Thursday, October 18, 2012

MODUL CEGAH HAMIL LUAR NIKAH DALAM KOKURIKULUM TAHUN 6 & TINGKATAN 3

KUALA LUMPUR: Satu projek perintis untuk mendidik pelajar mengenai bahaya seks luar nikah diperkenalkan sebagai sebahagian daripada kokurikulum sekolah pada bulan lepas, yang merupakan cara untuk mencegah kehamilan di kalangan gadis di bawah 16 tahun.

Pelaksanaan itu merupakan antara langkah yang diambil oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menangani isu sosial yang mencatatkan lebih 6,000 kehamilan dan kelahiran yang melibatkan gadis di bawah usia 16 tahun sejak tahun 2000.

“Berdasarkan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sejumlah 6,820 kehamilan dan kelahiran melibatkan gadis di bawah 16 tahun telah direkodkan antara 2000 dan 9 Oktober 2012,” kata menteri dalam jawapan bertulis kepada Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) di Parlimen.

Projek perintis itu merupakan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran, mengajar murid Tahun Enam dan pelajar Tingkatan Tiga mengenai risiko dan bahaya seks menerusi program Kesihatan Reproduktif dan Sosial.

Program itu berdasarkan modul Kesihatan Reproduktif Remaja oleh Persatuan Kesihatan Reproduktif Persekutuan.

“Program ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada kokurikulum untuk Tahun Enam dan Tingkatan Tiga selepas peperiksaan UPSR dan PMR, serta pelajar yang menjalani peperiksaan khas di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara mulai September,” katanya.

Kementerian itu berkata, terdapat 67 guru diberi latihan untuk mengajar 1,360 pelajar mengenai bahaya dan risiko seks sebelum berkahwin semasa program itu diadakan antara 8 dan 10 September.

KD: Pada asalnya kurang setuju pendedahan awal sebegini dilaksanakan. Tetapi memandangkan zaman kini anak-anak di usia remaja dan berdarah muda amat mudah tersasar dan terjebak dalam gejala sosial terutamanya anak luar nikah dan kes buang bayi, maka mungkin langkah ini adalah satu usaha yang baik. Paling utama subjek Pendidikan Agama Islam (juga Pendidikan Moral) perlu diutamakan kerana pegangan agama yang utuh adalah penyelamat kepada semua masalah.
PERODUA TAWAR KERETA MURAH UNTUK PELAJAR IPT

KUALA LUMPUR: Tawaran program pemilikan kereta terbaru Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) kepada pelajar tahun akhir institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, tidak termasuk dalam pakej pembelian kereta tanpa bayaran pendahuluan.

Pakej promosi istimewa ‘What’s Up Graduates’ itu memberikan peluang kepada kumpulan pelajar tahun akhir untuk memiliki kereta PERODUA dengan bayaran serendah RM299 sebulan, bergantung kepada pinjaman bank yang ditawarkan institusi kewangan.

Taja kelas memandu

Pengarah Jualan dan Pemasaran PERODUA, Zahari Husin, berkata pakej itu turut termasuk tajaan kelas belajar memandu bernilai RM1,000, perlindungan insurans kemalangan bernilai RM20,000 dan diskaun 50 peratus bagi servis asas selama dua tahun di 170 pusat servis PERODUA di seluruh negara.

“Tawaran ini terbuka untuk pembelian semua kereta model PERODUA, tetapi ia tidak termasuk dalam pakej pembelian kereta tanpa bayaran pendahuluan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menerusi tawaran bermula 10 Oktober lalu dan akan berakhir 31 Mac 2013, pelajar hanya perlu menunjukkan kad pelajar serta membawa seorang penjamin bagi memohon tawaran berkenaan ketika melaksanakan urusan jual beli kenderaan di semua cawangan PERODUA.

Bayaran serendah RM299 sebulan itu hanya ditawarkan untuk bayaran bulanan bagi tahun pertama saja dan bayaran bagi tempoh seterusnya akan beransur-ansur meningkat dari tahun ke tahun sehingga habis tempoh pinjaman, sejajar dengan kenaikan gaji.–BHarian

KD:Wah..bertuahnya mahasiswa sekarang. Pelbagai insentif dan kelebihan ditawarkan kepada mereka. Diharapkan promosi sebegini tidak disalahgunakan atau dibazirkan oleh para mahasiswa. Mereka perlu sedar, promosi sebegini adalah bermatlamat untuk menjaga kebajikan serta memberi galakan kepada mereka agar mendapat kejayaan dalam bidang kerjaya.
ISU PAPAN IKLAN DI KEDAH: SYARAT DAP SOKONG ISLAM

Perlu perbincangan

ALOR SETAR: DAP berpendapat garis panduan papan iklan ditetapkan kerajaan negeri PAS Kedah, hanya diguna pakai untuk umat Islam dan tidak membabitkan orang bukan Islam.

Pengerusinya, Lee Guan Aik, berkata DAP tidak menentang peraturan berunsurkan Islam jika mahu dilaksanakan, namun menegaskan ia perlu dibincangkan dalam sesama parti pakatan pembangkang sebelum diamalkan.

“Saya ingin tegaskan bahawa saya tiada halangan untuk kerajaan negeri melaksanakan pendekatan Islam tetapi ia haruslah dibincangkan dulu sesama parti lain dalam pakatan,” katanya.

Baru-baru ini, beliau dilaporkan berkata, DAP Kedah menentang undang-undang yang berunsurkan Islam jika ia mahu dilaksanakan di negeri itu.

Isu itu timbul selepas kerajaan negeri memutuskan garis panduan baru papan iklan, antaranya menggunakan model berpakaian sopan dan jika beragama Islam perlu memakai tudung.

Harus dipersetujui semua

“Sebarang perkara berkaitan peraturan Islam perlu dipersetujui semua parti dalam pakatan pembangkang di peringkat pusat dan negeri,” katanya.

Guan Aik, berkata kenyataan beliau mengenai papan iklan sebelum ini diputar belit hingga menggambarkan beliau dan DAP sebagai anti-Islam hingga menjejaskan keselamatannya.

Katanya, beliau terpaksa membuat laporan polis kelmarin kerana bimbang keselamatan dirinya dan keluarga serta ahli DAP Kedah diganggu mana-mana pihak yang marah dengannya berkaitan isu itu. -BHarian

KD:Oh, begitu ceritanya. DAP  bukannya tidak bersetuju dengan garis panduan yang ditetapkan kerajaan negeri, tetapi ia mereka mahu keputusan itu dicapai melalui perbincangan dan penjelasan yang terang lagi jelas. Inilah yang sewajarnya. Kini, kedua-dua pihak perlu duduk semeja, bertemu-muka serta membuat sidang media bersama agar kecelaruan atau salah faham di kalangan rakyat dapat dirungkai.

HARGA RUMAH LEBIH MURAH

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menimbang untuk membiayai kos infrastruktur bagi membolehkan pemaju swasta membina lebih banyak rumah di bawah harga pasaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau sudah meminta Perbadanan Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) berbincang dengan pemaju swasta untuk menyediakan model kedua pembinaan lebih banyak rumah mampu milik.

 “Kita boleh mengadakan perjanjian sedemikian. Kita (kerajaan) akan menyediakan jumlah tertentu bagi kos infrastruktur, dengan syarat pemaju swasta membina rumah yang lebih rendah harganya berbanding harga pasaran,” katanya.

REHDA sambut baik Najib menjawab soalan penyampai radio, Chui Ling dan Jentzen mengenai isu harga rumah, yang dikatakan mahal di Lembah Klang dalam temubual selama sejam program pagi radio ‘Morning Boss’, Melody FM di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri Michael Yam yang dihubungi BH mengenai perkara itu berkata, jika kerajaan boleh menampung kos keseluruhan pembinaan infrastruktur, harga rumah boleh dikurangkan sehingga 10 peratus.

Beliau yang menyambut baik hasrat itu, berkata dalam kos pembinaan perumahan, 10 peratus adalah untuk pembinaan infrastruktur.

“Tapi jika sebahagian saja kos berkenaan ditanggung kerajaan, harga rumah mungkin dapat diturunkan sekitar lima hingga 10 peratus. Selain itu, lokasi sesebuah projek perumahan juga memainkan peranan dalam perkara ini,” katanya.

Buka pendaftaran

Perdana Menteri dalam program itu juga menjelaskan kerajaan akan membelanjakan RM500 juta untuk membina 80,000 rumah di lokasi utama di seluruh negara dan pembinaannya dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Katanya, kerajaan akan membuka pendaftaran bagi rumah PR1MA sebaik kawasan untuk membina rumah mampu milik dikenal pasti.

“Tetapi kita boleh melakukannya cepat jika ada pemaju swasta yang bersedia menyertai satu bentuk perjanjian kerjasama dengan PR1MA; maka rumah itu boleh dimasukkan di bawah model kedua yang saya sebutkan.

“Kami akan menyediakan peruntukan kerajaan untuk membiayai kos infrastruktur dan mereka boleh menjual rumah itu pada harga lebih rendah kepada orang ramai.

“Jadi saya harap pemaju perumahan mendengar siaran stesen radio ini pagi ini. Datang dan berbincanglah dengan kami sama ada anda boleh menyertai dalam model kedua ini supaya lebih banyak rumah mampu milik dibina untuk orang ramai,” katanya. -BHarian