Sunday, September 9, 2012

HATI-HATI DENGAN UBAT PALSU !!

PETALING JAYA: Beberapa ubat palsu yang dijual di negara ini adalah berbahaya dan boleh membunuh, menurut Kementerian Kesihatan.

Bahagian penguatkuasaan farmasi berkata, satu rang undang-undang sedang digubal untuk meningkatkan hukuman bagi penjualan ubat-ubat palsu.

Pengarah bahagian, Mohd Hatta Ahmad berkata, ubat perangsang seks, penahan sakit dan campuran ubat batuk merupakan antara ubat yang dipalsukan dan dijual pada harga lebih murah berbanding yang asli.

Beliau memberitahu bahawa bahagian itu mendapati ubat palsu dan seumpamanya seperti ubat titis mata, pencegah kuman dan demam, turut dijual di gerai tepi jalan dan kedai perubatan tradisional.

Beliau berkata, produk palsu berkenaan telah dirampas sama ada ia dihasilkan secara tempatan atau dibawa dari negara-negara seperti Indonesia, Thailand, Filipina, India dan China.

Mohd Hatta memberi amaran bahawa memakan ubat perangsang seks palsu yang mengandungi ‘slidenafil’, ‘tadafil’ dan ‘verdanafil’ atau ubat pelansing yang mengandungi ‘sibutramine tanpa pengawasan yang betul daripada doktor perubatan’ boleh mengakibatkan kesan yang serius.

“Ubat palsu ini juga boleh mengakibatkan kematian kerana ia memusnahkan organ-organ penting badan dan dilaporkan turut menyebabkan gangguan mental,” katanya.

Mohd Hatta menegaskan bahawa semua produk farmaseutikal mestilah berdaftar dengan kementerian sebelum ia boleh dipasarkan.

Mengenai rang-rang undang baru itu, Mohd Hatta berkata, ia akan menentukan dengan jelas tentang produk perubatan palsu dan mengenakan hukuman 10 kali lebih daripada hukuman semasa.

Berdasarkan statistik bahagian itu menunjukkan penjualan ubat-ubatan palsu tidak meluas, dan kebanyakkannya melibatkan di luar kaunter dan ubat preskripsi untuk kepentingan tertentu seperti Viagra dan Cialis.

“Kajian baru-baru ini mendedahkan kelaziman ubat-ubatan palsu adalah antara 3 peratus dan 6 peratus di pasaran,” kata Mohd Hatta. -MStar
SINGKIR ANGGOTA SABOTAJ PARTI

MUAR: Mana-mana anggota atau pemimpin Umno yang didapati bertindak mensabotaj calon dalam pilihan raya umum (PRU) akan disingkir daripada parti.

Amaran keras itu disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin terutama terhadap mereka yang kecewa kerana tidak terpilih menjadi calon. "Dalam pilihan raya akan datang kalau dia sabotaj, kita akan singkir dia keluar daripada parti, kita tidak perlukan orang sebegini, minta maaf..."

"Presiden pun telah bersetuju. Kami tidak memerlukan orang yang mensabotaj calon kerana kalau kalah calon, kalahlah kita," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Bakri di sini, Sabtu.

Muhyiddin berkata dalam keadaan politik yang disifatkan sebagai genting pada masa kini, Umno amat menuntut kepada kesetiaan dan ketaatan anggotanya kepada parti. "Dalam sejarah pilihan raya di Kelantan sendiri kita pernah hilang satu kerusi sebab dua undi dan kerana itu juga kita tidak cukup satu kerusi untuk tubuh kerajaan di negeri Kelantan, jadi... jangan sabotaj.

"Letakkan kesetiaan dan ketaatan kepada parti bukan pemimpin. Kalau kita nak letak calon, kita nilai penerimaan masyarakat dan teliti satu persatu kerana kita tidak boleh main-main lagi," katanya.

Sementara itu dalam sidang media yang diadakan selepas merasmikan persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pagoh di sini, beliau berkata pemecatan akan dilakukan selepas siasatan dilakukan.

"Pemecatan dibuat berdasarkan laporan. Kita tidak bertindak sewenang-wenang. Selepas disiasat dan sekiranya benar maka tak ada pilihan dia kena terima hukuman," katanya. Katanya terbukti berdasarkan pengalaman lalu kekalahan Barisan Nasional (BN)di sesetengah negeri bukan kerana rakyat tidak menyokong calon tetapi kerana masalah dalaman bahagian apabila ada pihak yang tidak mahu membantu malah mensabotaj calon dan parti.

"Pengalaman lepas itu amat berguna kepada kita bagi mengelak perkara tersebut berulang," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap perkara sedemikian tidak lagi berlaku dalam PRU akan datang.

Ini kerana, katanya kerana semua anggota BN tahu tentang pentingnya pilihan raya umum akan datang kepada parti.

Muhyiddin turut meminta semua pihak akur dan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan berhubung pemilihan calon. Ini kerana, katanya pemilihan calon itu dibuat berdasarkan perlembagaan parti, perundingan dengan pemimpin di semua peringkat dan menjalani tapisan yang begitu rapi bagi menentukan calon yang dipilih adalah calon terbaik.

"Sebab itu kita harap mereka bukan hanya akan menerima sahaja keputusan itu tetapi turut bekerja membantu calon dan kawasan kita untuk mencapai kemenangan cemerlang. Bagi saya itu adalah satu perkara yang amat penting sekali," katanya.

Beliau berkata pemantauan akan dibuat di semua kawasan lebih-lebih lagi yang dahulunya terlepas ke tangan pembangkang dan boleh dimenangi semula, kawasan yang mempunyai masalah dalaman, kubu kuat dan kawasan yang mempunyai persaingan sengit daripada pembangkang.

Semua parti komponen BN telahpun menghantar senarai nama calon mereka dan kini masih dalam peringkat penilaian, katanya.

Kata Muhyiddin terdapat ramai tokoh yang berkelayakan untuk menjadi calon namun BN tidak boleh mengambil mudah perkara tersebut dan perlu membuat proses pemilihan yang ketat bagi memastikan kemenangan parti.-BERNAMA/MStar
KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG 'ANAKTIRIKAN' PROJEK PERUMAHAN KERAJAAN PUSAT?

NIBONG TEBAL: Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang mengenakan pelbagai syarat tambahan untuk meluluskan projek perumahan kos rendah oleh tiga agensi kerajaan pusat.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Zainal Abidin Osman berkata agensi terbabit ialah Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), JKP Sdn Bhd dan Lembaga Pembangunan Bandar (UDA).
"Kita telah menerima surat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menyatakan bahawa mulai sekarang, semua projek perumahan ketiga-tiga agensi itu hendaklah terlebih dahulu dimajukan kepada Jawatankuasa Perancangan Negeri yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Beliau berkata berdasarkan amalan baharu itu, setelah jawatankuasa pembangunan berpuas hati, barulah projek perumahan dirujuk kepada PBT untuk kelulusan pelan dan pemberian Sijil Kependudukan (OC).

Katanya syarat itu tidak pula dikenakan kepada syarikat pemaju swasta yang boleh terus melaksanakan projek mengikut amalan biasa, iaitu hanya memohon kepada PBT.

Zainal Abidin juga berkata jika permohonan projek perumahan kos rendah itu dimajukan kepada sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Menteri, perbincangan berhubung cadangan projek tersebut tertakluk kepada mesyuarat yang dipengerusikan beliau dan ia akan mengambil masa mungkin berbulan-bulan untuk mendapat maklum balas.

"Kita minta Lim memberi penjelasan kenapa beliau berbuat demikian, dan ia ternyata satu amalan yang menyusahkan serta melewatkan projek," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perda Datuk Azhar Ibrahim berkata pembinaan lebih 1,000 unit rumah kos rendah agensi tersebut di seluruh negeri kini tertangguh kerana masih menunggu maklum balas daripada kerajaan negeri.

"Kita dikenakan pelbagai syarat tambahan seperti diarah membina jalan yang tiada dalam pelan, membina sistem perparitan yang sepatutnya dibina oleh Jabatan Perparitan dan Saliran, serta pelbagai syarat lain yang remeh-temeh", katanya.

Beliau juga mendakwa Lim ternyata berniat menyusahkan projek kerajaan pusat walaupun ia untuk manfaat rakyat Pulau Pinang. - BERNAMA/MStar
TUN ABDULLAH INGATKAN ORANG UMNO JANGAN CEPAT MERAJUK DAN "TENDANG BETIS KAWAN"

KEPALA BATAS: Bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan anggota Umno agar jangan cepat merajuk dan "tendang betis kawan" jika mahu parti itu menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)nanti.

Abdullah berkata dua sikap itu bukan sahaja akan merosakkan Umno malah akan merugikan Barisan Nasional (BN) kerana pembangkang akan lihat parti itu lemah.

Menurut beliau sikap seumpama itu bukan semangat atau penjuangan parti, sebaliknya para anggota perlu bersama-sama Umno untuk berjuang dan punya sikap pentingkan Umno demi agama, bangsa dan negara.

"Sikap muafakat dalam parti perlu diteruskan demi perjuangan parti kita dan saya tidak mahu dengar ada yang bergaduh sesama sendiri dalam Umno kerana itu akan menjadikan parti kita kelam kabut dan lemah," katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas, di sini Ahad.

Yang turut hadir Ketua Pemudanya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno.

"Umno perlu bersatu walau apa jua masalah yang dihadapi kerana parti kita adalah tunjang kepada negara dan kaum lain lihat dengan apa yang parti kita buat...mereka juga mula memberi sokongan kepada BN," katanya.

Selain itu, katanya, semua parti komponen dalam BN juga perlu meneruskan sikap hormat menghormati dan bekerja bersama supaya nasib rakyat dapat dibela.

"Pemimpin-pemimpin yang ada sekarang ini juga perlu turun padang dan mendengar masalah rakyat, jangan sampai mereka tolak kita kerana sikap pemimpin itu sendiri yang tidak membantu mereka (pengundi)," katanya.

Beliau turut mengingatkan anggota Umno supaya menjaga percakapan dan tidak sombong kerana parti itu bersifat penuh kasih sayang.

Sementara itu, Ketua Pemuda bahagian itu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno, memberi jaminan Pemuda Umno akan memastikan Parlimen Kepala Batas menjadi kubu kuat Umno.

Katanya, kehadiran ramai golongan muda termasuk dari pelbagai kaum pada hari ini menunjukkan sokongan mereka terhadap BN semakin meningkat dan beliau yakin Umno akan dapat mempertahankan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Kepala Batas.

"Umno tidak pernah kalah di Kepala Batas dan Tun Abdullah sendiri menjadi Anggota Parlimen sejak 1978, kami berjanji di hadapan Tun (Abdullah) yang pemuda di Kepala Batas akan memastikan Parlimen kita sebagai kubu kuat Umno sampai bila-bila," katanya. – BERNAMA/MStar