Wednesday, October 9, 2013

PCA JAGA HAK ASASI MAJORITI RAKYAT

KUALA LUMPUR - Dakwaan pihak-pihak tertentu kononnya Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 meminggirkan hak asasi manusia dibidas anggota Dewan Negara prokerajaan kerana hak asasi majoriti rakyat untuk hidup aman damai juga perlu dipertahankan. 

Senator Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman menegaskan ini termasuk hak mereka untuk hidup aman damai tanpa digugat oleh jenayah rompakan, rogol, pembunuhan terancang dan kejadian tembak.

Beliau berkata rang undang-undang bagi meminda Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat itu digubal kerana terdapat keperluan bagi mengekang aktiviti jenayah berat dan jenayah terancang yang semakin meningkat.

"Tahun ini sahaja, terdapat 109 kes kejadian tembak yang sedang dalam siasatan polis melibatkan 100 peratus kumpulan kongsi gelap. Rakyat menyuarakan kegelisahan, maka kerajaan mengambil tindakan meminda PCA.

"Ada pihak menentang menggunakan alasan hak asasi manusia. Tetapi, kadang kala kita lupa bahawa hak asasi manusia ialah untuk setiap rakyat untuk hidup aman tanpa diganggu jenayah. Bagaimana pula hak asasi mangsa dan ahli keluarga mangsa jenayah," soalnya ketika membahaskan rang undang-undang itu di Dewan Negara hari ini.

Turut sependapat, Senator Datuk Chin Su Phin yang menyifatkan isu keselamatan adalah isu bersama tanpa mengira kerajaan mahupun pembangkang.

"Biar kita berbeza politik tetapi soal jenayah, jangan berbeza pendapat. Ketepikan soal politik demi kesejahteraan rakyat dan negara," ujarnya.

Senator Jamilah Sulaiman menyokong pindaan rang undang-undang ini kerana ia memperuntukkan mekanisme terbaik untuk memelihara keselamatan dan ketenteraman awam.


Sumber: Sinar Harian