Wednesday, May 1, 2013


PRU13: HADI AWANG TIDAK SETUJU ANWAR JADI PM?

KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikatakan pernah bersemuka dengan tokoh ulama terkemuka, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi untuk menasihatkannya supaya tidak menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Memetik laporan portal berita AntaraPos.Com hari ini, sumber dalaman Pas mendedahkan, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bertemu Al-Qaradawi setelah Pas enggan menyokong hasrat Anwar menjadi Perdana Menteri pada konvensyen pakatan pembangkang baru-baru ini.

Menurut beliau, Abdul Hadi kemudian bergegas menemui Al-Qaradawi di Qatar bagi menjelaskan mengapa Anwar tidak layak dilantik untuk menyandang jawatan itu.

"Alasan yang diberikan Abdul Hadi kuat iaitu Anwar tak layak menjadi Perdana Menteri kerana PKR bukan gerakan Islam dan Anwar bukan pemimpin gerakan Islam," katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau, Abdul Hadi gagal memujuk Al-Qaradawi dan PKR kini menggunakan surat sokongan daripada tokoh ulama terkemuka itu untuk meyakinkan pemimpin serta ahli Pas menerima Anwar sebagai Perdana Menteri.

"Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri yang melancarkan surat terbuka Al-Qaradawi menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri," ujarnya.

Namun katanya, surat itu tidak menghakis sokongan akar umbi dan pimpinan Pas agar Abdul Hadi dilantik menjadi Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya.

Tambah beliau, Abdul Hadi juga kesal kerana Anwar mempergunakan anak Al-Qaradawi bagi memujuk bapanya menulis surat tersebut.

Sumber dalaman Pas itu berkata, tindakan Anwar itu dipercayai menjadi punca Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan bahawa PKR meletakkan calon tangkap muat termasuk 'penjual pil kuda' pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Beliau turut membidas PKR kerana bekerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dianggap Pas mempunyai kecenderungan ke arah ideologi komunis," jelasnya.

Abdul Hadi juga dikatakan merestui keputusan parti meletakkan calon di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen yang turut ditandingi PKR. - UTUSAN ONLINE