Tuesday, January 15, 2013

ISU KALIMAH ALLAH:  PAS HADAPI TEKANAN

KUALA LUMPUR - Keputusan terbaru Majlis Syura Pas yang memutuskan kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu dibuat selepas menerima tekanan pelbagai pihak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, tidak mustahil sekiranya Pas mengekalkan keputusan untuk membenarkan penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam dengan syarat ia tidak disalahgunakan sekiranya mufti terus mendiamkan diri dalam isu tersebut.

Katanya, isu itu jelas menunjukkan ketidaksefahaman yang wujud dalam kalangan pucuk pimpinan Pas yang sanggup membenarkan penggunaan kalimah ALLAH untuk bukan Islam demi meraih sokongan pengundi beragama Kristian di Sabah dan Sarawak.

"Nama ALLAH yang dikhaskan untuk umat Islam pun sanggup dipolitikkan. Sebelum Majlis Syura mereka buat keputusan, kita telah lihat drama di kalangan pucuk pimpinan Pas bila ada pihak yang bersetuju dan ada yang tidak," katanya pada sidang media selepas membentangkan kertas kerja di Seminar Transformasi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) 2013 di sini hari ini.

Ahmad Maslan juga percaya masyarakat tidak sewenang-wenangnya akan melupakan pendirian Pas berhubung isu itu pada 2010 kerana isu sama telah dicanang secara meluas menerusi ceramah dan sidang media pihak pembangkang.

"Umno sudah pasti tidak akan menggadaikan kalimah ALLAH. Saya sendiri membaca dan mendapatkan pandangan ulama dan mufti tentang perihal ini dan tidak berbuat sesuka hati," katanya. – Bernama/Sinar Harian

No comments:

Post a Comment