Monday, November 25, 2013

PAS TETAP LAKSANA HUDUD WALAU DAP BANTAH

SHAH ALAM - Pas tetap akan melaksanakan hukum Hudud di Kelantan walaupun dibantah DAP, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau berkata rayuan Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya Pas tidak meneruskan cadangan untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan adalah hanya ideologinya sendiri.
                        
"Itu hak dia (Karpal) bersuara. Hak kita meneruskan apa yang kita perjuangkan, itu tidak ada dalam perjanjian Pakatan Rakyat, masing-masing dengan ideologi masing-masing," katanya. 

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan Ucapan Penangguhan pada Muktamar PAS ke-59 di Stadium Malawati Shah Alam di sini, hari ini.
Abdul Hadi juga berkata kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat hanyalah melibatkan perkara yang dipersetujui bersama untuk dilaksanakan dan menegaskan bahawa pandangan berbeza antara mereka adalah hak masing-masing.

Media hari ini melaporkan Karpal sekali lagi berkata DAP tetap tegas menentang pelaksanaan hudud dan cadangan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Mengulas mengenai barisan kepimpinan Pas Pusat baharu, Abdul Hadi berkata seramai sembilan orang daripadanya merupakan golongan Ulama dan selebihnya dari kalangan profesional dan aktivis

Sambil menyatakan rasa puas hati dengan pemilihan yang dijalankan, beliau berkata barisan kepimpinan itu masih mengimbangi peranan ulama dan profesional.

Mengenai keluhan anggota perwakilan Sabah dan Sarawak kerana tiada wakil dari dua negeri itu dipilih menganggotai barisan kepimpinan Pas Pusat, beliau berkata Pas akan melantik mereka untuk jawatan yang boleh memberi perhatian khusus terhadap negeri itu. – Bernama

-Sumber: Sinar Harian
PAS MAHU HADI JADI PM

SHAH ALAM — Pas mahu Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi perdana menteri negara ini, kata Naib Presiden Datuk Husam Musa hari ini.

Beliau memberitahu Muktamar Pas Ke-59 di sini bahawa itulah yang seharusnya menjadi agenda perjuangan parti dan perlu dibincang oleh seluruh saf kepimpinan untuk direalisasikan.

"Saya nak tengok Ustaz Hadi jadi Perdana Menteri sebelum dia mati, walaupun cuma satu hari.

"Kata-kata (perwakilan) konon Pas akan tinggalkan agenda untuk tawan Putrajaya sepatutnya tidak patut diucapkan. Kita sepatutnya susun strategi untuk memastikan kemenangan diperolehi," katanya pada sesi penggulungan muktamar itu di sini.

Kata-kata Husam mendapat tepukan gemuruh perwakilan sekali gus menjadi isyarat bahawa Pas tidak mahu Ketua Pembangkang dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri seperti cakap-cakap sebelum ini.

Husam berkata, dengan menjayakan agenda itu, semua anggota Pas pastinya senada dan tidak akan berselisih faham dalam memilih perdana menteri. - BERNAMA

-Sumber: Utusan Online
UNDI MELAYU PUNCA KEGAGALAN PAS

SHAH ALAM - Kemerosotan undi Melayu kepada Pas pada PRU13 Mei lalu menjadi faktor utama mengapa parti itu gagal dalam usaha mengganti Umno sebagai parti tunggal Melayu di negara ini.

Ketua Lajnah Penyelidikan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan hasil bedah siasat PRU13, Pas didapati mengalami kemerosotan sokongan undi kaum Melayu sebanyak dua peratus.

Menurutnya, disebabkan itu impian parti mahu menggantikan Umno sebagai parti tunggal Melayu masih belum dapat dilaksanakan.

"Kekurangan undian itu hasil penelitian di seluruh negara, melibatkan semua peringkat.

"Sementara PKR mengalami kemerosotan undi Melayu tujuh peratus. DAP pula ada penambahan undi 20 peratus daripada etnik Melayu," katanya pada ucapan penggulungan Muktamar, semalam.

Beliau berkata, sokongan umum pengundi Melayu kepada Pas berdasarkan PRU13 lalu sekitar 40 peratus.

"Ia menunjukkan sokongan, termasuk wanita Melayu masih tidak memuaskan, iaitu 30 peratus sahaja. Sokongan pemuda Melayu pula 45 hingga 46 peratus," katanya.

Katanya, kehilangan undi ini masih dalam kawalan dan tidak menjadi parah, tetapi perwakilan tidak boleh terus leka dan perlu bersama-sama mencari jalan menarik semula undi Melayu.

"Penurunan undi Melayu ini boleh dibahagikan mengikut tempat dan mengikut negeri.

"Misalnya, jumlah undi di Terengganu dan Johor menunjukkan peningkatan. Secara tidak langsung kita masih mendapat sokongan positif dari kaum Melayu," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kajian terkini, Pas perlu menangani masalah kemerosotan ini dengan kembali fokus kepada isu sosial ekonomi, terutama kepada golongan berpendapatan rendah.

"Kelompok wanita juga perlu diberi tumpuan oleh Muslimat Pas demi menempah kemenangan pada PRU14 nanti," katanya.


-Sumber: Sinar Harian

GANTI PENGAWAL KESELAMATAN DENGAN POLIS BANTUAN

PUTRAJAYA - Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mencadangkan khidmat pengawal keselamatan di semua pejabat kerajaan digantikan dengan khidmat polis bantuan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
Tan Sri Dr Ali Hamsa
Tan Sri Dr Ali Hamsa 

Sambil berharap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa menimbangkan cadangan itu, beliau berkata langkah itu wajar terutama di pusat pentadbiran Putrajaya yang turut menempatkan pejabat menteri yang menyimpan banyak dokumen rahsia kerajaan.

"Saya risau jika pengawal keselamatan di 'outsource', mereka akan mempunyai kunci pendua pejabat dan pelbagai perkara boleh dilakukan oleh mereka, oleh (itu) kita mahu pastikan perkara-perkara yang tidak diingini tidak berlaku," katanya.

Tengku Adnan yang juga anggota Parlimen Putrajaya berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Berkhatan Beramai-ramai di sini hari ini.

Katanya beliau turut mengusulkan cadangan kepada anggota Kabinet agar syarikat-syarikat keselamatan diambil alih oleh kerajaan agar kakitangannya  dapat dilatih sebagai polis bantuan.

Beliau turut meminta syarikat keselamatan lebih bertanggungjawab dalam pengambilan pengawal keselamatan supaya kejadian rompakan dan menembak mati pegawai bank di Ambank, Subang Jaya baru-baru ini melibatkan pengawal keselamatan bank itu sendiri tidak berulang.


Sumber: Sinar Harian
GESA SEGERA DAFTAR PR - PAS JOHOR 

SHAH ALAM - Pas Johor menggesa kepimpinan parti agar menyegerakan pendaftaran PR bagi membolehkan sistem dua parti dilaksana di Malaysia.

Perwakilan Johor, Firdaus Masood berkata, sebelum ini isu pendaftaran ini pernah diusulkan oleh bekas pimpinan PR Datuk Zaid Ibrahim, ke Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan juga ke Parlimen.

Menurutnya, sehingga kini tindakan  mengenai isu pendaftaran ini masih belum diselesaikan.

"Kami minta pihak pemimpin PR perlu bersungguh-sungguh menangani masalah ini. Menerusi pendaftaran ini sistem dua parti di Malaysia dapat dilaksanakan," katanya,

Dalam pada itu beliau turut mencadangkan supaya melantik jurucakap PR di peringkat pusat dan juga di peringkat negeri.

"Kita tidak mahu semua pemimpin berebut nak keluarkan kenyataan semata-mata untuk meraih publisiti," katanya.

-Sumber: Sinar Harian