Thursday, December 26, 2013

HIMPUNAN TURUN: DATARAN MERDEKA BUKAN TEMPAT ‘GULING KERAJAAN’

SHAH ALAM - Susulan dakwaan yang mengatakan satu himpunan menggulingkan kerajaan akan diadakan ibu kota pada hujung bulan ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib menegaskan, Dataran Merdeka bukan tempat untuk mengadakan himpunan tersebut.

Memetik laporan, The Malaysia Insider, Ahmad Phesal berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) belum menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk berhimpun di Dataran Merdeka.

"Dataran Merdeka hanya digunakan untuk acaran sambutan tahun baru dan beberapa program hiburan yang kita sudah aturkan.

“Ini bermakna dari segi penggunaan, seperti apa yang saya katakan, hanya untuk sambutan tahun baru dan tiada acara lain seperti didakwa,” katanya.

Sebelum ini, sekumpulan mahasiswa di bawah Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) telah mengumumkan perhimpunan pada malam ambang tahun baru di Dataran Merdeka untuk membantah siri kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang disebarkan melalui media sosial.
Sehubungan itu, seorang pemimpin pelajar telah ditahan di Kuala Lumpur untuk disiasat di bawah seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012, berhubung perhimpunan itu.


Sumber: Sinar Harian
REBAT TOL / TOUCH 'N GO MANSUH 2014?

Rebat Touch 'n Go sah mansuh 2014?SHAH ALAM – Rebat 20 peratus yang diberi kepada pengguna Touch ‘n Go dan SmartTag akan berakhir hujung tahun ini, demikian menurut sebahagian pegawai khidmat pelanggan kaunter Touch ‘n Go dan SmartTag di pejabat operasi tol.

Tinjauan Sinar Harian ke beberapa pejabat operasi sekitar Lembah Klang mendapati, rata-rata petugas di situ menyatakan perkara sama.

"Saya ada dengar ura-ura untuk menamatkan tawaran rebat ini. Tapi, ia bukanlah maklumat daripada pengurusan, tetapi daripada sumber lain yang saya tahu.

"Setakat ini, tidak ada lagi berita mengenai perkara ini sampai ke pengetahuan petugas kaunter, cuma saya tahu kerajaan tidak akan menyambungnya lagi," kata seorang pegawai, semalam.

Sumber: Sinar Harian

GTP TERUS BERI MANFAAT KEPADA RAKYAT

KUALA LUMPUR - Program Transformasi Kerajaan (GTP), yang memasuki fasa kedua pelaksanaannya tahun ini, terus memberikan manfaat kepada rakyat pelbagai lapisan terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Tidak dinafikan selepas tiga tahun kerajaan memulakan inisiatif GTP, rakyat turut merasai kesan daripada pelaksanaannya, apatah lagi tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), termasuk NKRA menangani Kos Sara Hidup rakyat, yang terkandung dalam program berkenaan, sememangnya disasarkan kepada mereka.

Kerajaan membelanjakan RM2.34 bilion untuk program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sejak diperkenalkan akhir 2011 dan memberi manfaat kepada lebih enam juta rakyat atau hampir 25 peratus daripada jumlah penduduk negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2014, Oktober lepas, berkata pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan akan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Sebagai tambahan, buat pertama kalinya BR1M 3.0 akan diperluas kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

Program bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah pula diteruskan mulai Januari 2013 dengan peruntukan RM540 juta.

Kerajaan juga meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan prauniversiti dengan nilai baucar dinaikkan daripada RM200 kepada RM250.

Dari segi meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, kerajaan menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bagi memperkasa sistem pendidikan negara secara berterusan supaya dapat  meningkatkan daya saing negara pada peringkat global.

Memuji Malaysia bagi insiatif itu, Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) Dr Irina Bokova berkata PPPM yang dilancarkan pada September juga menjadikan Malaysia sebagai contoh baik dan ia boleh diaplikasi serta berguna untuk negara anggota Unesco yang lain.

Menurut Laporan Ekonomi 2013/2014, kerajaan menyediakan peruntukan RM450 juta di bawah NKRA Pengurangan Jenayah dan sejumlah RM24.5 juta diperuntukkan bagi pembelian 1,000 unit motosikal 250cc untuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

PDRM akan menumpukan usaha membanteras jenayah khususnya di kawasan perumahan yang melibatkan kerjasama rakyat di bawah Kempen 1Aman.

NKRA Membanteras Rasuah pula dilihat mencapai sasaran melebihi Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan apabila Forum Ekonomi Dunia (WEF), dalam Laporan Daya Saing Global (GCR) 2013-2014, menyenaraikan Malaysia sebagai negara pada kedudukan ke-33 bagi Indeks Etika dan Rasuah daripada 148 negara.

Selain itu, menurut Transparency International Malaysia (TI-M), kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bertambah baik, iaitu dari tempat ke-54 tahun lepas ke-53 tahun ini, dengan mata CPI bergerak satu tangga daripada 49 ke 50.

Kerajaan membelanjakan RM145 juta untuk projek pembangunan infrastruktur asas luar bandar bagi GTP 2.0 dan daripada jumlah itu, RM137 juta diperuntukkan untuk program Kampung Abad ke-21 dan Desa Lestari, manakala RM8 juta untuk Program Ladang berskala besar bagi kampung-kampung di luar bandar.

Sasaran kerajaan tahun ini adalah untuk membina sepanjang 441 kilometer (km) jalan luar bandar dan menambahbaik sepanjang 730 km jalan luar bandar dalam program penyelenggaraan luar bandar.

Selain itu, kerajaan akan menyediakan bekalan air kepada 24,000 buah rumah dan penyediaan bekalan elektrik kepada 19,811 buah rumah luar bandar di seluruh negara.

Projek Rimbunan Kasih (PRK), satu program transformasi kerajaan bagi memajukan masyarakat luar bandar, adalah bukti kerajaan membela nasib rakyat untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Projek bersepadu termasuk di Terengganu, Perlis, Sabah dan Pahang itu menggabungkan perumahan dan projek pertanian yang didirikan di kawasan seluas 12 hektar bagi menempatkan kira-kira 100 keluarga berpendapatan rendah dan asnaf.

Malaysia juga diyakini boleh menjadi hab industri lokomotif rantau Asia dengan pembukaan kilang lokomotif dan gerabak di Perak, di bawah projek pembangunan kejuruteraan dan teknologi maju rel Malaysia.

Kilang yang dibuka syarikat Kumpulan CSR dari China itu menjanjikan 800 peluang pekerjaan awal di bawah pelaburan fasa pertama sebanyak RM400 juta. – Bernama


Sumber: Sinar Harian
TPP BAWA MANFAAT BESAR KEPADA MALAYSIA - PAKAR

NEW YORK - Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), yang dirundingkan oleh beberapa negara anggota Asean, akan meningkatkan perdagangan, pelaburan dan akses pasaran ke Malaysia.

Naib Presiden (Dasar) Majlis Perniagaan US-Asean yang berpusat di Washington (USABC), Marc Mealy berkata negara anggota Asean, termasuk Malaysia, akan memperoleh manfaat menyertai TPPA.

Mealy, pakar dalam US-Asean dan perdagangan dan pelaburan US-Asean, merupakan anggota delegasi USABC ke Malaysia pada minggu ketiga November.

Beliau berkata, delegasi berkenaan memberi penerangan mengenai perspektif syarikat multinasional Amerika mengenai TPPA selain mengenai reformasi dasar dan pelaburan Program Transformasi Ekonomi generasi akan datang bagi meningkatkan daya saing global Malaysia.

"Delegasi itu juga bertukar-tukar pandangan dengan pegawai kerajaan Malaysia mengenai sektor keutamaan yang boleh ditumpukan oleh Malaysia apabila mengambil alih jawatan Pengerusi Asean pada 2015 dalam merealisasikan Komuniti Ekonomi Asean," katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Anggota delegasi bertemu  beberapa pegawai kanan serta ahli politik, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya.

Mealy berkata, walaupun perbezaan yang wujud masih dirundingkan dalam TPPA, pemegang kepentingan awam dan swasta menyuarakan dengan jelas mengenai peluang-peluang perdagangan dan pengembangan pelaburan yang boleh ditawarkan oleh TPPA kepada syarikat kecil dan besar Malaysia.

"Kami percaya TPPA akan membawa manfaat  besar kepada Malaysia dan bersedia untuk menyokong Najib dalam usahanya untuk menjayakan penyertaan Malaysia.

"Malaysia seperti tiga negara Asean lain (Brunei, Singapura dan Vietnam) dalam TPPA, berpeluang mencorakkan peraturan perdagangan global dalam industri pertumbuhan tinggi baharu dan memperoleh akses pasaran yang lebih besar untuk membantu mencorakkan peraturan perdagangan dunia yang baharu dan memperoleh akses pasaran yang lebih besar ke 11 lagi ekonomi dengan gabungan 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar dunia," katanya.

Beliau berkata, penyertaan Malaysia dalam memuktamadkan TPPA adalah satu lagi peluang untuk menyediakan persekitaran dasar domestik sebagai peneraju dunia dalam industri teknologi generasi akan datang seperi perdagangan elektronik dan analisis data besar.

"Peluang terbesar dalam mengembangkan aliran perdagangan dua hala dimuatkan dalam rundingan TPPA, jika kedua-dua negara bersetuju untuk meliberalisasikan pasaran domestik mereka dalam bidang di mana komuniti perniagaan lain mempunyai kapasiti untuk bersaing," katanya.

Mealy berkata, 2014 akan menjadi tahun yang  menarik, berdasarkan pengumuman bahawa Presiden Obama akan melawat Asean dan kemungkinan Malaysia, pada April 2014.

Presiden Amerika Syarikat juga mungkin menghadiri sidang kemuncak Asean-US yang pertama kali berlangsung di Myanmar, pada November, katanya.

Beliau berkata, perbadanan Amerika memandangkan positif ke atas Malaysia dan menganggapnya sebagai lokasi yang baik untuk menjalankan perniagaan. - Bernama

Sumber: Sinar Harian