Wednesday, September 4, 2013

KENAIKAN HARGA MINYAK: TIADA ALASAN NAIK HARGA BARANG
KUALA LUMPUR - Para peniaga tidak mempunyai alasan kukuh menaikkan harga barangan sesuka hati berikutan kenaikan harga petrol RON 95 dan diesel yang diumumkan semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata hasil kajian yang dijalankan pihaknya mendapati kesan kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen seliter kepada peniaga dianggarkan hanya sekitar 0.1 peratus.

Sehubungan itu beliau mengingatkan semua peniaga supaya tidak menaikkan harga barangan sesuka hati kerana kenaikan itu juga dilihat tidak meletakkan mereka dalam keadaan terdesak untuk berbuat demikian.

"Bagi memastikan tidak ada peniaga yang mengambil kesempatan dalam keadaan sekarang, seramai 1,845 anggota penguat kuasa dan 1,071 pegawai pemantau telah mula dikerah.

"Mana-mana peniaga yang ingkar dan berdegil, kita akan hukum mereka dengan segala akta dan undang-undang sedia ada seperti Akta Kawalan dan Anti Pencatutan 2010 supaya tidak ada pihak yang berani menaikkan harga sesuka hati,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Penilai Harta Intelek anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di sini hari sini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kenaikan harga petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa tengah malam tadi.

Mengulas lanjut, Hasan juga mengajak orang ramai untuk membuat aduan sekiranya terdapat mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan sesuka hati.

"Pengguna perlu membuat aduan kepada kami dengan tepat supaya peniaga yang tamak dan ingkar dapat dikenakan tindakan sewajarnya

"Pengguna yang mahu membuat aduan tentang kenaikan harga barang dan makanan boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian 1800 88 6800,"ujarnya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, penjimatan RM3.3 bilion menerusi pengurangan subsidi bahan api akan digunakan semula untuk kepentingan rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan projek-projek infrastruktur.

Beliau berkata, langkah itu merupakan pendekatan menyeluruh dalam mengurus defisit fiskal dan agihan subsidi kepada kumpulan sasar.

"Daripada memberi subsidi kepada mereka yang tidak memerlukan serta warga asing, kami memberikannya terus kepada mereka yang berhak ke atas subsidi itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Wahid berkata, langkah itu merupakan proses untuk memperkukuh ekonomi yang bermatlamat memberikan impak positif kepada kebajikan rakyat dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar. –Utusan Online



KESAN KENAIKAN HARGA PETROL NAIK DIKAJI
alt
KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menyerahkan hasil kajian kesan kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen seliter ke atas golongan nelayan kepada Kabinet dalam masa sebulan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebarang pandangan atau cadangan bantuan khas atau insentif-insentif lain bagi mengurangkan bebanan nelayan akan dikemukakan sejurus kajian oleh pasukan khas itu siap.

Menurut beliau, pasukan khas yang dianggotai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan Jabatan Perikanan Malaysia antara lain akan mengenal pasti kesan kenaikan harga minyak kepada golongan nelayan secara keseluruhan.

"Buat masa ini, kita tidak mahu terburu-buru mengatakan sama ada kenaikan harga minyak memberi kesan besar atau kecil kepada golongan nelayan, justeru kita menubuhkan satu pasukan khas serta-merta untuk mengkaji perkara ini sebelum mengemukakannya kepada Kabinet dalam masa sebulan," katanya selepas Majlis Hari Raya Lembaga Pertubuhan Peladang di sini hari inI. –Utusan Online


KENAIKAN HARGA MINYAK: PERSATUAN PENGGUNA SIFATKAN KEPUTUSAN MENGEJUT

KUALA LUMPUR - Beberapa persatuan pengguna menyifatkan keputusan kerajaan menaikkan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa tengah malam ini sebagai terlalu mendadak.
 
Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu berkata, keputusan itu dikhuatiri bakal mengundang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan lain sekiranya golongan peniaga daripada pelbagai sektor mengambil kesempatan.

Sambil melahirkan rasa terkejut, beliau turut bimbang kenaikan itu akan memberi impak kepada semua peringkat rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah.

"Golongan peniaga sudah semestinya akan mengambil kesempatan menaikkan harga barang termasuk dalam sektor pengangkutan awam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

daripada proses merasionalisasi subsidi.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, kenaikan harga petrol tersebut mengejutkan kerana kerajaan sudah memberi jaminan akan mengadakan perbincangan bersama pihak terlibat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

"Keputusan ini amat mengecewakan kerana pengguna petrol RON 95 adalah mereka yang berpendapatan rendah.

"Kerajaan juga sebelum ini berjanji tidak akan menaikkannya kecuali ada kes-kes kecemasan atau dinaikkan secara berperingkat-peringkat supaya tidak membebankan pengguna, tetapi keputusan hari ini adalah sebaliknya," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan diharap mencari kaedah dan alternatif lain berbanding menaikkan harga petrol dalam merasionalisasikan subsidi.

Menurut beliau, antara langkah yang boleh dilakukan adalah mengawal ketirisan bahan bakar tersebut selain menguatkuasakan penggunaan kad pengenalan sebagai salah satu bentuk kawalan.


"Kita berharap kerajaan dapat mengkaji semula atau mengawal ketirisan dan penyeludupan petrol dan diesel supaya rakyat tidak terbeban," katanya. –Utusan Online
JANGAN PANIK PENGURANGAN SUBSIDI - PDAM

KUALA LUMPUR - Rakyat diminta tidak panik dan cepat melatah sebaliknya melihat dari konteks lebih luas berhubung pengurangan subsidi minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Hashim Othman berkata, pengurangan subsidi itu bukan bertujuan membebankan rakyat tetapi mengurangkan subsidi kepada golongan berkemampuan.

Menurutnya, wang penjimatan itu kemudian boleh disalurkan kerajaan membantu golongan miskin dalam pelbagai sektor lain.

''Kita menyambut baik pengurangan subsidi itu kerana selama ini golongan berpendapatan tinggi yang menggunakan petrol 500 liter sebulan turut menerima subsidi besar daripada penggunaan itu berbanding rakyat yang menggunakannya 100 liter sebulan.

''Pengurangan subsidi itu boleh membantu kerajaan menyimpan dan wang simpanan itu digunakan untuk membantu rakyat miskin untuk lain-lain sektor termasuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Hashim, pengurangan subsidi itu juga perlu dilihat dalam konteks kesejahteraan negara terutamanya dalam mengekang isu penyeludupan minyak ke negara jiran.

Katanya, pengurangan jurang harga minyak dengan negara jiran mampu membanteras 'perniagaan haram' melalui kegiatan penyeludupan.

''Kita perlu lihat pengurangan ini mampu mengekang isu penyeludupan minyak ke negara jiran.

''Terdapat pihak yang mengambil kesempatan mengenai perkara ini dan 'membuat'' duit daripada pemberian subsidi ke atas bahan api," katanya.


Hashim turut mengingatkan kerajaan supaya tidak mengurangkan subsidi ke atas bahan api secara mendadak sebaliknya dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. –Utusan Online
ISU KENAIKAN HARGA MINYAK: PENJELASAN PM

PUTRAJAYA - Kenaikan harga minyak merupakan satu proses pengukuhan ekonomi bagi jangka pendek dan sederhana, yang akhirnya bertujuan memberi kesan positif kepada kesejahteraan rakyat.

altPerdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sekiranya ekonomi negara terjejas, ia akan mendatangkan kesan buruk kepada rakyat sepertimana keadaan di sesetengah negara luar yang menerima kesan amat berat apabila mereka gagal menangani ekonomi mereka dengan baik.

"Komitmen kerajaan untuk melaksanakan konsolidasi fiskal akan diteruskan bagi mencapai sasaran defisit fiskal dalam lingkungan tiga peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015 dan belanjawan berimbang menjelang 2020.

"Kita mesti faham ini bukan soal politik, tapi soal masa depan negara, kalau ekonomi terjejas ia akan datangkan kesan buruk kepada rakyat," katanya kepada pemberita pada persidangan media di bangunan Perdana Putra di sini malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata merujuk kepada kenaikan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter yang diumumkannya berkuatkuasa hari ini.

Katanya, proses rasionalisasi subsidi sememangnya merupakan sebahagian daripada dasar kerajaan yang dimuktamadkan, namun kerajaan bertekad untuk melaksanakan secara berperingkat-peringkat bagi memastikan kesannya tidak membebankan.

"Kita nak tentukan bahawa kesan yang merupakan bebanan kepada rakyat ini, kita pastikan di tahap paling minimum dan kita akan besarkan lagi jaringan keselamatan sosial, seperti yang saya katakan tadi, termasuk kenaikan kadar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia BR1M," katanya.

Najib juga menegaskan, kerajaan berusaha agar kesan kenaikan itu tidak membebankan rakyat, dan menurutnya jumlah kenaikan kadar BR1M akan diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2014 nanti.


Tambahnya, kenaikan harga bahan api itu akan memberi kesan minimum dan seterusnya beliau berharap agar para peniaga tidak mengambil peluang ini untuk menaikkan harga barang tanpa mengambil kira kepentingan rakyat. -http://www.rakyatnews.my/