Wednesday, January 2, 2013

AMANAT HADI DI TV: REAKSI PEMIMPIN PEMBANGKANG


Siaran langsung untuk elak manipulasi

Senai – Penjelasan mengenai isu Amanat Haji wajar disiarkan secara langsung bagi mengelakkan ia dimanipulasi, kata Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Mahfodz Mohamed.

Beliau yang menyokong sepenuhnya tindakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ingin menjelaskan perkara itu dengan bersiaran di televisyen itu berkata, cara itu lebih jelas dan telus mengenai isu yang dibangkitkan.

“Apa yang hendak ditakutkan, amanat ini telah diguna pakai sejak 31 tahun lalu, benda ini sebenarnya tiada isu. Namun apabila dibangkitkan, dia(Hadi) bersedia menjelaskan, jadi dengar dahulu.

“Bila dibuat secara langsung, ia lebih jelas dan bagi perkara yang hendak ditanya ia boleh dilontarkan terus dan mendapat respons Hadi.

Beliau menambah, “Saya lihat jika penjelasan direkodkan terlebih dahulu, ia akan berlaku dipotong di sana sini.”

Mahfodz berkata, jika selepas penjelasan Abdul Hadi masih terdapat ketidakpuasan hati, pihak berkuasa boleh menggunakan saluran Majlis Fatwa untuk tindakan susulan.

Umno takut kebenaran

SHAH ALAM - Pas Selangor menyifatkan tindakan kerajaan Umno/Barisan Nasional (BN) tidak membenarkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bersiaran langsung menerusi RTM dan TV3 kerana takut kepada kebenaran.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, siaran langsung sejam itu membolehkan Abdul Hadi beri penjelasan lanjut.

"Kita tidak mahu rakaman, takut dipotong (disunting). Barisan Nasional (BN) kata siaran langsung Abdul Hadi berbahaya dan menteri tidak benar penjelasan dibuat secara langsung.

"Di negara luar, mereka akan tunjuk (siaran) secara langsung, tapi di sini, tidak berani," katanya ketika diminta mengulas pendirian Pas Selangor mengenai isu Amanat Haji Hadi.

Abdul Rani yang juga Adun Meru mendakwa, BN tiada isu baru untuk dimainkan sehingga terdesak membangkitkan isu lama yang semakin dilupakan itu.

Ditanya sebab Pas menolak menggunakan media lain sebagai alternatif untuk beri penjelasan itu, Abdul Rani menegaskan, ia kerana dua stesen televisyen itu didakwa antara media memulakan isu itu.

"Kita tak guna media alternatif lain sebab media pro-BN yang cabar kita lebih baik kita guna media mereka kerana isu teritu dibangkitkan mereka" katanya. –SinarHarian
2013: INSENTIF, DASAR DAN PERISTIWA PENTING DI MALAYSIA
Tahun 2012 telah melabuhkan tirainya. Pelbagai perubahan telah dilakukan oleh kerajaan dan juga pembangkang. Berikut pelaksanaan beberapa dasar, program dan peristiwa penting yang akan berlaku tahun ini.

* Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan berlangsung sebelum akhir Jun. Antara pembaharuan yang akan dilaksanakan ketika PRU13 ialah dakwat kekal. Penggunaan dakwat kekal telah diwartakan pada 13 Februari lalu. Ia sebahagian daripada 22 perkara dikemukakan oleh PSC

* Ekoran pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), pelajar pusat pengajian tinggi boleh bertanding dalam PRU13

* Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia akan dikuatkuasakan. Ia akan dibawa kepada Kabinet bulan ini

* Akta Kebankrapan 1967 mungkin dipinda ekoran permintaan Pemuda Umno pada perhimpunan tahunan akhir November lalu

* Pembayaraan BR1M 2.0 mulai bulan depan

* Rebat RM200 bagi pembelian telefon mudah alih pintar 3G mulai hari ini 

* Pelaksanaan gaji minimum di seluruh negara RM900 sebulan atau RM4.33 sejam di Semenanjung manakala RM800 sebulan atau RM3.85 sejam di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan

* Had usia persaraan sektor swasta iaitu 60 tahun, dinaikkan dari 55 tahun dikuatkuasakan mulai 1 Julai

* Insurans bas sekolah untuk 1.5 juta pelajar sekolah

* Diskaun bayaran pemprosesan pasport untuk kanak-kanak dan warga tua

* Kerajaan sedia RM50 juta bagi tempoh empat tahun, bermula tahun ini, bagi persiapan program Road to Rio - Sukan Olimpik Brazil pada 2016

* Rebat tunai RM10,000 dan subsidi dua peratus kepada pengusaha bas sekolah untuk pinjaman penuh menggantikan bas sekolah lama berusia lebih 25 tahun

* Pengagihan wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100

* Pembinaan 20,000 unit rumah generasi baru Felda

* Pencarum KWSP dibenar keluar RM3,000 untuk tunai haji

* Bayaran insentif khas RM200 sebulan kepada 25,708 pegawai dan anggota tentera

*  Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam yang ditubuhkan bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara dijangka membentangkan laporan tahun ini

* Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menangani masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah, yang ditubuhkan pada 1 Jun lalu, juga akan mengemukakan laporan

* Jawatankuasa Khas yang membuat kajian berhubung langkah mengenal pasti negeri-negeri layak menerima bayaran tunai daripada hasil petroleum di Pantai Timur Semenanjung juga dijangka bentang laporan

* Lebih 90,000 pelajar asing di institusi pengajian tinggi diwajibkan sekurang-kurangnya menguasai bahasa Melayu untuk berkomunikasi mulai tahun depan

Sumber: Sinar Harian Online

KD: Azam tahun baru = Positif.
2013: MALAYSIA DI LANDASAN KUKUH

Muhyiddin Yassin - Tahun Baru 2013
KUALA LUMPUR - Malaysia kini berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai negara maju hasil transformasi kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berucap pada majlis sambutan Tahun Baru 2013 di Dataran Merdeka semalam, beliau berkata, selain transformasi dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kejayaan itu juga dicapai berkat perpaduan rakyat pelbagai kaum.

Muhyiddin meminta rakyat Malaysia mengekalkan perpaduan, keamanan dan kesejahteraan yang dikecap hari ini sebagai landasan untuk membina kejayaan lebih gemilang di hari esok.

“Sebaik sahaja fajar 2013 menyingsing, detik kiraan masa untuk kita mencapai status negara maju hanya tinggal tujuh tahun saja lagi.

“Insya-ALLAH, dengan sokongan dan dukungan seluruh rakyat, dengan doa dan keazaman kita untuk terus mencipta kejayaan demi kejayaan, kita akan melakar masa depan bersama yang lebih sejahtera di bumi Malaysia yang kita cintai ini,” katanya.

Turut hadir, isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah Rais, serta beberapa menteri Kabinet yang lain.

Di hadapan 130,000 pengunjung yang membanjiri Dataran Merdeka, Muhyiddin mendoakan Malaysia kekal aman dengan rakyat bersatu-padu hidup dalam kemakmuran.

Beliau juga berharap Malaysia terus kekal menjadi negara yang boleh dibanggakan dan menjadi contoh kepada negara-negara lain.

“Kita berdoa supaya 2013 akan melakar sejarah baru yang lebih cemerlang serta gemilang dan bersama kepimpinan Perdana Menteri, kita akan melayari bahtera negara maju menjelang 2020.

“Saya doakan kita terus sejahtera tanpa mengira agama dan keturunan...mengikat perjanjian untuk sama-sama menegakkan kedaulatan dan kemerdekaan negara kita. - Bernama

KD: Rakyat turut sama berdoa agar kemakmuran dan kemajuan Malaysia akan terus berkekalan..
AMANAT HADI AKAN BERSIARAN LANGSUNG DI TV ??

Rais: Tokoh agama, mufti akan sertai Hadi di TV

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, tokoh agama dan mufti negeri-negeri akan dijemput untuk bersama dalam forum yang akan memberi peluang buat julung kalinya kepada Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperjelas amanatnya yang telah memecah-belahkan umat Islam di Malaysia.

Rais berkata, Hadi tidak boleh membuat keputusan bersendirian dan terlalu yakin dengan kebolehan dirinya yang berlatar belakangkan pendidikan agama "kerana sentiasa ada orang yang lebih bijak daripada kita".

Rais Yatim"RTM adalah hak rakyat dan ia boleh diguna untuk menjelaskan sesuatu perkara, tapi bukan satu saluran sahaja (Hadi seorang), ia mesti disertai oleh pihak-pihak yang juga ada ilmu, nas dan pengalaman," katanya kepada pemberita selepas Program Larian Tahun Baru 1Malaysia di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Presiden Pas itu, katanya harus bersedia untuk menerima pendapat orang lain dan forum tersebut akan dibuat dalam suasana yang sesuai.

Rais berkata, Hadi tidak boleh membuat tanggapan bahawa keputusan (Amanat Hadi Awang) yang beliau buat pada 1981, itu adalah muktamad.

Menurut Rais, Hadi bukan ahli jawatankuasa fatwa atau majlis agama Islam negeri, sebaliknya beliau hanyalah seorang ahli politik yang mengeluarkan pandangan sendiri dan pandangan itu pula berasaskan sentimen yang diselubungi oleh politik.

Rais juga berharap Hadi akan menarik balik tuduhan kafirnya ke atas pengikut Umno semasa berlangsungnya program itu dan jika beliau mahu meneruskan amanatnya, Hadi harus mendengar pandangan daripada tokoh-tokoh agama lain yang akan turut serta.

"Sehingga kini, belum ada lagi permohonan rasmi dari Hadi tetapi segala perancangan untuk menyediakan rancangan berbentuk forum tanpa kehadiran penonton studio itu sedang berjalan," katanya.

Rais menjelaskan demikian ketika mengulas mengenai hasrat Hadi yang mahu muncul dalam kaca televisyen secara langsung selama sejam untuk menerangkan keadaan sebenar berhubung isu pepecahan umat Islam selepas mengeluarkan amanatnya yang mengkafirkan Umno pada 1981, di Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, Rais meminta parti-parti politik dalam negara ini supaya bersatu dalam konteks kemasyarakatan Malaysia.

Malaysia harus dibantu tanpa mengira latar belakang politik, agama dan budaya supaya negara ini terus mendapat tempat tertinggi dalam aturan keduniaan dan antarabangsa, katanya.

"Kita perlu bersatu dalam konteks di luar politik dan bukan hanya politik sahaja yang boleh satukan kita, tetapi perasaan kekitaan sebagai rakyat Malaysia," katanya.

"Orang PKR (Parti Keadilan Rakyat) perlu jayakan anak mereka, orang Umno pun sama, kita tidak boleh terlalu banyak berlopak dalam politik sampai kita lupakan negara dan kewarganegaraan kita," katanya.

Ahmad Maslan: Hadi Disyor Perjelas Amanat Di Sidang Ahkbar, Web TV

Di PUTRAJAYA, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan pula mengesyorkan supaya Hadi mengadakan sidang akhbar terbuka atau melalui web TV mengenai amanatnya tanpa perlu memberi penjelasan secara langsung di stesen televisyen tempatan.

altMenurut Ahmad tindakan Presiden Pas itu yang hanya mahu tampil di stesen televisyen tertentu seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV3, seolah-olah mempunyai agenda tersendiri.

"Mungkin ada tujuan-tujuan tertentu. Tapi pada saya panggil sidang akhbar lagi ramai boleh datang. Ia boleh disiar secara langsung oleh segala web TV. Nak panggil stesen TV luar negara pun boleh," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kopitiam Killiney Putrajaya di sini, hari ini.

Ahmad berkata pada sidang akhbar Sabtu lepas selepas sekian lama berdiam diri daripada menjawab isu berkenaan, Hadi tidak memaklumkan untuk menarik semula amanat itu, tetapi hanya ingin memberi penjelasan.

"Mudah-mudahan dia akan tarik amanat itu. Tapi kelihatannya sukar. Saya kira kalau dia menarik balik amanat itu dan memohon maaf, dia berjiwa besar seperti Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Walaupun tak nampak apa salah perdana menteri, tapi (memohon maaf) bagi pihak pemimpin yang tidak turun padang, yang tidak melaksanakan tugas dengan baik yang menyebabkan kekalahan pada pilihan raya umum 2008," kata Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. – Bernama/Sinar Harian Online

KD: Amanat kontroversi..