Thursday, June 6, 2013

RAKYAT WAJIB BANGKIT PERTAHAN INSTITUSI RAJA - MUFTI

KUALA LUMPUR - Seluruh rakyat khususnya orang Melayu digesa bangkit mempertahankan institusi raja yang kini berdepan ancaman daripada kelompok tertentu terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, Islam sendiri mengarahkan setiap umatnya mentaati raja dan adalah berdosa jika rakyat bertindak menderhaka termasuk menghasut orang ramai bangkit mengancam institusi raja.

"Apabila raja diancam, umat Islam wajib berjihad mempertahankannya apatah lagi dalam situasi di Malaysia," katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk 'Islam dan Raja' pada Seminar Institusi Raja di sini hari ini.

Dalam pada itu, seorang lagi ahli panel, Prof. Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali ketika sesi soal jawab memberitahu, adalah tidak mustahil untuk Malaysia bertukar menjadi negara republik.

Beliau yang juga pensyarah kanan Jabatan Sejarah Universiti Malaya mengambil contoh apa yang berlaku di Iran, Mesir dan Indonesia sebagai teladan tentang bagaimana negara tersebut bertukar daripada sistem beraja ke republik. – BERNAMA/Utusan Online
ISU HINA AGONG: GENERASI MUDA GAGAL KAWAL EMOSI, BAWA MUDARAT

SHAH ALAM – Generasi muda kini mudah terbawa- bawa dengan emosi tanpa menyedari implikasi di sebalik tindakan itu, kata Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Zainal Kling.

Menurut beliau, gagal mengawal emosi menyebabkan golongan ini melontarkan pandangan di laman sosial Facebook yang akhirnya membawa mudarat kepada diri sendiri.

“Mereka bukan tidak faham sejarah bahawa institusi raja itu wajar dihormati dan tidak sepatutnya dipertikaikan.

“Tetapi sikap orang muda mudah melontarkan rasa emosi yang gagal dikawal, contohnya membantah jika tidak suka kepada seseorang itu tanpa mengetahui implikasinya,” katanya .

Justeru itu, beliau berkata undang-undang sedia ada memperuntukkan hukuman yang sewajarnya kepada mereka yang bertindak menyalahgunakan medium sosial tersebut untuk kepentingan diri.

“Ini akan menjadi iktibar kepada semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya menyalahgunakan media sosial demi kepentingan peribadi atau pihak tertentu,” katanya. –Sinar Harian
ANALISIS

ISU HINA AGONG: BAHANA SALAH GUNA FACEBOOK

Media sosial adalah medium terpenting dalam menyampaikan maklumat peribadi kerana ianya mudah dan percuma, hanya perlu melengkapkan 'password', anda boleh terus menggunakannya.

Sejak mula popular di sekitar pertengahan 2008, Facebook dilihat sebagai laman web terpenting dalam perhubungan sosial terutama untuk mencari rakan-rakan yang telah lama terputus hubungan.

Namun, media sosial ini juga mempunyai elemen negatif yang mampu memberi kesan buruk kepada keharmonian negara.

Sebagai contoh, yang terbaru penahanan seorang wanita yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dalam akaun Facebooknya, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata. wanita berumur 32 tahun itu ditahan di Taman Nirwana, Ampang dan siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Jika dilihat dari sudut pengguna Facebook, kenyataan terbuka tanpa tapisan sememangnya mudah ditulis dan diluahkan dalam laman sosial ini.

Malah, ada di antara pemilik akaun Facebook, sering memberi kenyataan sensitif tanpa menyedari perbuatan itu, akan mengundang padah, khususnya dalam isu yang melibatkan keharmonian negara.

Kes ini juga telah membuka mata bahawa, masih ada rakyat Malaysia yang tidak tahu menghormati sensitiviti masyarakat dan Perlembagaan Negara.

Sedangkan, Yang di-Pertuan Agong adalah simbol ketua negara yang perlu dihormati dan termaktub di dalam perlembagaan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan pihaknya memandang serius penyalahgunaan media sosial untuk memuat naik kandungan serta komen berunsur menghina terutama melibatkan institusi diraja Malaysia.
 
Siasatan kes ini turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Penahanan ini dibuat susulan beberapa laporan polis dibuat selepas komen yang dilihat menghina itu tersiar di laman Facebook dan Twitter susulan titah Seri Paduka melalui televisyen sempena hari keputeraan Tuanku, Sabtu lalu.

Persoalannya, apakah langkah yang wajar dilakukan khususnya oleh kerajaan untuk pastikan semua rakyat di negara ini menghormati Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Raja-raja.

Adakah wajar untuk laman sosial disekat bagi membendung kenyataan negatif sebegini berulang?

Beberapa NGO di Selangor menggesa agar langkah drastik ini diambil dan mencadangkan Malaysia mengikut langkah Iran dan China yang menyekat akses ke laman sosial.

Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps), Hamidzun Khairuddin berkata, tindakan itu perlu difikirkan kerana ada pengguna yang menggunakan laman sosial itu untuk menyebarkan fitnah, menghina agama dan kaum serta mencaci-maki pemimpin negara.

Gesaan ini turut disokong oleh Perkasa dan Majlis Belia Selangor.

Namun, adalah ini satu-satunya cara untuk kita menyelesaikan masalah ini?

Pengerusi Pusat Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Normah Mustaffa berkata, laman sosial Facebook tidak boleh disalahkan sehingga perlu disekat penggunaannya.

Beliau berkata, Facebook adalah medium penting yang membantu pengaliran berita dan memudahkan penyampaian maklumat.

“Isu penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah tertinggi di negara ini tidak seharusnya berlaku jika individu terbabit faham akan sejarah negara kita ini,” katanya.

SKMM menerusi Ketua Komunikasi Strategiknya, Sheikh Raffie Abdul Rahman memberitahu, suruhanjaya itu akan mengkaji kaedah terlebih dahulu terbaik untuk memantau penggunaan laman media sosial di negara ini dalam membendung budaya fitnah.

Beliau berkata, SKMM tidak boleh terburu-buru melaksanakan penguatkuasaan kerana banyak perkara yang perlu dipertimbangkan mengikut kesesuaian.

"Kami memandang serius perbuatan biadab di laman sosial seperti Facebook tetapi SKMM tidak boleh sewenang-wenangnya menyekat laman tersebut," katanya.

Bayangkan. hanya kerana dua, tiga atau empat perkataan dalam Facebook, anda boleh didakwa atas Akta Hasutan 1948 dan boleh dikenakan hukuman penjara.

Oleh itu, kesemua pengguna Facebook perlu amalkan etika dan budi bahasa dalam segala tulisan yang dibuat, walaupun hanya dua perkataan.

Adalah lebih baik, memberi komen atau ulasan yang membina dan mampu menyumbang kepada perkembangan positif negara.

Bagi kes wanita yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, langkah yang difikirkan wajar adalah perlu ada pendekatan khusus untuk memastikan generasi muda tahu akan Perlembagaan Negara dan fungsi Institusi Raja-raja.


Usaha ini wajar dilaksanakan sejak bangku sekolah lagi, penekanan rasa hormat kepada pemimpin dan ketua negara perlu ada dan ini termasuk rasa hormat kepada lagu Negaraku dan bendera Jalur Gemilang.. 

-Oleh: RISWANDI RAZAK, Sinar Harian
PERSONALITI PUNCA BERANI MENGHINA AGONG

SHAH ALAM – Personaliti seseorang yang tidak berfikir panjang menjadi punca mereka berani untuk bertindak di luar batasan.

Dr Khaidzir Ismai
Prof. Dr Khaidzir Ismail 
Pensyarah Sekolah Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr Khaidzir Ismail berkata, perasaan takut akan hilang apabila seseorang itu berada dalam keadaan tidak waras.

“Tidak waras bukan bermakna dia gila, cuma tidak boleh membezakan antara baik dan buruk, ini soal personaliti individu.

“Bagi orang begini tidak menghormati orang atau melanggar peraturan itu tidak mengapa,” katanya ketika mengulas mengenai faktor seseorang itu berani menghina institusi tertinggi negara.

Khaidzir turut berpendapat, ada sesetengah individu yang hanya melakukan untuk mencuba dan suka-suka.

“Ada juga yang individu walaupun sudah ditangkap tetapi tetap tidak takut dan merasa bangga melakukan perbuatan itu, ini mungkin terdapatnya sokongan daripada orang sekeliling,” katanya.
 
Menurut beliau, ramai yang tidak memanfaatkan laman sosial dengan baik apabila menjadikan ruang itu sebagai medan meluahkan perasaan dan kritikan sahaja.

“Oleh itu, individu yang sudah keterlaluan perlu bertanggungjawab atas tindakan mereka,” katanya.

Justeru itu, beliau berpendapat tindakan tegas perlu dikenakan kepada mereka yang telah melanggar peraturan.

“Dari segi psikologi, manusia perlu selalu diingat sama ada cara verbal atau tindakan. Kalau ada tindakan tegas dan serius sudah pasti akan beri pengajaran supaya orang lain lebih berhati-hati.

“Tetapi jika dibiarkan, orang lain akan rasa kelonggaran itu boleh dicabar,” katanya.


Sebelum ini, seorang wanita 32 tahun ditahan pagi kelmarin kerana di dakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dalam Facebook, manakala empat lagi rakannya dicari bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. –Sinar Harian
YANG DI-PERTUAN AGONG, SULTAN BUKAN BONEKA – RAJA DR.NAZRIN

KUALA LUMPUR - Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu bukan boneka yang hanya sekadar menurunkan mohor perkenan kepada setiap dokumen yang dipersembah dengan mata tertutup, mulut terkunci dan tangan terikat tanpa kuasa menyuarakan pendirian.

Sebaliknya, titah baginda, raja dan Yang di-Pertuan Agong berperanan sebagai penimbang tara yang adil dan saksama jika mendapati nasihat yang dipersembah menyimpang daripada undang-undang, tergelincir daripada landasan keadilan, berunsur penindasan atau boleh memudaratkan negara.

Baginda bertitah, raja tidak harus rasa tertekan dan tidak semestinya memberi perkenan jika nasihat yang dipersembah bertentangan syarak, bercanggah dengan Perlembagaan serta undang-undang sehingga memungkinkan berlakunya penindasan dan kezaliman.

"Raja Berperlembagaan memiliki tiga hak. Pertama hak untuk dirunding, kedua, hak untuk memberi nasihat dan terakhir hak untuk memberi peringatan.

"Apabila dirujuk, raja hendaklah memberikan pandangan secara bebas tanpa ragu dan pilih kasih dan dalam perkara berkait dengan budi bicara, baginda hendaklah menyempurnakannya dengan hikmah lagi bijaksana demi membuktikan raja bersifat arif, adil sebagai penimbang tara yang bebas dari cabang legislatif, eksekutif serta kehakiman," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk 'Perlembagaan dan Islam: Peranan Institusi Raja' sempena Seminar Institusi Raja (SIRaj), di sini hari ini.

Sementara itu, Raja Dr. Nazrin melahirkan kebimbangan terhadap landskap politik negara yang mengalami perubahan sejak Pilihan Raya Umum Ke-12.

Baginda bertitah, landskap politik itu mengalami tsunami yang memperlihat negara semakin menuju kepada senario politik dua parti.

Titah baginda, senario itu sekiranya berlangsung secara tertib, meluhurkan Perlembagaan Persekutuan, mendaulatkan undang-undang dilihat berpotensi memberi impak positif.

"Tetapi kelihatan kaedah menuju ke arah senario itu bagai mencetus gelombang perpecahan yang ombaknya semakin menghempas minda rakyat.

"Rakyat kelihatan semakin terpisah sehingga benteng perpaduan semakin retak, malah lebih membimbangkan jika keretakan itu tercetus atas nama agama dan kaum," titah baginda.

Dalam pada itu, Raja Dr. Nazrin bertitah, Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak dalam Perlembagaan Persekutuan.


Titah baginda, Perkara 3 (1) Perlembagaan yang diperlengkap dan diperkukuh dengan peruntukan lain telah memartabat Islam sebagai agama Persekutuan. – Utusan Online