Tuesday, January 15, 2013

ISU KALIMAH ALLAH: NIK AZIZ AKUR KEPUTUSAN MAJLIS SYURA

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini menyokong penggunaan kalimah ALLAH pada Bible versi bahasa Melayu seperti diminta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menukar pendirian dan sebaliknya cuba menjelaskan kenapa kalimah itu tidak boleh digunakan oleh bukan Islam.

Majlis Syura Pas malam tadi memutuskan bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan oleh bukan Islam berikutan kemarahan masyarakat Islam terutama mufti dan cendekiawan Islam terhadap pendirian asal Nik Aziz dan juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyokong saranan DAP itu.

Akur dengan keputusan Majlis Syura yang turut dihadirinya, Mursyidul Am Pas itu berkata, keputusan itu dibuat kerana khuatir ia bertentangan dengan maksud sebenar kalimah itu seperti umat Islam yang percaya bahawa ALLAH itu adalah Esa (Satu).
  
"ALLAH ini adalah nama bagi Tuhan. Kita (Islam) namakannya (ALLAH). Jadi kalau ada orang lain, agama lain yang tidak mempunyai tuhan yang satu tiba-tiba mahu menggunakan nama ALLAH, itu tidak betul.
  
"ALLAH itu adalah tuhan yang Satu. Yang Maha Berkuasa. Kalau agama lain yang (mempunyai) tuhannya tidak satu atau lebih, itu mengarut. Kalau nak guna boleh, tapi salahlah (maksud sebenar)," katanya kepada pemberita sewaktu pulang dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
      
Beliau memberi contoh penganut Kristian percaya kepada Trinity yang sama sekali tidak boleh menggunakan kalimah Allah kerana tidak menepati maksud sebenar.
  
Majlis Syura Pas telah memutuskan kalimah ALLAH adalah kalimah khusus yang ALLAH menamakan diri-Nya ALLAH dan oleh itu tidak boleh diterjemahkan kepada mana-mana bahasa di dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah itu.

Selain itu majlis itu juga memutuskan mana-mana kalimah asing tidak boleh diterjemahkan kepada kalimah ALLAH.  

Sebelum ini Pas, DAP dan PKR membuat ketetapan bahawa kalimah ALLAH boleh digunakan oleh penganut semua agama tetapi dengan syarat tidak disalahgunakan.  – Bernama/Sinar Harian
ISU KALIMAH ALLAH: KENYATAAN HASAN ALI 

Cabar DAP Dan PKR Terima Keputusan Majlis Syura PAS

Syabas dan tahniah kepada Majlis Syura yang telah membuat keputusan dengan tegas mengenai kalimah ALLAH.

Majlis Syura memutuskan orang bukan Islam sama sekali tidak boleh menggunakan kalimah ALLAH dalam apa bentuk pun kerana kalimah tersebut adalah khusus untuk agama Islam.

Ia tidak boleh diterjemah ke dalam apa bahasa pun. Sebarang usaha untuk melakukan sesuatu yang berlainan dengan keputusan itu hendaklah dicegah.

Hasan AliKeputusan Majlis Syura tersebut menggambarkan bahawa Majlis Syura Pas masih berkuasa dalam menentukan dasar parti tidak dicemari.

Majlis ini bertindak sebagai badan pengawal untuk menentukan bahawa hala tuju parti itu sentiasa menepati asas-asas perjuangan asalnya.

Umum mengetahui masih terdapat banyak lagi isu yang tidak ditangani khususnya yang berkaitan dengan kedudukan Melayu-Islam seperti yang sering dibangkit dan dipersoalkan oleh DAP dan PKR.

Ketegasan Majlis Syura sekali gus menyanggah dan membidas (Setiausaha Agung) Lim Guan Eng, (Ketua Pembangkang Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan golongan parasit dalam Pas.

Sekali lagi dalam isu kalimah ALLAH golongan parasit bertindak sebagai juru mengiakan permintaan dan desakan DAP.

Golongan parasit juga menjadikan Pas lunak dan tunduk kepada DAP dan PKR termasuk dalam isu-isu besar dan sensitif yang kedudukannya masih di awang-awang.

Sebenarnya banyak lagi perkara pokok yang masih tergantung dan belum dapat diselesaikan hingga menjadi beban yang tidak mampu lagi ditanggung oleh Pas.

Antaranya termasuklah isu negara Islam dan hudud, penguatkuasaan Enakmen Jenayah Syariah, keengganan DAP menerima peraturan-peraturan untuk menjamin keluhuran akhlak khususnya di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, isu pluralisme, liberalisme, LGBT dan sebagainya.

Saya ingin mencabar Anwar Ibrahim dan DAP atas dasar semangat setiakawan Pakatan yang mereka agung-agungkan supaya membuat kenyataan rasmi menerima keputusan Majlis Syura itu.

Kenyataan sedemikian boleh menghilangkan sebarang keraguan mengenai penerimaan PKR dan DAP terhadap Pas untuk meneruskan perjuangan Pakatan Rakyat seterusnya.

Apa pun, sekali lagi sekalung penghargaan patut diberi kepada Majlis Syura yang telah berupaya melenyapkan berbagai tanggapan mengenai kemampuan Pas menangani isu-isu sensitif seperti Kalimah ALLAH. Nun di hadapan masih banyak yang perlu dirungkaikan akibat daripada DAP dan PKR yang tidak henti-henti membolak balik isu-isu besar yang gariskan di atas.

-Datuk  Hasan Mohd Ali, Presiden Jati/ Sinar Harian
ISU KALIMAH ALLAH:  PAS HADAPI TEKANAN

KUALA LUMPUR - Keputusan terbaru Majlis Syura Pas yang memutuskan kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu dibuat selepas menerima tekanan pelbagai pihak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, tidak mustahil sekiranya Pas mengekalkan keputusan untuk membenarkan penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam dengan syarat ia tidak disalahgunakan sekiranya mufti terus mendiamkan diri dalam isu tersebut.

Katanya, isu itu jelas menunjukkan ketidaksefahaman yang wujud dalam kalangan pucuk pimpinan Pas yang sanggup membenarkan penggunaan kalimah ALLAH untuk bukan Islam demi meraih sokongan pengundi beragama Kristian di Sabah dan Sarawak.

"Nama ALLAH yang dikhaskan untuk umat Islam pun sanggup dipolitikkan. Sebelum Majlis Syura mereka buat keputusan, kita telah lihat drama di kalangan pucuk pimpinan Pas bila ada pihak yang bersetuju dan ada yang tidak," katanya pada sidang media selepas membentangkan kertas kerja di Seminar Transformasi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) 2013 di sini hari ini.

Ahmad Maslan juga percaya masyarakat tidak sewenang-wenangnya akan melupakan pendirian Pas berhubung isu itu pada 2010 kerana isu sama telah dicanang secara meluas menerusi ceramah dan sidang media pihak pembangkang.

"Umno sudah pasti tidak akan menggadaikan kalimah ALLAH. Saya sendiri membaca dan mendapatkan pandangan ulama dan mufti tentang perihal ini dan tidak berbuat sesuka hati," katanya. – Bernama/Sinar Harian
KALIMAH ALLAH: PENDIRIAN MAJLIS SYURA

Selari Nik Aziz, Hadi

SHAH ALAM – Majlis Syura Pas menegaskan pendirian yang dibuat pihaknya malam tadi berhubung kalimah ALLAH selari dan selaras dengan kenyataan Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Sehubungan itu menurut Setiausaha Majlis Syura, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh, ketetapan begitu diambil kerana kebenaran mengenai ALLAH mesti ditegakkan.

“Majlis Ulama Pas berharap isu kalimah ALLAH ini ditangani dengan baik oleh kerajaan kerana urusan penterjemahkan buku-buku dan kitab Injil ini adalah urusan Kementerian Dalam Negeri.

“Seharusnya Kementerian Dalam Negeri mengambil penegasan dalam perkara ini dan jangan sesekali menuding jari kepada orang lain kerana perkara ini berada dalam bidang kuasa kementerian berkenaan,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.
Lewat malam tadi, Majlis Syura memutuskan bahawa sesiapapun boleh menggunakan kalimah ALLAH, namun ia tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia.

Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah ALLAH, kata kenyataan dikeluarkan Majlis Syura.

"Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan ALLAH tidak dibolehkan kerana ia salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata.

"Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah," kata Nik Aziz dan Timbalannya, Datuk Dr Haron Din dalam satu kenyataan rasmi Majlis Syura.

Ketika diminta mengulas kenyataan Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan pada 8 Januari lalu yang bersetuju orang bukan Islam termasuk pemimpin mereka dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH walaupun perkataan itu merupakan hak eksklusif bagi orang Islam, Nik Zawawi menafikan perkara itu.

“Kita tak pernah kata macam itu. Kalimah ALLAH ini kalau orang bukan Islam nak guna dalam urusan harian seperti kalau dia bertemu dengan orang Islam, dia nak bagi salam kepada kita dan sebagainya, Majlis Ulama tidak buat satu ketetapan.

“Perkara ini juga berlaku di zaman jahiliah dan pada zaman Rasulullah SAW, di mana orang bukan Islam dalam percakapan mereka, mereka menggunakan perkataan ALLAH. Pada masa sekarang, misalnya orang bukan Islam datang dalam ceramah Pas, orang Pas sebut
takbir 'Allahuakbar'... itu tidak mengapa.

“Secara mudahnya, boleh sebut, yang tidak boleh ialah menterjemahkan kitab mereka kepada bahasa dengan kalimah ALLAH,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana penerimaan Setiauasaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengenai penetapan itu, Nik Zawawi mendakwa, Ketua Menteri Pulau Pinang itu menerimanya dengan baik.

Katanya, penjelasan itu telah dibuat sendiri oleh Hadi Pas dalam mesyuarat Pakatan Rakyat, minggu lepas.

“Benda ini telah dibuat. Alhamdulillah, Guan Eng mendengar dengan baik dan hanya mendiamkan diri. Apabila dia minta begitu (penggunaan kalimah ALLAH untuk Bible versi bahasa Melayu), kita sebut di sudut pendirian Pas.

“Majlis Ulama tidak membenarkan orang bukan Islam mahu terjemah kalimah ALLAH kepada kitab orang Kristian iaitu Bible,” katanya lagi.

Nik Zawawi menambah, selepas penjelasan itu dibuat kepada Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Hadi telah mengeluarkan satu kenyataan yang sama sekali tidak bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Syura.

“Cuma orang silap faham. Saya pun tak tahu nak cakap macam mana. Bila kita dah buat ketetapan ini, kita minta kepada semua Islam untuk terima ketetapan ini.

“Ketetapan ini adalah terbaik untuk agama Islam dan semua agama lain yang ada di Malaysia. Kita juga meraikan hak-hak mereka (orang bukan Islam) tidak ada masalah, cuma mereka tidak boleh cemar kalimah ALLAH kerana kalimah ini adalah dikhususkan oleh orang Islam sahaja,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut mengenai keputusan mesyuarat malam tadi, Nik Zawawi berkata, ALLAH mengikut kebenarannya menunjukkan Dia adalah Tuhan yang Maha Esa yang Maha Satu yang tidak beranak dan tidak diperanakkan ataupun mempunyai isteri.

“Apabila perkataan ALLAH hendak digunakan oleh masyarakat Kristian, maknanya lari, kerana orang Kristian mengatakan ALLAH ini ada anak dan sebagaimana disebut dalam al-Quran yang mengatakan ALLAH ini ada tiga. Ada anak ada isteri. Kita tegaskan di sini, itu bukan ALLAH SWT.

“Jadi masyarakat Kristian, mereka hanya dibenarkan menggunakan perkataan God atau Lord. Itu ikut pandai dialah. Kita tidak terima perkara ini,” jelasnya. – Sinar Harian
NIAT KL112 JATUHKAN KERAJAAN - TUN M

CYBERJAYA - Perhimpunan Kebangkitan Rakyat  di Stadium Merdeka Sabtu lepas cuba meniru apa yang berlaku di sesetengah negara Arab dengan niat menjatuhkan kerajaan sedia ada, kerana penganjur merasakan ia tidak boleh menang pilihan raya umum nanti, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Jadi mereka berharap dengan meniru, dapat menjatuhkan kerajaan, sedangkan kerajaan negara ini bukan seperti di negara Arab, bukan kerajaan kuku besi, ia adalah kerajaan yang dipilih rakyat.

"Apa yang mereka tiru itu bukan cara demokrasi... jika nak adakan perhimpunan atau demonstrasi perlulah ada alasan, tetapi bukanlah demonstrasi mengenai Shamsidar (Taharin).

Jadi seolah-olah bila ada sahaja kes mahkamah, kena adakan demonstrasi," katanya kepada pemberita di sini selepas menghadiri taklimat perkembangan pembangunan Cyberjaya oleh Kumpulan Emkay hari ini.

Shamsidar ialah isteri timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat Azmin Ali yang akan menjadi saksi kes saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Senator Datuk S.Nallakaruppan dan Utusan Melayu (M) Sdn Bhd.

Dr Mahathir berkata perhimpunan anjuran parti pembangkang itu mewujudkan keadaan serba salah kepada pihak berkuasa yang menjaga ketenteraman awam.

"Bila pihak berkuasa ambil tindakan akan dituduh bertindak kasar jika tidak mengambil sebarang tindakan juga tetap diperkatakan," katanya. – Bernama /Sinar Harian
KL112: KE ARAH LANDSKAP BARU - KDN

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang  menyiasat tindakan segelintir peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat yang membawa kanak-kanak menyertai perhimpunan di Stadium Merdeka, Sabtu lepas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, tindakan akan diambil berhubung perkara yang melanggar undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 selepas kertas siasatan dikemuka kepada peguam negara.
"Saya nak ingatkan walaupun ada pindaan-pindaan, itu bermakna pelaksanaan undang-undang negara mesti dipatuhi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Transformasi Perundangan berhubung keselamatan dan hak asasi hari ini.
Dalam pada itu, Hishamuddin melahirkan penghargaan kepada PDRM kerana berjaya mengawal perhimpunan pada Sabtu lepas sehingga berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
"Saya bersyukur kerana tiada insiden tidak diingini berlaku, kalau semuanya bertanggungjawab dan bersetuju dengan stadium yang ditetapkan, tiada provokasi, saya percaya bahawa apa yang kita lihat pada Sabtu itu adalah landskap baru," katanya.

Pada perhimpunan itu, peserta didapati melanggar tiga syarat yang ditetapkan iaitu membawa kanak-kanak berumur bawah 15 tahun, membawa plakad, sepanduk dan kain rentang berunsur hasutan selain peserta perhimpunan melebihi 30,000 orang.

Syarat itu antara 27 yang dipersetujui penganjur dan polis mengikut Seksyen 15(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang membawa kanak-kanak ke perhimpunan sekiranya bukti-bukti lengkap dapat dikemukakan.  Akta Perhimpunan Aman 2012 telah menetapkan larangan penyertaan kanak-kanak dan ia sepatutnya dipatuhi kerana golongan itu harus dilindungi .

"Undang-undang telah tersedia ada, sekiranya terdapat bukti kita (pendakwaan) akan mengambil tindakan, sekiranya tiada (bukti) kita tidak boleh mengambil tindakan. saya tidak terlebih dahulu  menghukum," katanya yang ditemui pemberita selepas sidang pleno dalam Persidangan Transformasi Perundangan Berhubung Dengan Keselamatan dan Hak Asasi di sini hari ini.

Katanya, larangan penyertaan kanak-kanak dalam perhimpunan awam bukan sahaja ditetapkan di negara ini tetapi juga diamalkan di beberapa negara Eropah.

Akta Perhimpunan Aman 2012 melarang mereka yang berusia di bawah 15 tahun menyertai atau dibawa ke sesuatu perhimpunan.

Pada Sabtu lepas, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata polis mendapati penganjur perhimpunan di Stadium Merdeka melanggar beberapa syarat yang dipersetujui termasuk membawa kanak-kanak berusia bawah 15 tahun. – Sinar Harian
KL112:  'TERIMA KASIH KEPADA PEMBANGKANG' - PM

KUALA LUMPUR - Sambil mengucapkan "terima kasih kepada pembangkang", Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berlangsung secara aman, anjuran Pakatan Rakyat (PR), di Stadium Merdeka Sabtu lalu, menjadi testimoni kepada keberkesanan penguatkuasaan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Najib berkata, ia membuktikan kemampuan semua pihak tidak kira pihak berkuasa mahu pun penganjur mematuhi peruntukan dan semangat akta itu.

"Pendek kata, apa yang berlaku menunjukkan bahawa islah dan reform kepada apa yang kita lakukan adalah tepat sekali.

"Terima kasih kepada pembangkang walaupun saya tak bersetuju dengan mereka, kerana telah menghormati semangat akta itu," kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian persidangan transformasi perundangan berhubung dengan keselamatan dan hak asasi di sini, hari ini.

Buat pertama kali satu perhimpunan anjuran pihak pembangkang diadakan di Stadium Merdeka. Penganjur menyasarkan penyertaan kira-kira sejuta orang. Ia dipercayai dihadiri sekitar 100,000 orang.

Himpunan Kebangkitan Rakyat yang turut dikenali dengan kod #KL112 dibenarkan oleh polis dengan 27 syarat manakala pengurusan Stadium Merdeka hanya membenarkan hadirin tidak melebihi 30,000 orang.

Ia yang berlangsung dari jam 2 hingga 5 petang berakhir dengan pengisytiharan deklarasi 10 perkara. –Bernama/Sinar Harian