkan Anwar, katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Nasruddin berkata, perkara penting dalam memilih Perdana Menteri ialah individu beriman, bertaqkwa, mempunyai integriti, adil dan berwibawa untuk memimpin dengan baik.

Namun, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, ketika ditemui semalam, berkata Abdul Hadi sebelum ini sudah menjelaskan beliau tidak berminat menjadi Perdana Menteri, sebaliknya mahu menjadi khadam kepada rakyat.

Beliau berkongsi pandangan dengan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw sebelum ini bahawa kerusi Perdana Menteri hanya untuk Anwar.

Bagaimanapun, Abdul Hadi, pada hari terakhir muktamar menyatakan beliau bersedia menjadi Perdana Menteri jika itu dimahukan ahli.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, yang dikenali sebagai sekutu dan penyokong kuat Anwar enggan mengulas panjang mengenai pertelagahan itu. -BHarian
BELANJAWAN SELANGOR TIDAK BELA RAKYAT

SHAH ALAM: Belanjawan 2013 yang dibentangkan kerajaan Selangor yang dikuasai PKR, DAP dan PAS, tidak mempunyai sebarang keistimewaan kerana gagal menyediakan program pembangunan rakyat.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman, berkata belanjawan RM1.63 bilion dengan RM996.98 juta atau 61 peratus adalah untuk perbelanjaan yang dibentangkan, tidak merangkumi kesejahteraan petani dan usahawan.

Apabila meneliti belanjawan negeri 2013, kerajaan negeri tidak menyalurkan kepada program pembangunan rakyat seperti penyelesaian kepada masalah petani dan usahawan.

Dalam belanjawan kali ini, yang kita nampak projek mega saja, tiada pun tumpuan untuk menyelesaikan janji yang dibuat sebelum ini, katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Pembentangan Belanjawan 2013, DUN Selangor, di sini, semalam.

Dalam pembentangan bajet bertemakan Selangor Peneraju Ekonomi Malaysia itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan peruntukan berjumlah RM1.63 bilion dengan RM996.98 juta atau 61 peratus adalah untuk perbelanjaan mengurus, manakala perbelanjaan pembangunan berjumlah RM663.01 juta atau 39 peratus.

Selain itu, sejumlah RM100 juta diperuntukkan bagi memulakan pelaksanaan penggunaan Storm Water di hiliran sungai sebagai sumber air terawat.

Masing-masing RM50 juta lagi bagi membaiki dan menaik taraf sistem saliran milik Jabatan Pengairan dan Saliran serta membina rumah mampu milik pasang siap yang dikendalikan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Satim berkata, belanjawan dibentangkan itu juga adalah cubaan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada mempersoalkan kegagalan pakatan pembangkang menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya umum lalu.

Pengumuman projek mega untuk membina jambatan ketiga di Klang berjumlah RM300 juta hanyalah sebagai helah untuk menutup kelemahan mereka sebelum ini, katanya. -BHarian