Showing posts with label rusuhan. Show all posts
Showing posts with label rusuhan. Show all posts

Friday, December 21, 2012

'PENYEBAR MAKLUMAT PALSU RUSUHAN SENGAJA BERMAIN API'

Sintok: Penyebar maklumat palsu berhubung rusuhan kaum yang kononnya berlaku di Kuala Muda dekat sini, disifatkan sengaja bermain dengan api.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata demikian selepas mengambil kira tindakan itu yang bukan saja boleh menimbulkan kekecohan, tetapi berpotensi meretakkan perpaduan yang menjadi asas pembangunan negara.
“Ini perbuatan yang berbahaya dan tidak bertanggungjawab. Kita tidak boleh sentuh perkauman kerana ia boleh sebabkan bukan saja rakyat panik dan takut, malah negara juga turut terancam.

“Sepatutnya pihak itu lebih bertanggungjawab. Jika hanya insiden kecil, jangan sekali-kali sebar ada pertembungan antara kaum sehingga KPN (Ketua Polis Negara) dan KDN (Kementerian Dalam Negeri) perlu keluar kenyataan menafikannya,” katanya.

36 individu ditahan

Beberapa hari lalu ada pihak menyebarkan berita melalui blog serta laman sosial termasuk Facebook kononnya berlaku rusuhan kaum di Kuala Muda sehingga menyebabkan kematian dan pengisytiharan darurat.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, mengesahkan sehingga kini 36 individu berusia 18 dan 30 tahun ditahan termasuk pihak yang bertanggungjawab menyebar berita palsu mengenai insiden itu melalui SMS.

“Semua 36 individu itu ditahan susulan beberapa insiden pergaduhan kecil sejak Ahad lalu, selain mereka yang menyebarkan berita palsu.

“Saya tegaskan maklumat berhubung gambaran berlaku rusuhan kaum tidak benar sama sekali, sebaliknya suasana di daerah berkenaan terkawal dan tenteram.

Malah, kegiatan harian penduduk seperti biasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah. -BHarian

Thursday, December 20, 2012

MAKLUMAT PALSU RUSUHAN KAUM DI KEDAH
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan maklumat palsu yang tersebar berhubung rusuhan kaum kononnya kini berlaku di Kuala Muda, Kedah.

Beliau turut memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu itu yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab kerana ia boleh mengundang bahaya kepada keamanan negara. 

 “Saya harap masyarakat jangan mudah percaya dengan berita yang kini banyak tersebar di laman sosial Facebook, Twitter, blog-blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS) itu.

“Kita harap pihak yang menyebarkan berita-berita palsu itu berhenti berbuat demikian dan sekiranya perkara ini berlarutan, kita akan siasat dan cari dalang di sebalik perbuatan itu,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Unit Rondaan Bermotosikal oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini, semalam.

Kelmarin, beberapa blog dan laman sosial termasuk SMS giat menyebarkan berita mengenai rusuhan kaum yang didakwa berlaku di Kuala Muda sehingga mengakibatkan kematian. Malah, beberapa tindakan ekstrem turut didakwa berlaku di daerah itu, sehingga menimbulkan kekecohan kepada semua.

Selain itu, maklumat palsu itu juga mendakwa perintah darurat turut dikeluarkan PDRM bagi penduduk di kawasan itu untuk faktor keselamatan mereka. 

Beliau berkata segala kenyataan dan gambar yang dimuat naik berhubung ‘insiden’ pergaduhan itu ternyata tidak benar dan orang ramai sewajarnya merujuk perkara itu pada polis terlebih dulu sebelum mempercayainya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata arahan sudah dikeluarkan kepada polis Kedah untuk memantau semua rangkaian sosial terutama Facebook, Twitter dan sebagainya bagi mengekang penyebaran maklumat palsu itu. -BHarian



KD: Orang awam jangan panik, apatah lagi bertindak di luar batasan.. biar pihak polis yang mgendalikan insiden ini..