Thursday, June 6, 2013

PERSONALITI PUNCA BERANI MENGHINA AGONG

SHAH ALAM – Personaliti seseorang yang tidak berfikir panjang menjadi punca mereka berani untuk bertindak di luar batasan.

Dr Khaidzir Ismai
Prof. Dr Khaidzir Ismail 
Pensyarah Sekolah Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr Khaidzir Ismail berkata, perasaan takut akan hilang apabila seseorang itu berada dalam keadaan tidak waras.

“Tidak waras bukan bermakna dia gila, cuma tidak boleh membezakan antara baik dan buruk, ini soal personaliti individu.

“Bagi orang begini tidak menghormati orang atau melanggar peraturan itu tidak mengapa,” katanya ketika mengulas mengenai faktor seseorang itu berani menghina institusi tertinggi negara.

Khaidzir turut berpendapat, ada sesetengah individu yang hanya melakukan untuk mencuba dan suka-suka.

“Ada juga yang individu walaupun sudah ditangkap tetapi tetap tidak takut dan merasa bangga melakukan perbuatan itu, ini mungkin terdapatnya sokongan daripada orang sekeliling,” katanya.
 
Menurut beliau, ramai yang tidak memanfaatkan laman sosial dengan baik apabila menjadikan ruang itu sebagai medan meluahkan perasaan dan kritikan sahaja.

“Oleh itu, individu yang sudah keterlaluan perlu bertanggungjawab atas tindakan mereka,” katanya.

Justeru itu, beliau berpendapat tindakan tegas perlu dikenakan kepada mereka yang telah melanggar peraturan.

“Dari segi psikologi, manusia perlu selalu diingat sama ada cara verbal atau tindakan. Kalau ada tindakan tegas dan serius sudah pasti akan beri pengajaran supaya orang lain lebih berhati-hati.

“Tetapi jika dibiarkan, orang lain akan rasa kelonggaran itu boleh dicabar,” katanya.


Sebelum ini, seorang wanita 32 tahun ditahan pagi kelmarin kerana di dakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dalam Facebook, manakala empat lagi rakannya dicari bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. –Sinar Harian

No comments:

Post a Comment