Tuesday, May 21, 2013

MIC MASIH RELEVAN SEBAGAI KOMPONEN BN

KUALA LUMPUR - MIC masih relevan sebagai anggota komponen Barisan Nasional (BN), sekali gus untuk mewakili kaum India di negara ini meskipun pencapaian parti itu pada pilihan raya umum ke-13 kurang memberangsangkan, kata Pengarah Strategik MIC S. Vell Paari.
 
"Ramai yang berkata MIC tidak relevan...bagi saya jika tidak relevan, orang tidak akan bercakap mengenai MIC dan bila mereka tidak henti bercakap mengenai MIC, faktanya ia relevan.

"Buktinya bila ada sesuatu yang salah atau tidak betul mengenai sesuatu perkara, orang akan tanya mana MIC...mana suara MIC...orang akan cari MIC," katanya kepada Bernama selepas rakaman program Helo Malaysia edisi Tamil terbitan BernamaTV di Wisma Bernama, di sini hari ini.
 
Dalam pada itu, beliau menjangkakan pemilihan parti akan dijalankan pada tahun ini bagi mendapat mandat baharu daripada anggota MIC setelah ditangguhkan sejak Mac tahun lepas.

"Untuk organisasi bertambah baik, maju dan berkembang dan dalam usaha untuk memenuhi keperluan masyarakat, proses demokratik perlu diteruskan.

"Pemilihan parti adalah sangat penting kerana bila adanya pemilihan, semua orang akan bekerja keras untuk mempertahankan kedudukan mereka, bukan hanya "goyang kaki". Dalam pemilihan anda akan ketengahkan pemimpin baru," katanya. – Bernama/Sinar Harian
PKR TIDAK SETUJU GUNA JALAN RAYA UNTUK GULING KERAJAAN

PETALING JAYA - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menyatakan pandangannya yang tidak bersetuju dengan hasrat pihak tertentu mahu menggunakan jalan raya untuk menggulingkan kerajaan.
 
Bagaimanapun katanya, bagi mengelakkan perkara itu berlaku, kerajaan tidak boleh menggunakan kekerasan sebaliknya perlu menyelesaikan perkara tersebut dengan mengembalikan kepercayaan kepada rakyat.

“PR tidak terlibat (dengan cara ini), tapi secara peribadi saya kurang setuju untuk gulingkan kerajaan menggunakan jalan raya.

“Tapi kita faham, sebab apa ada rakyat yang berkeras mahu guna jalan raya kerana mereka tidak percaya dengan pilihan raya di negara kita,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, disarankan tidak menggunakan tindak balas kekerasan kerana ia hanya akan menambahkan kemelut yang melanda rakyat.

“Orang muda yang tidak percaya dengan pilihan raya akan percaya dengan jalan raya, mereka lakukan kerana tidak percaya dengan SPR. Mereka meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada SPR, tapi apabila dilihat SPR tidak mampu memberikan kerjasama untuk siasat secara bersih, mereka terpaksa memilih untuk ke jalan raya.

“Ini masanya kerajaan jalankan siasatan bersih untuk kembalikan kepercayaan rakyat. Rakyat bukan berminat untuk guna kekerasan, tapi sudah hilang keyakinan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan kumpulan aktivis termasuk mahasiswa yang dilaporkan menggesa orang ramai turun ke jalan raya bagi membantah penipuan yang didakwa berlaku dalam pilihan raya 5 Mei lalu.

Aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim yang dilaporkan mengeluarkan kenyataan itu kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 124(b) Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 4 Akta Hasutan.

Menurut peguam mewakilinya, Eric Paulsen memberitahu bahawa Adam disiasat kerana terlibat dalam perbuatan menjejaskan Demokrasi Berparlimen yang merupakan satu jenayah mengikut pindaan Kanun Keseksaan yang dikuatkuasa akhir tahun lalu.. –Sinar Harian
MCA TIDAK HARUS SERTAI KERAJAAN?

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli MCA yang masih terus memegang atau mengambil jawatan dalam kerajaan perlu dipecat, kata Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong.
 
Beliau berkata keputusan parti untuk tidak mengambil sebarang jawatan dalam kerajaan perlu dihormati oleh semua kerana ia melibatkan maruah dan kedudukan parti di mata masyarakat Cina.

"Mereka yang masih memegang atau mahu mengambil jawatan dalam kerajaan harus dipecat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat sayap, Isnin.

MCA telah terperangkap dengan keputusan untuk tidak menerima apa-apa jawatan dalam kerajaan berikutan keputusan pilihan raya umum 5 Mei adalah lebih teruk berbanding tahun 2008.

Keputusan itu adalah satu resolusi yang diluluskan dalam perhimpunan agung MCA pada 2011 dan 2012.

Walau bagaimanapun, pelantikan Setiausaha Publisiti MCA Kebangsaan Datuk Tee Siew Kiong sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor telah menimbulkan kontroversi dalam parti.

Tee menyertai Exco mengikut titah khusus Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahukan wakil Cina.

Dr Wee masih mengelak ketika ditanya sama ada pemecatan itu turut melibatkan Tee.

"Ia melibatkan semua orang, tidak terkecuali. Jika mahu menghormati parti, satu keputusan yang berani perlu dibuat," katanya.

Beliau menegaskan panggilan yang dibuat sayap parti itu tidak mengkhususkan mana-mana individu, tetapi sekadar menghormati ketetapan yang diluluskan oleh perhimpunan.

"Masalah mungkin timbul kemudian jika apa-apa pengecualian dibuat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Wee berkata, had umur untuk ahli-ahli sayap itu yang mahu bertanding dalam pemilihan parti tahun ini akan dikurangkan dari 45 kepada 40 tahun.

Ini adalah selaras dengan keputusan yang dibuat oleh sayap lima tahun lalu.

Beliau berkata tentang keperluan wakil belia di peringkat cawangan, bahagian dan pusat.

Exco belia tidak lama lagi akan bertemu Timbalan Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk membantu pasukan petugas dalam menentukan hala tuju parti.

Mereka juga akan bertemu dengan ahli-ahli muda yang membentuk satu pergerakan baru untuk membaik pulih parti. –mStar
PENDIDIKAN SEBAGAI AGEN PENGHALANG 'OMBAK' KEBENCIAN MASYARAKAT

PETALING JAYA - Sistem pendidikan negara mampu menjadi pendamai dalam meredakan ketegangan dalam masyarakat yang berlaku hari ini.

Pengerusi Lembaga Penasihat Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept), Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin berkata, pendidikan mampu berperanan menyatupadukan kaum melalui pandangan yang seimbang dan waras.

"Situasi semasa memerlukan kita untuk memperkasakan sistem pendidikan sedia ada bagi meredakan alunan ombak kebencian yang timbul selepas negara melalui proses demokrasi.

"Proses demokrasi sepatutnya ada had tetapi kadang-kadang had itu dilanggari.

"Oleh itu, pendidikan adalah cara terbaik dalam mententeramkan jiwa yang tidak damai sekarang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan, Kepimpinan Institusi Pengajian Tinggi dan Kesejahteraan Sosial: Merealisasikan Transformasi ke Arah Masyarakat Sejahtera.

Konvensyen di bawah kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Akept, Majlis Profesor Negara (MPN) dan Universiti Sains Malaysia (USM) menampilkan 48 pembentang.
 
Menurut Mohd Zahid, konvensyen yang dianjurkan bertepatan dengan waktu dan tema yang akan dibawa pada program akan datang bagi memberi nilai tambah dalam dasar-dasar pendidikan pengajian tinggi.

"Hasil konvensyen itu akan dibawa ke peringkat KPT bersama 107 memorandum yang diterima Akept daripada rundingan meja bulat dan Dialog Nasional Pendidikan Negara pada tahun lalu yang disertai hampir 12000 orang," katanya.

Katanya, cetusan hati dari rakyat itu perlu diambil kira dan kumpulan cerdik pandai di peringkat IPT perlu melakukan analisis untuk mengenal pasti kemahuan sebenar rakyat.

"Kesejahteraan rakyat adalah agenda berterusan, sebelum PRU kita sudah adakan konvensyen seperti ini.

Dalam keadaan negara yang semakin mencabar, pendidikan perlu dilihat secara seimbang dan klinikal, contohnya bagaimana untuk rapatkan hubangan antara kaum. Pendidikan merupakan penyatuan besar," katanya.

Menurut, Ketua Kluster Pembangunan Sosial dan kesejahteraan, MPN, Datuk Dr Roziah Omar, kalau mahu majukan masyarakat perlu ada tiga elemen penting iaitu, pembangunan ekonomi, pembangunan ekosistem dan kesejahteraan sosial.

"Bila ada ketiga-tiga perkara ini barulah pelan pembangunan menjadi lebih mantap dan seimbang," katanya.

Bagi pengerusi konvensyen, Dr Sivamurugan Pandian, isu kesejahteraan sosial merupakan topik semasa dan sememangnya berperanan penting dalam kehidupan seharian.

Katanya, konvensyen kali ini membincangkan isu kepimpinan universiti dan kesejahteraan sosial negara dari segi cabaran dalam transformasi.

"Antara perkara yang dibincangkan adalah peranan modal insan graduan universiti dalam proses ke arah transformasi masyarakat sejahtera.

"Pembentukan kurikulum kursus dan program di IPT dengan sumbangan ke atas nilai masyarakat sejahtera," katanya. –Sinar Harian
ANALISIS PASCA PRU13: UMNO MASIH LAGI POPULAR

Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat memerintah negara ini apabila memperolehi majoriti mudah 133 kerusi Parlimen pada PRU13 yang lalu sementara pakatan pembangkang yang dibarisi PKR, DAP dan Pas hanya memperoleh 89 kerusi sahaja.
 
Pada PRU12 di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, BN memenangi 140 kerusi Parlimen.Pada PRU13, rakyat Malaysia masih lagi mengundi dalam pilihan raya yang disertai pelbagai parti yang menyaksikan 11,257,147 juta (84 peratus) daripada 13,268,002 pengundi berdaftar keluar mengundi bagi 222 kerusi Parlimen.

Dari segi undi popular, daripada keseluruhan pengundi yang keluar mengundi dalam pilihan raya pelbagai parti itu, BN berada di tempat pertama dengan memperoleh undi sebanyak 5,237,699; kedua, PKR (2,254,328), ketiga, DAP (1,736,267), keempat, Pas (1,633,389) manakala parti-parti lain dan Bebas (192,904).

Bagaimanapun, DAP yang berada di tempat ketiga dari segi jumlah undi telah memperoleh 38 kerusi Parlimen, iaitu jauh lebih tinggi daripada PKR.

Berdasarkan analisis Sinar Harian mengenai keputusan pengundian PRU13, BN memperolehi undi popular di Perlis, Kedah dan Perak berbanding PR.

Di Kedah, Umno berjaya menguasai negeri itu dengan memperoleh undian sebanyak 399,890 bersamaan 45.28 peratus.

Manakala, Pas dan PKR pula hanya memperolehi sekitar 24.2 peratus. Perlis juga menjadi kubu kuat Umno kerana memenangi kesemua tiga kerusi Parlimen yang dipertandingkan dengan memperolehi 64,192 undi bersamaan 55.55 peratus.

Umno juga mendominasi Perak apabila memperolehi undi sebanyak 277,859 bersamaan 24.64 peratus mengatasi undi parti lain. Calon BN tewas di beberapa kawasan kerana bilangan pengundi kaum Cina yang ramai.

DAP pula mendapat 261,882 undi, manakala Pas dan PKR masing mendapat 109,913 dan 244,073 undi di Perak.

Bagaimanapun, di Pulau Pinang terutamanya di kawasan bandar dikuasai DAP yang memenangi kesemua enam kerusi Parlimen dan memperoleh undian tertinggi berbanding parti-parti lain.

Sebanyak 13 kerusi Parlimen yang dipertandingkan Pulau Pinang, hanya enam kerusi sahaja dimenangi DAP tetapi jumlah undiannya iaitu 272,664 bersamaan 37.72 peratus berbanding PKR hanya lima kerusi iaitu 177,896 bersamaan 24.61 peratus.

Umno yang bertanding di lima kerusi di Pulau Pinang hanya memperoleh 118,613 undian bersamaan 16.41 peratus.

Agak mengejutkan apabila analisis mendapati Umno mendominasi  peratusan undian di kubu kuat Pas di Kelantan iaitu 49.8 peratus berdasarkan jumlah undian sebanyak 402,503 untuk kerusi Parlimen.

Pas memperoleh 41.1 peratus dengan 332,407 jumlah undi. Bagaimanapun, PKR tewas di ketiga-tiga kerusi yang ditandingi dan hanya mendapat 9 peratus undian dengan 73,071 undian sahaja.

Rekod kerusi Parlimen di Terengganu pula menunjukkan Umno mendahului dalam kutipan jumlah undian, iaitu 283,455 dengan 51.5 peratus, hasil daripada kemenangan empat daripada lapan kerusi yang ditandingi.

Pas pula memperoleh 42.5 peratus dengan jumlah undi 233,893, manakala PKR tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen di Terengganu.

Umno turut merekodkan pencapaian  tertinggi mendahului parti lain dengan 55.5 peratus atau 337,896 undi, berdasarkan kemenangan 10 kerusi yang ditandingi di Pahang.

Ini diikuti PKR yang mencatat 17.7 peratus dan memenangi tiga daripada lima kerusi yang ditandingi, sementara Pas merekodkan peratusan 17.2 peratus (104,743 undi).

DAP di Pahang tidak mendapat sambutan, di mana parti itu hanya memenangi satu daripada tiga kerusi Parlimen yang ditandingi dengan jumlah undi dipungut sebanyak 59,027 undi.

Di Selangor, PKR mendominasi kerusi Parlimen apabila memenangi sembilan daripada 11 kerusi ditandingi dengan jumlah 550,950 undi. Namun, pengaruh Umno tetap tidak boleh dinafikan kerana parti itu berjaya memporehi 335,406 undi berbanding Pas (270,506) dan DAP (253,302).

Di Wilayah Persekutuan, DAP memperlihatkan penguasaan apabila memenangi kesemua lima kerusi Parlimen ditandinginya dengan 229,337 undi. Pengaruh PR di Wilayah Persekutuan juga dibuktikan dengan jumlah undi dimenangi PKR iaitu 154,457 undi mengatasi Umno (127,771 undi) walaupun kedua-dua parti menang empat kerusi.

Di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, pengaruh Umno ternyata masih belum boleh digugat. Jumlah kerusi dan undi yang dimenangi parti ini tetap mendahului PR dengan peratusan melebihi 40 peratus di setiap negeri.

Sabah  terus kekal menjadi negeri simpanan tetap Umno berdasarkan analisis mendapati  parti itu mendominasi keseluruhan kerusi Parlimen dengan peratusan 88.2 peratus, manakala PKR hanya menang satu kerusi dengan jumlah 22,598 undi dengan peratusan 7.2 peratus manakala DAP hanya mendapat 14,226 undi atau 4.5 peratus.

Umno tidak ada di Sarawak tetapi neheri itu kekal sebagai kubu kuat BN.

Analisis juga mendapati jumlah undian rakyat di Sarawak terhadap  DAP ialah 139,480 undi, manakala PKR memperoleh 26,909 undian hasil kemenangan satu kerusi.

Secara keseluruhan, Umno dan BN masih lagi kekal sebagai popular hampir di kesemua negeri, kecuali Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

Ini diikuti oleh DAP yang masih kekal mendominasi di Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, manakala dominasi PKR kekal di Selangor.

Umno kekal mendominasi di peringkat Parlimen kerana mampu untuk mendapat 3,416,310 undi dari 120 kerusi yang ditandingi dan mereka berjaya menang 88 daripadanya.

Manakala DAP pula mendapat 1,386,404 dari 51 kerusi Parlimen yang ditandingi, jumlah ini membuktikan bahawa DAP adalah parti yang masih popular dan menjadi pilihan kepada pengundi bukan Melayu khususnya di kawasan bandar. –Sinar Harian