Thursday, November 8, 2012

PEMUDA UMNO CADANG HENTIKAN SEMENTARA AES

PARIT - Pergerakan Pemuda Umno mencadangkan pengeluaran saman terhadap pesalah jalan raya yang dikesan melalui Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dihentikan sementara sehingga pengguna benar-benar bersedia dengan sistem tersebut.
  
Exco Pergerakan Pemuda Umno Mohd Hisamuddin Yahaya berkata idea penggunaan AES dilihat baik dan mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, namun pelaksanaannya tidak dirancang dengan baik.
  
Katanya Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepatutnya menjalankan kempen secara berterusan terlebih dahulu bagi memastikan orang ramai benar-benar faham dengan hasrat murni kerajaan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Bercakap kepada pemberita selepas Program Pemuda Prihatin Turun Padang di Kampung Sepakat Jaya, Titi Gantung dekat sini hari ini, beliau menyarankan pihak kementerian supaya menggunakan sepenuhnya radio, televisyen serta media cetak untuk menjalankan kempen itu.
  
Selain itu, katanya pihak berkuasa juga perlu meletakkan tanda amaran terlebih dahulu, contohnya kira-kira satu kilometer dari tempat AES dipasang dan beberapa lagi papan tanda peringatan sebelum sampai ke lokasi berkenaan.
 
"Jika pengguna masih berdegil dan memandu laju, baru lah disaman. Orang ramai pun tidak akan marah lagi dengan kerajaan.
  
"Biar ia dijalankan dalam tempoh percubaan. Mungkin perlu ambil masa beberapa bulan. Buat masa ini hentikan dulu pengeluaran saman," katanya.
  
Mohd Hisamuddin berkata bagi meyakinkan lagi pengguna, JPJ juga diminta supaya mempamerkan statistik kadar kemalangan jalan raya di tempat peralatan AES itu dipasang.
  
"Jadi pengguna tidak boleh mempertikaikan lagi pemasangan AES di kawasan ia ditempatkan," katanya.  - Bernama
GURU BERIJAZAH NAIK GRED DG41 TANPA TEMU DUGA

FotoSeremban: Guru, guru besar dan pentadbir cemerlang yang memiliki ijazah sarjana muda akan dilantik terus ke gred DG41 tanpa temuduga mulai tahun depan.

Kumpulan itu yang memperoleh ijazah melalui pengajian separuh masa atau pengajian jarak jauh (PJJ) boleh memohon terus kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran SPP untuk dikecualikan daripada ditemuduga.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan SPP itu bertujuan menyokong usaha Kementerian Pelajaran meningkatkan latihan dalam perkhidmatan kumpulan pendidik di negara ini.

Cepat proses kenaikan pangkat

“Langkah ini dibuat bagi mempercepatkan proses kenaikan gred kerana mereka terbukti cemerlang,” katanya ketika mengumumkan perkara itu dalam ucapan perasmiannya pada Persidangan Perkhidmatan Pendidikan di sini, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, SPP turut mengecualikan temu duga bagi pelantikan guru baru yang cemerlang dalam akademik dan ikhtisas dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, SPP mula mengenal pasti calon terbabit ketika pemilihan awal bakal guru.

Sehubungan itu, katanya semakan semula sistem pelajaran dan organisasi IPGM dan IPT perlu dibuat bagi melahirkan warga pendidik berkualiti dan cemerlang.

2,960 orang kelompok pertama

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, kajian Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKPT) mendapati hanya 50 peratus pengajian disampaikan dengan berkesan atau memuaskan.

Bulan lalu, beliau mengumumkan calon guru yang bakal dipilih ialah 30 peratus di kalangan mereka dengan keputusan 9A dan berminat dalam bidang perguruan.

Beliau berkata, seramai 2,960 orang kelompok pertama graduan IPGM dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang pendidikan sebelum 1 Julai, ditempatkan sementara oleh Kementerian Pelajaran mulai 16 Oktober.

Katanya, calon berijazah selepas Jun seramai 7,755, perlu mengemukakan permohonan kepada SPP mulai 1 November secara online, melalui portal SPP (untuk calon IPGM) atau JobsMalaysia (calon IPTA). – BHarian

KD: Pastinya ini adalah berita baik yang ditunggu-tunggu oleh semua guru berijazah. Diharapkan semoga selepas ini, perjawatan lain juga turut diberi perhatin serta dinaiktarafkan.
MB KHALID MINTA JAIS SIASAT NURUL IZZAH

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) perlu  melakukan siasatan ke atas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar berhubung kenyataannya berkaitan dengan kebebasan beragama, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Beliau berkata siasatan itu perlu bagi mengelakkan umat Islam terkeliru, dan memastikan tiada impak negatif terhadap umat Islam berikutan kenyataan itu.

" Saya menyokong penyiasatan ini dan tindakan yang akan dilaksanakan Jais itu adalah untuk sesuatu perkara yang positif, tiada orang Islam yang mengkehendaki umatnya meninggalkan  agama.

"Kita mahu jati diri umat Islam itu kukuh dan ini adalah tanggungjawab seorang Islam untuk menjaga umat Islam yang lain," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita yang memetik Nurul Izzah sebagai berkata bahawa setiap rakyat di negara ini termasuk orang Melayu tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama-agama tertentu.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid yang juga merupakan Exco Hal Ehwal Islam negeri turut bersetuju sekiranya Nurul Izzah tampil untuk memberikan penjelasan berhubung kenyataannya itu.

"Setiap laporan yang dikeluarkan media berhubung isu ini adalah berbeza-beza dan saya tidak pasti mana kenyataan yang benar. Oleh itu saya bersetuju sekiranya beliau (Nurul Izzah) mahu memberikan penjelasan mengenai perkara itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata beliau akan menangguhkan cadangan menubuhkan jawatankuasa bertindak bebas untuk mengkaji pembinaan dua blok kondominium 29 tingkat berhampiran kuil di Batu Caves, kerana pihaknya masih belum menerima kata putus dari individu yang dipilih untuk menganggotai jawatankuasa itu.

"Individu yang dipilih itu merupakan bekas peguam, ahli geologi dan perancang bandar...Mereka ini belum memutuskan untuk menganggotai jawatankuasa ini, jadi kita menangguhkan dulu cadangan menubuhkan jawatankuasa tersebut sehingga mendapat persetujuan mereka," katanya.

Sebelum ini, Abdul Khalid mengumumkan akan membentuk sebuah jawatankuasa bertindak bebas berikutan cadangan pembinaan kondominium itu dibantah penduduk.- Bernama/SinarHarian
'USAH JADIKAN ISLAM ALAT POLITIK PARTI'

Dr  Raja Nazrin bertitah pada majlis Syarahan Perdana Budaya bertajuk Institusi Raja Berperlembagaan: Kelangsungan Negara Bangsa.PETALING JAYA: Agama Islam tidak seharusnya dijadikan alat untuk kepentingan politik di kalangan umat Islam, apatah lagi bukan Islam.

Pemangku Raja Perak, Dr Raja Nazrin Shah, bertitah sensitiviti agama tidak mengizinkan perkara berkaitan agama diperdebat secara terbuka kerana yang kurang arif berkemungkinan terlajak kata sehingga memetik contoh yang jahil.

Titah baginda, perbuatan melanggar sempadan agama lain secara keterlaluan dan terbuka dibimbangi mencetuskan tragedi buruk dan bagi mengelaknya, perbuatan berkenaan perlu dihentikan segera.

“Kebelakangan ini, garis sempadan menyentuh agama Islam kelihatan semakin berani dilanggar, malah ada di kalangan bukan Islam yang semakin lantang mencabar perkara berkaitan Islam melalui ucapan bernada mempersenda syariat, memperkecilkan akidah dan merendah-rendahkan Islam,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada majlis Syarahan Perdana Budaya bertema ‘Institusi Raja Berperlembagaan: Kelangsungan Negara Bangsa’ anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, di Damansara, di sini semalam. Hadir sama, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Belajar daripada sejarah

Raja Nazrin bertitah, perbuatan mempersenda Islam melanggar sempadan, adat resam beragama secara aman dan damai, sekali gus menghiris hati umat Islam.

Titah baginda, tatasusila menghormati agama lain, tidak memperkecilkan agama lain dan tidak mencampuri agama lain wajib dipatuhi, selaras ayat tiga hingga enam Surah Al-Kafirun.

“Perkara berkaitan Islam terletak di bawah bidang kuasa Raja-Raja dan kuasa Raja sebagai ketua agama wajib dihormati. 
Pintu istana sentiasa terbuka untuk membolehkan siapa juga berhasrat menyembahkan pandangan melalui perbincangan secara tertutup tanpa perlu diuar-uarkan,” titahnya.

Raja Nazrin juga mahu rakyat belajar daripada sejarah supaya peristiwa pahit di luar jangkaan pada 13 Mei iaitu susulan Pilihan Raya Umum pada 1969 tidak berulang. - BHarian