Showing posts with label KDN. Show all posts
Showing posts with label KDN. Show all posts

Monday, December 16, 2013

SYIAH: PEMIMPIN PAS PERSOAL TINDAKAN KDN
SHAH ALAM - Jika kerajaan serius mengambil tindakan terhadap pengikut Syiah,  sewajarnya individu yang mengaku menganut ajaran itu yang perlu ditahan bukannya orang yang tidak mengaku ahli Syiah.

Demikian menurut Ahli Jawatankuasa Pas, Idris Ahmad yang menyifatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang memaksa Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu supaya mengemukakan bukti bukan pengikut Syiah merupakan perkara yang tidak munasabah.

“Sebelum ini kerajaan sendiri pernah umumkan jumlah pengikut Syiah, dan ada individu yang mengaku sebagai pengikut ajaran Syiah, jadi kenapa mereka pula tidak ditahan?

“Tapi yang disibukkan sekarang adalah orang yang tidak mengaku Syiah, ini yang jadi bahan ketawa orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, tindakan KDN yang ‘memburu’ Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu hanya untuk memberikan imej buruk kepada Pas.

“Ini semua ‘nasi tambah’ kepada isu lain untuk jatuhkan Pas. Sebelum ini isu agama, Melayu, raja dan sebagainya.

“Kalau betul KDN ada bukti, tolong dedahkan kerana kita juga mahu tahu bukti yang bagaimana untuk kaitkan Mat Sabu dengan Syiah, tidak perlu untuk beritahu bukti gred A, B atau pun C,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Sehubungan itu katanya, KDN perlu bertindak bukan hanya  bercakap memandangkan maklumat sudah pun ada untuk menahan pengikut Syiah.

“Kalau bukti sudah ada, buat apa suruh orang yang dituduh bertindak untuk menunjukkan bukti beliau tidak terlibat.

“Sekarang ini siapa yang mendakwa dan siapa pula yang didakwa. Jadi rasanya tidak perlu orang yang dituduh menampilkan bukti. Dakwa sahaja pihak yang mengikut  ajaran Syiah,” kata beliau.

Kelmarin, Penolong Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam  KDN, Dr Zamihan Mat Zain Al Ghari berkata, Mat Sabu perlu kemukakan bukti jika dirinya tidak terlibat fahaman Syiah.

Kata Zamihan, Mat Sabu perlu berhujah secara ilmiah bagi menafikan 10 bukti KDN yang mengaitkannya dengan fahaman Syiah.

Pada 12 Disember lalu, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi mendedahkan 10 bukti yang mengaitkan Mat Sabu dengan ajaran Syiah antaranya pernah ‘berselawat’ sebagaimana penganut Syiah pada satu sesi ceramah Pas, di Arau, Perlis.

Sumber: Sinar Harian

Thursday, August 29, 2013

KDN UMUM 49 PERTUBUHAN HARAM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan 49 petubuhan haram di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Senarai itu dikeluarkan pada Khamis oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan mengandungi beberapa kumpulan terkenal seperti Geng 04, Geng 08 dan Geng 36.

Berikut adalah senarai penuh pertubuhan haram itu:

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), 
Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi 
mendedahkan senarai lengkap 49 kumpulan kongsi gelap di seluruh negara
1) Geng 04
2) Geng 08
3) Double 7
4) Tiga Line
5) Geng 30
6) Geng 38
7) Geng 24
8) Geng 18
9) Geng 36
10) Geng 21
11) Ang Soon Thong
12) Wah Kee
13) Sio Sam Ong
14) PNEH
15) Hong Hong San
16) Hai San
17) Sin Ang Bin
18) New Cell 20
19) Jit It Hai
20) Sio Koon Tong
21) Gee Lam Kor
22) Gee Ah Eng
23) Loh Kuan
24) Tiang Yee Tong
25) Geng Leng Hor
26) Geng 35
27) Geng 303
28) Geng Satu Hati
29) ATAP
30) Hung Ann
31) Sui Yup
32) Otai
33) Borneo Red EMP
34) Ah Ngau
35) Batu Tiga
36) Ah Feng
37) Batu 10
38) Sibu Ti
39) Ah Seng
40) Ah Chin
41) Lee Lung
42) Lo Han
43) Sg Merah
44) Sg Badut
45) Ting Ching Lee
46) Tua Cak Lee
47) Teksi Station
48) Pintu Merah
49) Krokop

Sumber: mStar 

Monday, May 20, 2013


TINDAKAN TEGAS DIAMBIL TERHADAP PESERTA HIMPUNAN HARAM - KDN

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak akan ada lagi amaran terhadap mereka yang mengambil bahagian dalam perhimpunan haram dan perhimpunan yang boleh mengganggu keamanan dan kestabilan di negara ini.

"Waktu untuk amaran sudah berakhir... tindakan tegas akan diambil," katanya, sambil menambah bahawa "mencegah adalah lebih baik daripada mengubati" dan maka adalah wajar dengan melakukan tindakan segera.

Dr Ahmad Zahid berkata demikian ketika dihubungi berhubung kejadian perhimpunan haram di seluruh negara yang mengecam keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan penangkapan aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim baru-baru ini atas dakwaan kenyataan berbaur hasutan dibuat pada forum 13 Mei di Kuala Lumpur.

Pada Jumaat lepas, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengaku tidak bersalah atas dakwaan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 di Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya mengenai perhimpunan haram yang diadakan di stadium pada 8 Mei lalu.

Pada Ahad, kenyataan Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nazree Yunus dirakamkan oleh polis Seremban berhubung perhimpunan yang diadakan di Oakland Commercial Park pada Jumaat.

Dr Ahmad Zahid berkata, polis telah mengenal pasti individu-individu yang mengambil bahagian dalam perhimpunan haram dan akan ada lagi banyak tangkapan.

Ditanya sama ada amaran beliau meliputi perhimpunan di seluruh negara, Dr Ahmad Zahid berkata, mereka ini termasuk individu-individu yang terlibat dalam perhimpunan haram di tempat-tempat lain, seperti di Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Baru.

"Kami telah mengenal pasti mereka yang terlibat dan polis akan mengambil tindakan serta-merta. Jangan terkejut jika terdapat lebih banyak tangkapan yang dibuat," katanya.

Nik Nazmi 
Nazree Yunus 

Adam Adli 
Beliau menambah, Kementerian Dalam Negeri tidak akan berkompromi sekiranya ia mendatangkan kesan kepada keselamatan dan keselamatan rakyat.

"Kami melihat perkara yang mempengaruhi rakyat yang menyebabkan kekacauan adalah amat serius," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, Adam Adli telah ditahan reman selama lima hari sehingga 23 Mei berikutan ditangkap kerana menghasut.

Beliau berkata, perintah reman adalah untuk membantu polis menyiasat kenyataan oleh aktivis pelajar itu dibuat pada forum 13 Mei di Kuala Lumpur dan Dewan Perhimpunan Cina Selangor.

"Beliau telah ditahan di Bangsar pada pukul 3.15 petang pada Sabtu di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan atas kenyataan yang dibuat dalam forum itu," katanya ketika dihubungi pada Ahad.– mStar