Monday, December 16, 2013

2014 TAHUN MENCABAR BAGI RAKYAT MALAYSIA
Cover 16
Tahun 2014 akan menjadi masa paling mencabar kepada masyarakat terutama mereka berpendapatan rendah dan sederhana kerana harga barang serta perkhidmatan di negara ini, naik serentak.

Selepas PRU13, kerajaan mengumumkan satu demi satu kenaikan harga barang dan perkhidmatan, atau pengurangan serta pemansuhan subsidi, berselang dalam tempoh sebulan, sejak September lalu.

Bermula dengan pengurangan subsidi yang menyebabkan kenaikan petroleum RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, diikuti pemansuhan subsidi gula 34 sen, kemudian peningkatan tarif elektrik 4.99 sen satu kilowat sejam (KWJ), semakan semula kadar gas, tambang LRT serta monorel dan kadar tol membabitkan 13 lebuh raya  seolah-olah membentuk satu siri kenaikan harga.

Semua pengumuman yang dilakukan secara ‘bertindan’ itu membuatkan rakyat tidak senang duduk, malah ada pihak menganggapnya sebagai peningkatan harga paling buruk sejak negara merdeka, 31 Ogos 1957.

Sejak harga minyak naik, 3 September lalu, masyarakat mula berjimat kerana bahan api dianggap perkara penting kerana mempengaruhi kehidupan seharian. Ini kerana, minyak adalah sumber asas bahan api penentu indeks harga pengguna (IHP).

Apabila harga minyak naik, maka kos pengangkutan akan bertambah termasuklah pengangkutan barangan. Secara tidak langsung, harga barang keperluan seperti beras, ayam, sayur dan ikan melambung tinggi.

Di negara ini, kenaikan harga minyak sangat berkait terhadap kenaikan harga barang lain; malah barangan yang tidak berhubung langsung dengan minyak pun turut naik.

Belum reda dengan kenaikan itu, masyarakat semakin resah apabila subsidi gula dimansuhkan, sebulan kemudian. Ada sesetengah pihak tidak kisah dengan kenaikan tersebut sebab mereka jarang gunakan gula di rumah, tetapi kesan rantaian terpaksa ditanggung pengguna kerana harga kuih muih dan air di kedai ‘melangit’!

Bukan itu sahaja, pengumuman kenaikan kadar tarif elektrik bermula bulan depan semakin ‘menghimpit’ masyarakat kerana tentu mengundang kesan rantaian lebih besar.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan akan mengkaji semula tambang LRT dan monorel, pengangkutan awam alternatif pengguna di bandar yang semakin menekan golongan miskin bandar.
Kadar tol juga dikhabarkan akan naik melibatkan 13 lebuh raya di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menyatakan, kenaikan kadar tol tidak dapat dielak kerana ia terkandung dalam perjanjian konsesi.

Terbaru, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif mengumumkan untuk menaikkan tambang bas sekolah sebanyak 40 peratus bermula 1 Januari depan jika SPAD tidak mengumumkan kenaikan kadar baru, hujung tahun ini.

Semua kenaikan itu dikatakan berkaitan dengan program rasionalisasi subsidi sejak dilaksanakan pada 2010, bagaikan membiarkan rakyat terbeban untuk membeli barang keperluan dengan kadar pendapatan yang tidak seiring dengan kenaikan harga barang.

Rakyat semakin ‘tersepit’ apabila  kadar gaji tidak seiring dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan di dalam negara.

Malah paling dikesalkan Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan berlaku pembaziran wang kerajaan.

Persoalannya, kenapa kenaikan harga itu dibuat dalam tempoh yang singkat? Tidakkah kenaikan itu boleh dibuat dalam jumlah lebih kecil atau secara berperingkat?

Yang pasti, keperluan rakyat perlu diutamakan kerana matlamat negara maju tidak bermakna jika masyarakat ‘menderita’ dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Sumber: Sinar Harian

KENAIKAN KADAR ELEKTRIK, TOL: KERAJAAN JUGA PERLU BERJIMAT DEMI RAKYAT

SHAH ALAM – Kerajaan disaran melakukan penjimatan dalam urusan perbelanjaan jika mahu mengurangkan subsidi barangan  serta perkhidmatan.

Ketua Eksekutif Institusi Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan berkata, pemimpin kerajaan digesa  melakukan perkara itu demi keadilan rakyat yang terpaksa menanggung beban kenaikan harga barangan secara mendadak disebabkan tindakan itu menjelang 2014.

“Rakyat memang ada hak  yang sangat kuat untuk rasa tidak senang hati dengan kenaikan harga barangan disebabkan pengurangan subsidi berkuat kuasa tahun depan.

“Pastinya rakyat marah dan kecewa dengan tindakan itu yang pada masa sama pemimpin sendiri tidak berusaha untuk kurangkan perbelanjaan kerajaan,” katanya.
   
Menurut Wan Saiful, kerajaan boleh mengambil inisiatif mengurangkan perbelanjaan dengan penjimatan kos guna elektrik di semua jabatan kerajaan termasuk kos perjalanan pemimpinnya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, kerajaan harus menilai dan menimbang semula keputusan tersebut.

Menurutnya, sebolehnya pengurangan subsidi perlu dilakukan secara berperingkat termasuklah kenaikan kadar tol baharu diumumkan kelmarin, agar tidak terlalu membebankan rakyat.

“Kerajaan terlebih dahulu perlu mendidik masyarakat menjadi rasional dengan kenaikan itu, supaya lebih bersedia.

"Tambahan kenaikan semua barang tersebut ada kaitan dengan rakyat di mana akan beri impak besar kepada perkara lain,” katanya, semalam.

Beliau berkata, pengurangan kadar tol juga pastinya memberi kesan kepada pengundi bandar terutama Kuala Lumpur terhadap sokongan mereka kepada BN.

“Tol sememangnya banyak di kawasan Selangor dan Kuala Lumpur, pastinya akan beri kesan pengundian pada masa akan datang,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

KENAIKAN KADAR TOL: RAKYAT UMPAMA ‘SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA’
SHAH ALAM -Peribahasa ‘ibarat sudah jatuh ditimpa tangga’ sesuai untuk situasi rakyat yang semakin terhimpit dengan kesan kenaikan yang bakal dialami pada 2014, kata Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman.
 
Beliau berkata demikian mengulas pengumuman kerajaan yang bakal menaikkan kadar tol di 13 lebuh raya terlibat susulan perjanjian konsesi yang menyatakan kadar itu perlu disemak dan dinaikkan pada 2011.

“Apabila mendengar kenaikan tol ini, saya tidak terkata lagi. Baharu sahaja rakyat dikhabarkan kenaikan tarif elektrik, gula, minyak, ini tol pula.

“Kita rakyat susah mahu faham dengan tindakan kerajaan kerana setiap kali yang diumumkan syarikat konsesi mendapat keuntungan berganda, kerajaan juga mendapat pulangan baik, tapi rakyat yang susah akhirnya dengan kadar tol dinaikkan,” katanya.

Kata beliau, jika kerajaan mahu menaikkan harga tol, namun tahap prestasi jalan dan ciri-ciri keselamatan masih ditahap yang sama, pastinya amat tidak bermakna bagi rakyat.

“Kalau sepanjang jalan di lebuh raya dengan kelajuan 110km, contohnya hanya sejam sahaja boleh sampai ke Melaka dari Kuala Lumpur, mungkin rakyat tidak akan berkira.

“Tapi kalau bayar tol, jalan tetap sesak dan ciri keselamatan tidak diendahkan apa guna bayar tol yang mahal-mahal,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya jika sekalipun kenaikan kadar tol tidak dapat dielakkan, kerajaan sepatutnya bertindak menyemak sekali lagi perjanjian antara syarikat konsesi supaya tidak berlaku perjanjian berat sebelah.

“Ini penting, kerajaan perlu semak kembali perjanjian itu supaya tidak berlaku tindakan kurang cerdik daripada pihak mereka semasa menandatangani perjanjian dengan syarikat konsesi.

“Kita tidak mahu berlaku berat sebelah, mungkin masa tandatangan itu, diambil kira jumlah kereta yang lalu hanya berapa dan sekarang pula sudah berapa jumlah kereta yang melalui lebuh raya itu,” kata beliau.

Sehubungan itu, kerajaan disaran lebih bijak menguruskan ekonomi dengan mengutamakan rakyat supaya tidak terkesan berikutan penarikan subsidi dan kenaikan harga barangan.

“Rasanya di setiap lebuh raya ada papan iklan yang pastinya mendapat keuntungan berlipat kali ganda. Ini belum lagi termasuk dengan gerai di kawasan rehat yang menawarkan pelbagai barangan makanan dan sebagainya kepada pengguna, pastinya mendapat keuntungan,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

KD: Berikut adalah jadual kadar baru tol yang dijangkakan akan berkuat kuasa pada tahun hadapan :-

LEBUHRAYA SUNGAI BESI BESRAYA - RM1.30 kepada RM2.00

LEBUHRAYA BARU PANTAI (NPE) - RM1.60 kepada RM2.00

LEBUHRAYA DAMASARA/PUCHONG (LDP) - RM1.60 kepada RM2.10

LEBUHRAYA BERTINGKAT AMPANG (AKLEH) - RM1.50 kepada RM2.50

LEBUHRAYA KAJANG (SILK) - RM1.00 kepada RM1.30

LEBUHRAYA KL-PUTRAJAYA (MEX) - RM2.50 kepada RM3.50

LEBUHRAYA KAJANG-SEREMBAN (LEKAS) - RMRM1.90 kepada RM2.30

LEBUHRAYA TRAFIK KL BARAT (SPRINT) - RM1.50 kepada RM2.50

PANTAI - RM1.50 kepada RM2.50

DAMANSARA - RM1.00 kepada RM1.50

KIARA - RM2.00 kepada RM3.00

LEBUHRAYA LEBAH KLANG SELATAN (SKVE) - RM14.96c/KM kepada 16.46c/KM

LEBUHRAYA KORIDOR GUTHRIE (GCE) - RM1.40 kepada RM1.90

LEBUHRAYA SMART - RM2.00 kepada RM3.00

SYIAH: PEMIMPIN PAS PERSOAL TINDAKAN KDN
SHAH ALAM - Jika kerajaan serius mengambil tindakan terhadap pengikut Syiah,  sewajarnya individu yang mengaku menganut ajaran itu yang perlu ditahan bukannya orang yang tidak mengaku ahli Syiah.

Demikian menurut Ahli Jawatankuasa Pas, Idris Ahmad yang menyifatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang memaksa Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu supaya mengemukakan bukti bukan pengikut Syiah merupakan perkara yang tidak munasabah.

“Sebelum ini kerajaan sendiri pernah umumkan jumlah pengikut Syiah, dan ada individu yang mengaku sebagai pengikut ajaran Syiah, jadi kenapa mereka pula tidak ditahan?

“Tapi yang disibukkan sekarang adalah orang yang tidak mengaku Syiah, ini yang jadi bahan ketawa orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, tindakan KDN yang ‘memburu’ Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu hanya untuk memberikan imej buruk kepada Pas.

“Ini semua ‘nasi tambah’ kepada isu lain untuk jatuhkan Pas. Sebelum ini isu agama, Melayu, raja dan sebagainya.

“Kalau betul KDN ada bukti, tolong dedahkan kerana kita juga mahu tahu bukti yang bagaimana untuk kaitkan Mat Sabu dengan Syiah, tidak perlu untuk beritahu bukti gred A, B atau pun C,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Sehubungan itu katanya, KDN perlu bertindak bukan hanya  bercakap memandangkan maklumat sudah pun ada untuk menahan pengikut Syiah.

“Kalau bukti sudah ada, buat apa suruh orang yang dituduh bertindak untuk menunjukkan bukti beliau tidak terlibat.

“Sekarang ini siapa yang mendakwa dan siapa pula yang didakwa. Jadi rasanya tidak perlu orang yang dituduh menampilkan bukti. Dakwa sahaja pihak yang mengikut  ajaran Syiah,” kata beliau.

Kelmarin, Penolong Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam  KDN, Dr Zamihan Mat Zain Al Ghari berkata, Mat Sabu perlu kemukakan bukti jika dirinya tidak terlibat fahaman Syiah.

Kata Zamihan, Mat Sabu perlu berhujah secara ilmiah bagi menafikan 10 bukti KDN yang mengaitkannya dengan fahaman Syiah.

Pada 12 Disember lalu, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi mendedahkan 10 bukti yang mengaitkan Mat Sabu dengan ajaran Syiah antaranya pernah ‘berselawat’ sebagaimana penganut Syiah pada satu sesi ceramah Pas, di Arau, Perlis.

Sumber: Sinar Harian

MAT SABU SURUH KDN CARI BUKTI TERLIBAT SYIAH

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, tidak ada keperluan untuk dirinya membuktikan bahawa beliau bukan pengamal ajaran Syiah, sebaliknya mereka yang menuduhnya lah perlu mengemukakan bukti sahih bagi mengaitkan dirinya dengan fahaman itu.

Malah katanya, meminta orang yang dituduh mengemukakan bukti bagi menafikan dakwaan ke atas dirinya juga bukan suatu amalan di negara ini.

"Bukti mesti dari yang menuduh... itulah amalan di Malaysia," ujarnya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Sinar Harian Online.

Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu semalam digesa mengemukakan bukti bahawa dirinya tidak terlibat dengan fahaman Syiah.

Penolong setiausaha bahagian keselamatan dan ketenteraman awam KDN, Dr Zamihan Mat Zain Al Ghari berkata, Mat Sabu juga perlu berhujah secara ilmiah bagi menafikan 10 bukti yang dikeluarkan KDN Khamis lalu. 

"... tidak kiralah sama ada secara bersemuka dengan KDN, jawab dalam YouTube atau dalam surat khabar," katanya.

Beliau yang dipetik Mingguan Malaysia hari ini berkata, individu terdekat dan rapat dengan Mat Sabu turut menyatakan kesediaan untuk menjadi saksi mahkamah jika diperlukan.

"Ada yang 'sekapal' dari sudut politik, ada juga pengikut Syiah yang sudah bertaubat. Mereka ini rapat dengan pemimpin tersebut, orang yang berkawan dengannya, yang jadi 'anak buah' dia.

"Mereka menyaksikan apa yang dia cakap, buat dan libatkan aktiviti-aktiviti berkaitan Syiah.

"Mereka juga pernah bersama-sama dia ke Iran dan menghadiri mesyuarat-mesyuarat kumpulan Syiah," katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberitahu, 10 bukti yang didedahkan kementeriannya sebelum ini hanyalah bukti gred B.

Ujarnya, KDN akan menyerahkan semua bukti yang mengaitkan orang nombor dua Pas itu kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk tindakan lanjut.
  
"Segala bukti termasuk bukti gred A akan diserahkan kepada Jakim kerana kami (KDN) terlibat soal keselamatan manakala soal akidah kita serah kepada pihak berkuasa agama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Air Bagan Datoh, hari ini.
  
Antara lain bukti yang didedah kementerian itu Khamis lalu ialah Mat Sabu didakwa menghadiri kelas agama anjuran dua pemimpin Syiah di Bukit Merah pada 2011 dan sering menyatakan rasa kagumnya terhadap pentadbiran pemimpin Syiah di Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini.

Sumber: Sinar Harian