Friday, December 28, 2012

WARGA INDONESIA SELESA CARI REZEKI DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Mencari rezeki dengan bekerja di Malaysia merupakan pilihan terbaik menurut pandangan sebahagian warganegara Indonesia yang sudah lama bekerja di negara ini dalam sektor-sektor yang dibenarkan kerajaan.

Mereka mengakui murah rezeki di bumi Malaysia kerana terdapat banyak dan luasnya peluang pekerjaan selain faktor majikan yang baik bagi yang bekerja sebagai pembantu rumah, upah yang lumayan bagi pekerja sektor lain berbanding dengan di kampung asal mereka dan berasa aman tinggal di sini dengan mempunyai surat perjalanan dan visa yang lengkap.

Aspek surat dan dokumen perjalanan yang sah sentiasa menjadi nasihat utama Duta Besar Indonesia di Malaysia yang baru Herman Prayitno kepada warga Indonesia di segenap ceruk rantau Malaysia.

Beliau tidak mahu warga Indonesia yang bekerja di negara ini mengambil mudah hal ehwal pengurusan dokumen penting seperti pasport dan pembaharuan permit kerja bagi mengelak sebarang kesulitan kepada pekerja, yang sekali gus dapat pula menjamin hak-hak mereka sebagai pekerja di negara ini.

"Selain itu, warga Indonesia di Malaysia juga harus menjunjung undang-undang negara ini, bekerja dengan baik dan hidup dengan aman," katanya pada satu pertemuan dengan sebahagian warga negara Indonesia di sini baru-baru ini.

Sehingga kini dianggarkan terdapat seramai dua juta warganegara Indonesia yang bekerja di Malaysia dengan 20 peratus daripadanya bekerja sebagai pembantu rumah.

Banyak pengalaman manis dan menarik yang dialami oleh tenaga kerja Indonesia di Malaysia, juga cerita-cerita kejayaan mereka membantu menyara keluarga di tanah air , malah mengumpul cukup wang untuk membeli serba sedikit harta seperti rumah dan kenderaan di kampung halaman.

Seorang pembantu rumah warga Indonesia, Sutini, 37, tidak pernah menyangka majikannya memberikan limpahan kasih sayang dan menghormati dirinya sekali gus mengubati kerinduannya kepada keluarga di Indonesia.

"Saya sayang kepada majikan sebab saya hormati dia dan pada masa yang sama dia pun hormati saya serta beri kebebasan kepada saya di sini...saya memang untung mendapat majikan sepertinya.

"Dulu saya pernah jaga ibu majikan saya semasa dia jatuh sakit, jadi dia (majikan) tahu saya ikhlas. Saya jaga emaknya seperti ibu sendiri sebab saya pun tiada ibu sejak kecil," katanya yang kemudiannya pula menjaga majikannya yang disahkan doktor menghidap barah kerongkong.

Sutini yang telah berkhidmat selama lapan tahun sebagai pembantu rumah kepada Ngeow Yee Kong, 50, di Cameron Highlands turut diberi kepercayaan untuk menguruskan perniagaan sayur setelah majikannya itu jatuh sakit.

Sementara itu, seorang lagi pembantu rumah dari Indonesia, Khomisah Khasanudin, 39, berkata umpama mimpi, beliau tidak menyangka berpeluang meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dengan belajar bahasa Inggeris apabila menjejak kaki ke Kuala Lumpur.

"Apatah lagi, dapat belajar pula secara gratis (percuma).(I) cannot believe. (When I) go back home (to East Java) I can talk English," katanya ketika ditemui Bernama di kelas yang diadakan di tingkat atas sebuah restoran makanan Indonesia dekat Pasar Seni baru-baru ini.

Mengakui buta huruf, beliau belajar dengan cara menghafal dan mengulangi lafaz dan kata-kata untuk perbualan harian dalam bahasa Inggeris.

Bekerja di rumah majikannya di Bangsar, dia hanya mengeluarkan belanja RM4 seminggu sekali untuk tambang bas pergi balik ke kelas itu selain sedikit lagi untuk makan tengah hari bersama rakan sekelas.

"Saya juga beruntung kerana majikan tidak menghalang, sebaliknya sangat kuat mendorong saya belajar untuk menambah pengetahuan," katanya, yang menganggap Malaysia sebagai bumi bertuah baginya.

Sutini dan Khomisah adalah dua cerita kejayaan rakyat Indonesia membina kehidupan yang lebih baik untuk keluarga mereka di kampung halaman dengan hasil rezeki halal yang diperolehi di Malaysia.

Banyak lagi tenaga kerja Indonesia yang mempunyai cerita-cerita manis termasuk yang berpeluang melawat ke pelbagai negara dan juga mengerjakan umrah bersama majikan mereka.

Bagi Ketua Kumpulan Ibu-Ibu Indonesia yang menetap di Malaysia atau dikenali 'IndoKL Women', Yuri Hudiyana Utami yang sudah hampir 10 tahun menetap di negara ini kerana mengikut suaminya yang bertugas sebagai Pengurus Teknologi Maklumat di sebuah sekolah antarabangsa, rasa kekok menyesuaikan diri hanya sebulan dua terawal sahaja.

Faktor bahasa yang hampir sama, sosiobudaya yang tidak banyak berbeza, pelbagai kemudahan awam dan keramahan rakyat Malaysia berbilang kaum serta keadaan aman damai merupakan antara penambat hati mereka untuk terus menetap di negara ini.

"Layanan baik yang saya terima daripada rakan dan sahabat handai Malaysia termasuk jiran tetangga dan rakan-rakan sekerja suami, membuatkan saya cepat merasa seperti berada di rumah sendiri. Saya percaya ramai lagi yang mempunyai pengalaman sama dengan saya.

"Benar, tidak susah untuk jatuh hati kepada Malaysia dan rakyatnya. Asal ikhlas bergaul dengan jiran-jiran, kita dapat rasai keikhlasan dan penerimaan mereka...secara tak langsung boleh ubah pandangan kita terhadap orang Malaysia dan juga pandangan orang Malaysia terhadap orang Indonesia," katanya.

Beliau berkata hal fasiliti yang lebih teratur dan sistematik serta sistem pemerintahan yang diterajui dengan baik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut memberi keselesaan kepada mereka untuk terus tinggal di sini.

Bagi wartawan Aulia Badar pula, pengalaman yang ditimba di Malaysia bukan sekadar melaporkan mengenai perkembangan ekonomi, sosio-budaya dan pendidikan di negara ini untuk tatapan warga Indonesia, malah turut membuka peluang baginya berbakti kepada sesama tenaga kerja Indonesia di sini.

Kelas latihan bahasa Inggeris dan komputer dan yang diusahakannya dengan beberapa lagi ekspatriat profesional Indonesia di sini sudah melatih lebih 100 rakan senegara menimba kemahiran baru, malah kini diperluaskan dan dengan kebenaran Kedutaan Indonesia dipindahkan ke premis tetap di Sekolah Indonesia di sini untuk menampung lebih banyak permintaan. - BERNAMA/mStar

Thursday, December 27, 2012


HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT?

Himpunan Kebangkitan Rakyat akan tetap berlangsung di Stadium Merdeka pada 12 Januari walaupun tanpa permit dari pihak berkuasa.

Aktivis sosial Hishamuddin Rais memberitahu, pihak penganjur masih menunggu respon dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkenaan dengan permohonan mereka untuk manggunakan Stadium Merdeka, yang sudah dihantar minggu lalu.

Akan tetapi, beliau menegaskan walaupun tiada permit, peserta perhimpunan boleh berkumpul di keliling stadium secara aman.

“Saya hanya mengulangi kata Md Sabu, jika tiada permit, kita akan berkumpul di sekeliling stadium,” kata beliau merujuk kepada Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, yang merupakan pengerusi kepada perhimpunan tersebut.

“Saya tidak fikir akan berlaku huru-hara, kecuali jika polis memulakannya. Saya fikir masa tidak kondusif untuk ini….. tetapi kami tidak bimbang tentang itu dan akan berhadapan dengannya jika berlaku,” kata Hishamuddin lagi.

Jika perhimpunan ini berlangsung tanpa kebenaran, jalan raya di ibu kota akan sekali lagi menjadi fokus dunia dan pergerakkan sivil seluruh negara, bersama parti Pakatan Rakyat (PR) dan kumpulan anti-kerajaan lain, dalam menuntut beberapa isu utama menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Hishamuddin berkata, Himpunan Kebangkitan Rakyat akan menggabungkan semua pergerakan yang tidak berpuas hati dengan dasar dan keputusan kerajaan, golongan pro-perubahan, pro-demokrasi dan pro-pembangkang, dalam usaha untuk menakutkan parti pemerintah dari menipu semasa pilihan raya akan datang.

Pada sidang media mengumumkan perhimpunan tersebut minggu lalu, Mohamad menjemput semua kumpulan yang tidak berpuas hati dengan kerajaan untuk menyertai perhimpunan terbesar itu.

“Kita tidak berselindung memilih tarikh tersebut secara spesifik kerana ia dekat dengan pilihan raya. Dan benar jika ada yang mengatakan ini politikal.

“Adalah jelas ia adalah satu acara untuk melancarkan tekanan ke atas kerajaan hari ini supaya mereka tidak akan melakukan penipuan besar-besaran semasa pilihan raya, supaya ia tidak akan menjadi pilihan raya yang dicuri,” kata Hishammuddin.

Aktivis tersebut, yang juga merupakan ahli jawatankuasa pemandu Bersih 2.0, mengingatkan walaupun perhimpunan ini bersifat politik, pengelibatan kumpulan masyarakat sivil bermaksud mereka mahukan tuntutan mereka ditunaikan – dari menuntut kilang Lynas ditutup di Kuantan, pemberian royalti yang adil, pendidikan percuma dan pilihan raya bebas dan adil.

“Kumpulan ini telah menyuarakan tuntutan mereka, dan bukan sahaja untuk kerajaan hari ini akan tetapi termasuk kerajaan akan datang.

“Tuntutan ini masih sah kepada pemerintah akan datang, tolong ingat ini,” kata Hishamuddin sebelum menambah bahawa tuntutan pilihan raya bebas dan adil adalah mesej utama perhimpunan tersebut.

Penganjur mensasarkan satu juta orang untuk hadir ke Stadium Merdeka pada 12 Januari dengan warna hijau anti-Lynas, kuning Bersih 2.0, oren pergerakan anti Felda Group Venture Holdings (FGVH) dan merah untuk kumpulan yang menuntut royalti.

Kumpulan menuntut reformasi pilihan raya Bersih 2.0 tahun lalu cuba untuk mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka tetapi diketepikan oleh kabinet Datuk Seri Najib Razak pada saat akhir.

Peserta perhimpunan walau bagaimanapun meneruskan perhimpunan di jalan-jalan di ibu negara pada 9 Julai 2011 menyebabkan keadaan huru-hara apabila polis anti perusuh menawan kawasan terbabit dengan menggunakan gas pemedih mata dan meriam air.

Perhimpunan tersebut menyebabkan pergerakan hak asasi manusia bercambah disamping kecaman antarabangsa terhadap kerajaan Najib di atas tindakan keras polis kepada peserta perhimpunan.

Dua perubahan besar dilakukan akibat daripada perhimpunan tersebut - iaitu Akta Perhimpunan Aman 2011 digubal untuk mengawal perhimpunan awam dan kerajaan membentuk sebuah jawatankuasa terpilih Parlimen (PSC) untuk reformasi pilihan raya bagi melihat ke atas tuntutan Bersih 2.0.

Bersih 2.0 menganjurkan satu lagi perhimpunan tahun ini selepas mengatakan reformasi pilihan raya tidak mencukupi dan tidak ikhlas, walaupun terdapat akta untuk perhimpunan aman, perhimpunan pada 28 April menjadi lebih ganas dari sebelumnya.

Kali ini, peserta perhimpunan berkumpul untuk “duduk bantah secara aman” di Dataran Merdeka, dimana pihak berkuasa menutup kawasan tersebut selepas mendapat perintah mahkamah melarang peserta memasuki kawasan tersebut. - The Malaysian Insider
NIK AZIZ PERLU TARIK FATWA MENGENAI UMNO MURTAD DAN MUNGKAR - AHMAD MASLAN

KOTA BAHARU: Selain Amanat Hadi yang perlu ditarik balik Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam negara ini, Mursyidul Am parti pembangkang itu juga perlu berbuat demikian kerana mengeluarkan beberapa fatwanya sendiri.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata ini kerana beberapa fatwa oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan terutamanya mengenai Umno murtad dan sesiapa yang menyokong Umno sebagai mungkar, turut memberi implikasi buruk terhadap bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini.

"Nik Aziz perlu menarik balik fatwanya itu yang boleh menjadi perpecahan bangsa Melayu dan umat Islam. Bukan Abdul Hadi sahaja yang perlu berbuat demikian (menarik balik amanat)," katanya kepada pemberita selepas melawat 157 mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Mulong di sini, malam Rabu.

Ahmad berkata ini sejajar dengan titah Sultan Kelantan Sultan Muhammad V semalam yang mahukan umat Islam supaya saling menghormati dan mengelak daripada sengketa berpanjangan.

Ahmad berkata masyarakat sebenarnya keliru dengan fatwa politik yang dibawa PAS, yang boleh berubah-ubah mengikut keadaan.

"Bukan orang Islam sahaja yang keliru malah orang bukan Islam juga keliru. Kita tidak boleh biarkan pihak lain menempelak orang Islam dalam hal-hal sebegini," katanya.

Beliau berkata titah baginda itu tepat pada masanya dan tidak terlewat bagi umat Islam untuk mengubah nasib mereka sendiri. –BERNAMA/mStar

Wednesday, December 26, 2012

BN MAMPU MENANG DUA PERTIGA KERUSI PRU-13

Melaka Tengah: Barisan Nasional (BN) mampu menang dua pertiga kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata, kemenangan itu mampu dicapai sekiranya semua ahli parti tidak bersikap terlalu yakin, tidak sabotaj parti dan perlu menggandakan usaha bagi memastikan kejayaan itu.

“Saya berpendapat BN boleh melakukannya (menang dua pertiga majoriti) sekiranya mengekalkan 140 kerusi Parlimen yang dikuasai sekarang dan merampas masing-masing lima kerusi daripada PAS dan DAP, manakala 10 lagi daripada PKR.”

Rampas 20 kerusi
“Ini pendapat peribadi saya...semuanya logik kerana tujuh daripada 10 kerusi PKR kini bermasalah iaitu enam keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas, manakala satu lagi kalah pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor. Jadi, saya rasa kita mampu merampas 20 kerusi Parlimen yang dimenangi pembangkang pada PRU-13,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pemukiman Pemantapan Profesionalisme Kelab Kebajikan dan Rekreasi Penerangan di Hotel Seri Costa di sini, semalam.

Ditanya faktor keyakinan BN mampu merampas kerusi selain disebabkan masalah yang dihadapi parti pembangkang, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meminta semua pihak melihat pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejak mengambilalih pada 2009.

Di bawah teraju Perdana Menteri selama tiga tahun lapan bulan, kita tidak pernah dengar sebegitu banyak program dilaksanakan.

20 jenama 1Malaysia

“Melaluinya (pemerintahan Najib) kita ada 20 jenama produk 1Malaysia, lima jenis transformasi serta pembaharuan yang dilakukan termasuk program tinjauan mesra, turun padang, janji ditepati dan pemberian terus subsidi kepada rakyat. Semua ini tidak pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.

Ahmad berkata, dengan ketegasan Perdana Menteri yang mahukan calon boleh menang, beliau yakin BN boleh mencapai kemenangan majoriti dua pertiga.

“Jika kita berfikiran positif, maka tindak tanduk kita positif, tak kan kita tak boleh tawan, apa yang saya sebut ini adalah logik,” katanya. -BHarian
GUNA SEPENUHNYA PENGALAMAN VETERAN UMNO PASTIKAN BN MENANG

KUALA LUMPUR: Cawangan dan bahagian Umno di seluruh negara digesa menggunakan sepenuhnya pengalaman dan pengaruh anggota veteran parti itu bagi memastikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Kelab Veteran Umno Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pengalaman dan pengaruh luas anggotanya mampu memberikan 'peluru' yang diperlukan BN bagi menidakkan impian pembangkang menakluk Putrajaya.

"Apa yang kami mahu ialah untuk membantu menguatkan parti sesuai dengan moto kami 'veteran pemangkin kepimpinan Umno'.

"Kami tidak mempunyai cita-cita untuk kembali aktif di mana-mana peringkat atau bertanding memegang sebarang jawatan. Kami cuma mahu Umno dan BN kekal memerintah serta menang besar nanti," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, menerusi slogan 'Keluargaku Pengundi BN', kelab itu akan memastikan setiap undi keluarga veteran Umno tidak akan tercicir dan pasti keluar untuk mengundi memilih BN.

"Dengan kekuatan lebih 700,000 anggota di seluruh negara, kami akan kerah semua anggota kami untuk menguatkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti," tegasnya. – BERNAMA/mStar

Tuesday, December 25, 2012

'AMANAT HADI' ?

Seorang Ulama seharusnya bersikap tawaduk dan rendah diri tetapi berani mempertahankan perkara yang benar dan hak.

Apabila dikritik atau dipersoal tindakannya, seorang Ulama tidak akan melatah atau marah, sebaliknya akan memperjelaskan keadaan sebenar dengan tenang dan yakin atas kebenaran yang diperkatakannya.

Namun, sifat-sifat wajib seorang Ulama ini tidak terdapat dalam diri ulama-ulama PAS.

Mursyidul Am PAS sendiri, iaitu yang dianggap penyokongnya sebagai ulama tahap tertinggi di dalam parti itu, dan di dalam negara atau mungkin juga dunia, cukup terkenal dengan sifat yang bertentangan dari sifat-sifat di atas.

Nik Aziz amat terkenal dengan takbur, riak dan sering marah siap dengan memaki hamun dan mencerca sesiapa yang mengkritik atau mempersoalkan tindakannya.

Begitu juga dengan Presiden PAS, iaitu Dato’ Seri Hadi Awang yang juga berkongsi sifat yang sama. Lebih buruk lagi, Hadi Awang juga nampaknya seorang yang pengecut apabila tidak berani tampil memberi respon terhadap isu Amanat Kafir yang difatwakannya sendiri hampir 3 dekad lalu.

Walaupun sudah berhari-hari isu ini ‘dipanaskan’ semula oleh media-media perdana, tetapi Hadi Awang masih membisu hatta langsung hilang dari ‘radar’.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah pun membuat teguran rasmi melalui surat terhadap Hadi Awang.

Surat tersebut dikeluarkan setelah bermesyuarat bersama beberapa tok guru pondok serta Mufti dan Timbalan Mufti Kelantan. Mesyuarat tersebut menggariskan 8 perkara yang membuktikan bahawa fatwa Hadi Awang itu telah membawa kepada kepercayaan sesat di kalangan masyarakat, antaranya:

8 perkara dalam amanat Hadi

        percaya bahawa tidak sah solat yang diimamkan orang UMNO,
        percaya bahawa haram makan sembelihan orang UMNO,
        percaya bahawa tidak sah pernikahan yang dijalankan oleh kadhi atau imam yang dilantik UMNO dan pasangan yang 
        terlibat perlu dinikahkan kembali dengan segera
        percaya bahawa terfasakh pernikahan dengan pasangan yang menyokong UMNO
        percaya bahawa jenazah orang UMNO tidak perlu disembahyangkan sepertimana orang kafir atau murtad
        percaya bahawa tidak boleh membenarkan orang UMNO melakukan sembahyang jenazah ke atas orang PAS/Islam.
        percaya bahawa tidak boleh mengebumikan orang UMNO di tanah perkuburan Islam
        percaya bahawa ibadah orang UMNO tidak diterima Allah SWT.

Pihak PAS berusaha menolak dan menutup isu ini dengan alasan ia telah basi, namun soal syahadah dan akidah, soal hubungan suci suami isteri, hubungan darah daging, soal kesinambungan hidup serta kehilangan nyawa, serta soal murni perpaduan ummah dan masyarakat setempat, tidak mungkin basi kerana ia bukan sahaja membabitkan dunia, tetapi merupakan soal rohaniah yang bakal dibangkitkan di akhirat kelak.

Jika Hadi Awang ingin terus berdegil menafikan yang Amanat beliaulah yang menjadi punca segala kesesatan tersebut, maka beliau wajar tampil menjelaskan siapakah yang sebenarnya yang perlu dipersalahkan dalam perpisahan pasangan suami isteri akibat percaya yang pasangannya kafir? Siapa yang perlu dipersalahkan apabila hati ibu atau bapa hancur, dan akhirnya meninggal dunia dalam keadaan anak-anak sendiri menuduh mereka kafir?

Dan siapa yang perlu dipersalahkan apabila anak-anak yatim Memali kehilangan bapa kerana bapa mereka percaya yang mereka berjihad menentang orang-orang kafir?!

Apakah Hadi Awang ingin berkata bahawa penyokong-penyokong PAS sendiri yang bersalah kerana terlalu bodoh sehingga ‘tersalah tafsir’ amanatnya? Jika ya, beliau tetap bertanggungjawab untuk tampil menjelaskan apakah tafsiran yang sebenarnya.

Justeru, penyokong-penyokong PAS wajib menyeru Hadi Awang agar keluar dari persembunyian dan berhadapan dengan amanatnya sendiri sebagai anak jantan kalaupun tidak sebagai seorang ulama.

Penyokong-penyokong PAS perlukan satu kepastian sama ada untuk terus berpegang kepada amanat tersebut dan bahawa 8 perkara di atas adalah wajar, tepat dan benar – ataupun tidak.

Adalah tidak wajar bagi Hadi Awang untuk terus membisu membiarkan penyokong-penyokong tegarnya yang terlibat, termangu-mangu bertanya kafir atau tidaknya ibu mereka yang telah meninggal dunia atau isteri mereka yang telah diceraikan sebegitu lama?

Atau apakah tuduhan kafir itu telah berbalik kepada diri mereka sendiri, sepertimana pesan Rasulullah SAW: “Barang siapa berkata kepada saudaranya, Hai kafir! maka kalimat itu pulang kepada salah seorang dari keduanya,jika kekafiran itu benar ada,jika tidak,maka kekafiran itu berbalik kepada diri yg mengucapkannya.” – Perak Today

Friday, December 21, 2012

'PENYEBAR MAKLUMAT PALSU RUSUHAN SENGAJA BERMAIN API'

Sintok: Penyebar maklumat palsu berhubung rusuhan kaum yang kononnya berlaku di Kuala Muda dekat sini, disifatkan sengaja bermain dengan api.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata demikian selepas mengambil kira tindakan itu yang bukan saja boleh menimbulkan kekecohan, tetapi berpotensi meretakkan perpaduan yang menjadi asas pembangunan negara.
“Ini perbuatan yang berbahaya dan tidak bertanggungjawab. Kita tidak boleh sentuh perkauman kerana ia boleh sebabkan bukan saja rakyat panik dan takut, malah negara juga turut terancam.

“Sepatutnya pihak itu lebih bertanggungjawab. Jika hanya insiden kecil, jangan sekali-kali sebar ada pertembungan antara kaum sehingga KPN (Ketua Polis Negara) dan KDN (Kementerian Dalam Negeri) perlu keluar kenyataan menafikannya,” katanya.

36 individu ditahan

Beberapa hari lalu ada pihak menyebarkan berita melalui blog serta laman sosial termasuk Facebook kononnya berlaku rusuhan kaum di Kuala Muda sehingga menyebabkan kematian dan pengisytiharan darurat.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, mengesahkan sehingga kini 36 individu berusia 18 dan 30 tahun ditahan termasuk pihak yang bertanggungjawab menyebar berita palsu mengenai insiden itu melalui SMS.

“Semua 36 individu itu ditahan susulan beberapa insiden pergaduhan kecil sejak Ahad lalu, selain mereka yang menyebarkan berita palsu.

“Saya tegaskan maklumat berhubung gambaran berlaku rusuhan kaum tidak benar sama sekali, sebaliknya suasana di daerah berkenaan terkawal dan tenteram.

Malah, kegiatan harian penduduk seperti biasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah. -BHarian