Friday, November 9, 2012

AES MAMPU ELAK PENGUAT KUASA RASUAH

KOTA KINABALU: Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi mengesan pesalah trafik bukan hanya mendidik pemandu supaya mematuhi undang-undang jalan raya, malah mampu menghalang rasuah membabitkan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah, Datuk Hisham Nordin, berkata ia selaras galakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penggunaan peralatan automasi mengurangkan rasuah. 


Katanya, penggunaan AES dapat mengurangkan unsur budi bicara, yang boleh mendorong pemandu memberi suapan kepada penguat kuasa JPJ bagi mengelak disaman atas kesalahan trafik. 

“Kita berpendapat unsur budi bicara antara faktor yang sering menyebabkan rasuah dan bagi mengatasinya, penggunaan peralatan automasi seperti kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesan pesalah adalah digalakkan.

“Menerusi AES, saman dikeluarkan tanpa kehadiran penguat kuasa,”katanya kepada media selepas menyampaikan taklimat Kejayaan NKRA Membanteras Rasuah kepada badan bukan kerajaan (NGO), di sini, semalam.

Hisham berkata, AES juga mampu menjaga nama baik JPJ kerana dapat mengelak tuduhan rasuah membabitkan penguat kuasa jabatan itu seperti yang sering difikirkan masyarakat.
Sementara itu, Hisham berkata, sehingga kini seramai 72 individu diberikan perlindungan SPRM mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat sejak akta itu dikuatkuasakan pada 15 Disember 2010.

Katanya, perlindungan menyeluruh diberikan kepada individu yang membuat laporan mengenai sesuatu kes rasuah bagi menjamin keselamatan dan memastikan kerjaya serta kedudukan mereka tidak terjejas.

“Bagaimanapun, perlu difahami bahawa perlindungan ini akan terhapus jika individu terbabit menghebahkan maklumat mengenai kes rasuah yang mereka laporkan kepada media,” katanya. -BHarian