Sunday, May 12, 2013


BERI PELUANG UMNO KETUAI BN P.PINANG

KEPALA BATAS: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang wajar memberi peluang kepada Umno untuk mengetuai barisan kepimpinan parti itu bagi memulihkan kepercayaan rakyat di negeri ini.
 
Anggota Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata satu pembaharuan perlu dilakukan bagi memastikan BN masih relevan dan diterima baik oleh penduduk negeri ini.

"Pada pandangan peribadi saya, kepimpinan BN negeri wajar diserahkan kepada Umno kerana ini sudah masuk dua penggal (selepas pilihan raya umum ke-12 dan ke-13) MCA dan Gerakan di Pulau Pinang ditolak oleh pengundi Cina.

"Jadi adalah wajar sekiranya kepimpinan tertinggi BN memberi peluang kepada Umno negeri untuk menerajui BN Pulau Pinang sebagai satu cara untuk memulihkan semula sokongan rakyat termasuk kaum Cina kepada BN," katanya di sini, Ahad.

"Memang secara tradisinya jawatan pengerusi BN negeri diberikan kepada Gerakan tetapi kita tidak harus terikat dengan tradisi itu...realitinya B Nnegeri perlu diberi suntikan semangat baharu," katanya. – BERNAMA/mStar

SEKOLAH SATU ALIRAN BOLEH KUKUH PERPADUAN - AHLI AKADEMIK

KUALA LUMPUR: Keputusan pilihan raya umum ke-13 yang mencetuskan semula isu integrasi nasional telah menimbulkan desakan supaya sekolah-sekolah vernakular diubah kepada sekolah satu aliran untuk memperkukuh perpaduan rakyat.
 
Seruan itu dilontar ahli akademik yang berpendapat masalah perpaduan kaum di negara ini berpunca daripada sistem persekolahan yang tidak selaras, dengan wujudnya sekolah pelbagai aliran.

Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad berkata sekolah-sekolah vernakular di Malaysia berkembang lebih maju dan hanya 10 peratus bukan Melayu belajar di sekolah kebangsaan.

"Yang lainnya di sekolah vernakular. Jelas bahawa perkauman berkembang dengan luas, ia diteruskan dengan sekolah menengah swasta yang memfokus kepada sekolah bahasa jenis kebangsaan," katanya pada majlis "Wacana Post Mortem PRU13:Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah' di sini, Ahad.

Beliau berkata jika di zaman penjajahan British mereka melaksanakan konsep pecah dan perintah mengenai pendidikan tetapi kini pendidikan "berpecah".

"Sekarang jika dikatakan begitu ia akan dianggap tuduhan, tetapi jika kita benarkan lagi sekolah seperti ini jangan lagi harap untuk bercakap mengenai perpaduan, ia akan hanya disambut di mulut, tidak di hati," katanya.

Nada lebih keras disuarakan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah yang mahu sekolah jenis kebangsaan dihapuskan kerana ia tidak diiktiraf oleh Perlembagaan.

"Sekolah jenis kebangsaan (SJK) hanya memecahbelahkan rakyat. Patut sekarang ada sekolah rendah kerajaan, sekolah menengah kerajaan. SJK yang ada sekarang ini ubah kepada sekolah kerajaan.

"Semua pelajar belajar di bilik darjah yang sama, makan di kantin yang sama, bermain di gelanggang yang sama. Barulah boleh mengeratkan integrasi nasional," katanya.

Perkara itu sepatutnya disokong oleh seluruh masyarakat Malaysia, katanya yang menyifatkan mereka yang tidak bersetuju dengan sistem sekolah satu aliran sebagai antiperpaduan.

Program anjuran Pertubuhan Persatuan Alumni UiTM dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu dihadiri kira-kira 1,000 peserta terdiri tokoh Melayu, pensyarah, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional, korporat, ahli politik dan golongan muda.

Bertujuan membincangkan hala tuju politik untuk kepentingan survival ummah di Malaysia, program itu turut disertai Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia Prof Datuk Dr Kamaruddin Kacha dan bekas Timbalan Presiden PAS Dr Nasharuddin Mat Isa dan anggota Himpunan Keilmuan Muslim Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebagai ahli panel. -BERNAMA/mStar Online
UMNO BUKAN PARTI RASIS

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Umno bukan parti rasis kerana ia sentiasa memberi keadilan kepada rakyat tanpa mengira kaum di negara ini.
   
Najib yang juga Presiden Umno berkata sejak ditubuhkan 67 tahun lepas, Umno menganggap bukan Melayu sebagai rakan kongsi dan akan tetap mempertahankan dasar yang sederhana, adil dan saksama kepada semua bangsa.
   
"Inilah formula terbaik Umno (keadilan kepada semua), bukan formula keterlaluan untuk memancing undi tetapi pada akhirnya memusnahkan negara Malaysia yang tercinta.
   
"Kita tidak akan benarkan politik sedemikian...opportunistic politics (politik oportunis)...kita tak akan benarkan kerana akhirnya akan menghancurkan segala-galanya yang telah dibina Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun Umno ke-67 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam tadi.
   
Najib berkata jika bukan kerana isu perkauman yang dimainkan pakatan pembangkang, beliau percaya BN mampu memperoleh majoriti yang lebih besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang berakhir Ahad lepas.
   
Pada PRU13, BN memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen dengan Umno kekal sebagai tonggak gabungan itu apabila menyumbangkan 88 kerusi.
   
Perdana menteri berkata pencapaian Umno pada pilihan raya umum kali ini adalah lebih baik berbanding 2008 meskipun diasak dan diserang pelbagai tohmahan serta fitnah daripada pembangkang.
   
"Tapi, pada akhirnya rakyat Malaysia telah membuat keputusan bahawa mereka ingin kepada kestabilan, kesinambungan dan ingin melihat agenda pembangunan dan transformasi yang dibawa BN diteruskan," katanya.
   
Sempena ulang tahun Umno ke-67 hari ini, Najib mengajak pemimpin dan anggota Umno supaya bermuhasabah dan menginsafi diri dengan memperbetulkan kelemahan bagi menarik semula sokongan rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
   
"Yang sokong, kita ucap terima kasih. Yang tidak undi, kita tanya diri balik bagaimana pada pilihan raya umum akan datang mereka boleh sokong kita.
   
"Jangan angkuh dan sombong. Kita berjaya kerana rakyat suka, sokong dan percaya. Ingatkan diri sepanjang masa, tak kira pemimpin besar atau akar umbi Umno bahawa kesudahannya rakyat yang akan tentukan kelangsungan dan kekuasaan parti (Umno)," katanya.
   
Perdana Menteri mengingatkan anggota Umno di semua peringkat supaya melaksanakan segala aku janji dan bersikap mesra rakyat bagi memastikan parti keramat orang Melayu itu dapat menyambut kejayaan yang lebih besar pada lima tahun akan datang.   
   
"Marilah kita semua berusaha sebagai satu pasukan dalam satu ikatan perpaduan kukuh untuk memberi jaminan kepada rakyat bahawa kita akan membawa Malaysia yang lebih aman, makmur dan berjaya di bawah pimpinan Umno dan BN," katanya.
   
Najib turut menyifatkan Umno sebagai sebuah institusi politik paling berjaya di dunia kerana selepas 67 tahun, parti itu bersama rakan-rakan komponen dalam BN masih kekal mentadbir Malaysia.- Bernama/Sinar Harian