Tuesday, December 17, 2013

ISU KENAIKAN TOL: TAK MACAM JAWAPAN MENTERI, KATA PENGANALISIS

 Dr Mohammad Agus YusoffSHAH ALAM - Naif dan bukan bertaraf menteri. Demikian pandangan Prof. Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff terhadap kenyataan menteri yang meminta pengguna lebuh raya menggunakan jalan biasa jika tidak mahu bayar lebih untuk kadar tol.

Ujarnya, kenyataan tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang menteri kerana ianya seolah-olah merendahkan intelektual rakyat.

“…dan bagi saya kenyataan tersebut juga bukan bersifat menteri, sepatutnya seorang menteri tersebut perlu berfikir secara rasional ketika mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, kenaikan kadar tol yang diuar-uarkan bakal berlaku tahun hadapan sebagai munasabah dan mereka yang tidak bersetuju boleh menggunakan jalan biasa.  

"Kami sediakan jalan alternatif kepada mereka sedia bayar dengan kadar premium.

"Bagi mereka yang fikirkannya ia terlalu mahal, mereka ada pilihan untuk tidak gunakan jalan tersebut," kata Abdul Wahid di Putrajaya semalam.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai kenaikan kadar tol pula, Agus mencadangkan, kenaikan hanya pada kadar 10 sen sahaja.

“Kalau kerajaan terdesak untuk naikkan juga harga tol, bagi saya kenaikan hanya pada harga 10 sen… ini bagi mengelak daripada rakyat terus terkesan.

“…ini kerana rakyat sudah terkesan dengan pelbagai kenaikan sebelum ini, oleh itu kasihanilah rakyat,” katanya.

Sebelum ini ada laporan menyebut kadar tol dijangka berlaku antara 30 sen sehingga RM1, tetapi tidak menyatakan untuk jarak perjalanan berapa jauh.

Difahamkan, terdapat 13 lebuh raya yang terlibat dalam semakan semula kadar tol itu.

Sumber: Sinar Harian


ISU KENAIKAN TOL: MENTERI KENA HATI-HATI KELUAR KENYATAAN

Sumber Malaysian Insider
SHAH ALAM - Kenyataan menteri yang meminta pengguna lebuh raya menggunakan laluan biasa sekiranya tidak bersetuju dengan kenaikan tol, dikritik Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun.

Khairul Azwan dalam satu sidang media semalam menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar  lebih berhati-hati dalam memberikan saranannya kepada pengguna lebuh raya.

“Kami tidak bersetuju dengan kenyatannya. Beliau perlu lebih berhati-hati dengan apa yang dikatakan.

"Kenyataan itu memperlihatkan rasa tidak sensitif terhadap keperluan rakyat,” ujar beliau.

Tambahnya, "terpulang kepada rakyat untuk memilih dan jangan mengajar mereka".

Terdahulu, Abdul Wahid berkata pengguna jalan raya yang tidak bersetuju dengan kenaikan tol boleh menggunakan jalan biasa.

“Kami menyediakan jalan alternatif kepada mereka yang sanggup membayarnya. Kepada yang berasa kadar tersebut terlalu tinggi, mereka ada pilihan untuk tidak melaluinya,” beliau dipetik sebagai berkata.

Abdul Wahid turut menjelaskan, kerajaan terpaksa membelanjakan RM400 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya jika mereka diberi kelonggaran untuk menangguhkan kenaikan kadar tol yang sepatutnya disemak tiga hingga lima tahun sekali.

Sumber: Sinar Harian 

KENAIKAN TOL PELENGKAP PAKEJ PENDERAAN RAKYAT?
Cover 16
SEREMBAN - Kenaikan kadar tol dijangka tahun depan, dilihat menjadi pelengkap pakej penderaan terhadap rakyat.

Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, pihaknya membantah perkara itu dan menganggap ianya tidak masuk akal memandangkan rakyat sudah cukup terbeban dengan beberapa kenaikan oleh kerajaan sebelum ini.

Menurut Mohd Nazree, sepatutnya kadar tol semakin rendah dari tahun ke tahun kerana syarikat konsesi mendapat pulangan modal bagi pembinaan lebuh raya, ditambah keuntungan berlipat ganda menerusi pertambahan kenderaan menggunakannya.

“Secara tidak langsung, keadaan ini menggambarkan betapa kerajaan pimpinan BN gagal mentadbir negara dengan baik berikutan banyak kenaikan harga berlaku, sedangkan baru tujuh bulan PRU13 berlalu,” katanya.

Mohd Nazree berkata, selain membebankan dari segi kewangan, kenaikan itu memberi impak negatif terhadap aspek sosial dan integriti.

“Tidak mustahil, anak-muda muda berada di perantauan selepas ini jarang pulang ke kampung menemui ibu bapa mereka, gara-gara tidak mampu menampung kos perjalanan semakin tinggi.

“Pada masa sama, kita juga khuatir gejala rasuah akan semakin membarah dalam kalangan masyarakat kerana ramai terpaksa mencari duit lebih untuk menjalani kehidupan seharian yang penuh tekanan,” katanya.   

Pada Sabtu, Abdul Wahid berkata kadar tol sepatutnya sudah disemak semula pada 2011 selaras dengan kandungan dalam perjanjian konsesi, namun kadar itu dikekalkan, menyebabkan kerajaan terpaksa membayar RM400 juta duit pembayar cukai sebagai pampasan. – Bernama

Sumber: Sinar Harian


TOL: KONSESI LEBUH RAYA PERLU AMBIL KIRA RESPONS RAKYAT
 
PUTRAJAYA - Syarikat konsesi lebuh raya perlu menjalankan kajian daya maju dengan mengambil kira respons rakyat terhadap sebarang cadangan menaikkan kadar tol, kata Menteri Di Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar hari ini.
Datuk Seri Abdul Wahid Omar   
Beliau berkata, kerajaan akan menganalisis daya maju cadangan itu termasuk mengkaji jumlah trafik dan daya maju komersial serta kedudukan kewangan konsesi.
   
"Ini untuk memastikan kadar tol yang ditetapkan mampu dibayar oleh pengguna lebuh raya," katanya kepada pemberita selepas perbincangan panel bertajuk "ETP Tiga Tahun Selepas Dilaksanakan" di sini hari ini.
   
Panel perbincangan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
   
Perbincangan mengenai cadangan menaikkan kadar tol tercetus berikutan kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof bahawa kadar berkenaan akan disemak semula tahun depan sejajar dengan perjanjian antara kerajaan dan syarikat konsesi.
   
Sebuah akhbar melaporkan kadar tol bagi 13 lebuh raya dijangkakan naik antara 30 sen dan RM1.
   
Abdul Wahid berkata, jalan raya bertol adalah efisien dan cepat untuk pemandu yang bersedia membayar tol.
   
"Kepada mereka yang beranggapan kadar tol terlalu tinggi pada masa depan, mereka mempunyai pilihan untuk tidak menggunakan laluan bertol tetapi menggunakan jalan raya dibina oleh kerajaan," katanya.
   
Sementara itu, Abdul Wahid berkata pengendali lebuh raya PLUS Expressways Bhd mungkin melanjutkan tempoh konsesinya memandangkan ia mempunyai perjanjian dengan kerajaan untuk mengekalkan kadar tolnya sehingga 2015.
   
Pada Sabtu, Abdul Wahid berkata kadar tol sepatutnya sudah disemak semula pada 2011 selaras dengan kandungan dalam perjanjian konsesi, namun kadar itu dikekalkan, menyebabkan kerajaan terpaksa membayar RM400 juta duit pembayar cukai sebagai pampasan. – Bernama

Sumber: Sinar Harian