Friday, March 29, 2013

JANGAN PERTIKAI KEDAULATAN SABAH - ABDUL RAHIM BAKRI

KUALA LUMPUR — Seorang anggota Parlimen dari Sabah hari ini berkata tiada sesiapa pun boleh mempertikai atau mempersoalkan kedaulatan negeri itu.

Anggota Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim berkata ketika Sabah bersetuju untuk memperoleh kemerdekaan daripada British pada 1963, pemimpin dan rakyat Sabah telah bersatupadu dan bersepakat dalam sebuah keluarga besar persekutuan Malaysia.

"Apa yang penting adalah keputusan tersebut turut mendapat pengiktirafan badan dunia iaitu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai badan sah dan diiktiraf masyarakat antarabangsa," katanya dalam kenyataan di sini.

Abdul Rahim, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, turut mengingatkan penduduk dan rakyat di luar bandar di negeri itu khususnya supaya tidak terbawa-bawa dengan budaya politik baharu iaitu 'matlamat menghalalkan cara' yang dianjurkan pihak tertentu.

Katanya rakyat perlu bijak membuat pertimbangan sekiranya timbul sebarang propaganda dan menilai keadaan mengikut kewajaran semasa kerana semua rakyat bertanggungjawab menjaga kedaulatan negara.

Beliau seterusnya menyeru rakyat agar bersama-sama mempertahan kedaulatan negara dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak demi menjaga integriti wilayah dan keselamatan negara. — Bernama/The Malaysian Insider
KERAJAAN SEMENTARA: SPR TIADA KUASA BUAT PERATURAN

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai kuasa untuk membuat peraturan berhubung kerajaan sementara, kata Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata ini kerana tiada sebarang peruntukan di bawah perlembagaan dan undang-undang yang membolehkan SPR berbuat demikian.

"Jika SPR ada peraturan berhubung perkara itu pun, belum tentu lagi mereka akan patuhinya," katanya ketika mengulas pertanyaan sama ada SPR boleh merangka peraturan apa yang perlu dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh kerajaan sementara.

Bagaimanapun, SPR berpandangan setiap kerajaan negeri dan persekutuan wajar ada peraturan mengenai kerajaan sementara.Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz meminta Pejabat Peguam Negara untuk menentukan segala garis panduan bagi sesebuah kerajaan sementara.

Dalam perkembangan lain, SPR menyangkal dakwaan kononnya agensi itu tidak memberi maklum balas berhubung surat yang dihantar oleh anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, pada 4 Mac lepas berhubung 4,637 pengundi meragukan.

"SPR setakat pagi ini belum menerima surat yang diperkatakan itu, tak tahulah kalau lepas ini baru surat itu sampai. Jika surat sudah diterima SPR sudah tentu akan ambil maklum dan membuat semakan," katanya. - Bernama/mStar
TARIKH AKHIR PEMBUBARAN PARLIMEN 30 APRIL – SPR

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis memperjelaskan bahawa tarikh sebenar pembubaran Dewan Rakyat secara automatik ialah pada 30 April dan bukan 28 April seperti yang banyak dilaporkan sebelum ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ini berikutan tarikh 28 April itu jatuh pada hari Ahad.

Beliau berkata tempoh matang dibawa ke hari Isnin, 29 April dan Dewan Rakyat akan terbubar secara automatik pada tengah malam hari itu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

"Perubahan tarikh itu adalah berdasarkan peraturan yang ditetapkan SPR dan disahkan oleh bahagian undang-undang suruhanjaya ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

"Ini adalah pengiraan yang dibuat oleh bahagian undang-undang SPR di mana ada tarikh-tarikh cuti yang tidak boleh dikira," katanya.

Sebelum ini, banyak pihak membuat andaian bahawa Dewan Rakyat sepatutnya terbubar sendiri pada 9 Mac lepas berikutan PRU ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008.

Bagaimanapun, tarikh cukup tempoh satu penggal atau lima tahun pilihan raya umum dikira berdasarkan tarikh hari pertama Dewan Rakyat bersidang selepas pilihan raya umum diadakan, bukan berdasarkan tarikh pilihan raya berlangsung.

Dewan Rakyat bersidang buat kali pertama pada 28 April 2008, iaitu 51 hari selepas tarikh PRU ke-12. - BERNAMA/mStar
PRU13: WAN AZIZAH BAYANG KEMUNGKINAN BERTANDING KERUSI DUN

SHAH ALAM: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Khamis membayangkan kemungkinan akan bertanding di kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-13 ini.

"Saya memang layak untuk bertanding di DUN, tapi perkara ini masih dalam perbincangan tidak formal," katanya kepada pemberita, di sini.

Dr Wan Azizah yang ditemui selepas penyampaian sumbangan kepada balu dan keluarga wira negara yang terkorban di Lahad Datu, ditanya mengenai desas-desus beliau akan bertanding di DUN pada pilihan raya umum kali ini.

Beliau yang dikaitkan dengan DUN Sementa dan satu kerusi DUN di Shah Alam juga hanya tersenyum ketika ditanya mengenai perkara itu.

Pada pilihan raya umum 2008, Dr Wan Azizah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 13,388 undi, mengatasi calon Barisan Nasional Datuk Pirdaus Ismail.

Beliau bagaimanapun meletak jawatan pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu.

Sementara itu pada sidang media berasingan, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan beliau menangguhkan pembubaran DUN Selangor Februari lepas kerana ditentang beberapa anggota exco dan pemimpin parti.

Sebaliknya kata beliau perkara itu merupakan strategi parti.

"Kita ada strategi A, B atau C, seperti juga yang berlaku di DUN Negeri Sembilan yang dibiarkan terbubar dengan sendirinya, ia sangat mengelirukan," katanya selepas merasmikan Sistem Aplikasi Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

Abdul Khalid pada Selasa lepas mengumumkan DUN Selangor akan dibubarkan pada 22 April depan.

Beliau sebelum ini pernah mengumumkan untuk membubarkan DUN Selangor selepas sambutan Cap Goh Mei pada Februari lepas. - BERNAMA/mStar
MANIFESTO PR: SPR KESAL PAKATAN TOLAK  TAWARAN RTM 

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kesal tawaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyiarkan manifesto parti politik selama 10 minit sempena Pilihan Raya 2013 ditolak mentah-mentah pemimpin Pakatan Rakyat (PR), kata pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Abdul Aziz berkata, tawaran yang diumumkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim itu, yang membenarkan semua parti politik membentangkan manifesto menerusi siaran RTM selama 10 minit, perlu diteliti terlebih dahulu.

"Mereka (Pakatan Rakyat) tuduh kita tak beri ruang, SPR usahakan bersungguh-sungguh kepada semua parti politik supaya dasar politik mereka dapat didengar dan dilihat rakyat.

"Memang betul disebut 10 minit, tapi perincian syarat itu kami belum terima lagi, mungkin 10 minit itu berkali-kali, namun pada dasarnya kita dan dapatkan ruang untuk mereka bercakap," katanya.

Abdul Aziz berkata, beliau merayu agar PR mempertimbangkan semula tawaran yang telah diusahakan SPR itu dan jika timbul rasa tidak puas hati, mereka boleh menyatakan syor agar dapat diperhalusi sekali gus menepis dakwaan mereka bahawa SPR berat sebelah dalam memberi liputan media yang adil kepada mereka sepanjang proses berkempen pada pilihan raya umum akan datang.

"SPR bercadang sebaik saja dapat garis panduan ini daripada Kementerian Penerangan, kita nak panggil semua parti politik.

"Belum dapat butiran lagi sudah ditolak begitu saja, walhal saya banyak kali turun naik untuk dapatkan ruang siaran itu kepada mereka, mereka sepatutnya hargai, bukan tolak mentah-mentah," katanya.

Isnin lalu, DAP menolak tawaran RTM untuk menyiarkan manifesto selama 10 minit, menurut Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng.

"Mereka melayan kita macam peminta sedekah, 10 minit waktu siaran tidak bermakna kebebasan media," kata Lim.

Ia diikuti pula dengan PAS, apabila setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali turut mengikut jejak DAP menolak tawaran tersebut.

"Kami tolak kerana ia adalah rakaman bukan siaran langsung," kata setiausaha agung PAS itu kepada The Malaysian Insider.

"Boleh jadi apa-apa kalau bukan siaran langsung," katanya lagi, apabila ditanya jika PAS bimbang siaran tersebut diolah oleh RTM.

Rabu lalu, ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan tawaran tersebut sebagai "memperolok-olokkan kebebasan media".

Jumaat lalu, Rais mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memberikan setiap parti masa selama 10 minit untuk mewar-warkan intipati manifesto mereka, menjelang Pilihan Raya 2013.

Rais berkata peluang itu diberikan sebagai menghormati sistem demokrasi di dalam negara ini.— The Malaysian Insider

Thursday, March 28, 2013

PRU13: PERLU TAMPILKAN CALON MUDA

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menampilkan muka-muka baharu yang muda sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pengisian calon-calon tersebut wajar bagi membantu Najib mengukuhkan sokongan dan pemerintahan Perdana Menteri itu kelak.

"Saya setuju dengan pandangan Tun Daim Zainuddin, mana yang lama sepatutnya diketepikan, beri peluang kepada muka-muka baharu pula," kata beliau dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Dunia Mengenai Inovasi Global anjuran Yayasan Kemajuan Kehidupan Manusia di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Daim yang juga bekas Menteri Kewangan di era kepimpinan beliau bahawa Najib perlu membuat rombakan Kabinet dengan pengisian muka-muka baharu.

Daim dalam wawancara dengan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini menegaskan, kebanyakan barisan Kabinet sekarang sudah melepasi waktu.

Sementara itu, Tun Dr. Mahathir menjangkakan pembubaran Parlimen akan dibuat sedikit masa lagi.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, jangkaan itu berdasarkan ada negeri-negeri yang akan terbubar dengan sendirinya sekiranya pembubaran Parlimen tidak dibuat dalam masa terdekat ini.

"Sebenarnya tempoh 'edah' Parlimen pun semakin hampir, sudah tentu (pembubaran) tidak lama lagi," kata beliau dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Dunia Mengenai Inovasi Global anjuran Yayasan Kemajuan Kehidupan Manusia di sini hari ini.

Dr. Mahathir yang diasak dengan soalan yang sama, secara berseloroh berkata: "Kalau saya masih menjadi Perdana Menteri, tahun lalu sudah bubar (Parlimen). Tapi saya bukan Perdana Menteri lagi."

Mengulas mengenai hasrat Lim Kit Siang untuk bertanding di Parlimen Gelang Patah, Dr. Mahathir menyifatkan Penasihat DAP itu sengaja mempertaruhkan nasibnya untuk menguji kekuatan BN di negeri itu.

Secara sinikal beliau berkata, Kit Siang sebenarnya mahu melihat pandangan dan penerimaan rakyat Johor terhadap parti itu.

"Dia (Kit Siang) pun tahu BN mempunyai penguasaan besar di Johor tetapi kalau dia rasa dia boleh diterima di sana biarlah.

"Kita lihat sahaja keputusan pilihan raya nanti," ujar beliau lagi.

Minggu lalu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan telah memberi laluan kepada Kit Siang untuk bertanding kerusi parlimen Gelang Patah pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Perkara itu diumumkan sendiri oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. –Utusan Online