Wednesday, August 8, 2012

PENGGUNA, PMBOA TAK SETUJU TAMBANG BAS NAIK

Kuala Lumpur: Pengguna pengangkutan awam tidak bersetuju dengan cadangan Persatuan Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) mahu tambang bas ekspres dan henti-henti dinaikkan.

PMBOA dalam memorandumnya kepada Kementerian Kewangan baru-baru ini mencadangkan kenaikan 30 peratus di Semenanjung dan 40 peratus di Sabah dan Sarawak.

Cadangan keterlaluan

Pengguna menyifatkan cadangan itu keterlaluan, sekalipun pengusaha bas mendakwa mengalami kenaikan kos operasi sejak empat tahun lalu.

Pesara kerajaan, M Ramanathan, 59, berkata kenaikan sehingga 40 peratus akan membebankan pengguna, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Saya tak setuju kerana kenaikan 30 peratus (di Semenanjung) diminta terlalu tinggi. Lagipun pengangkutan awam adalah satu keperluan asas”, katanya ketika ditemui di Hentian Bas Jalan Pekeliling, semalam.

Ramanathan dalam perjalanan ke Mentakab, Pahang, ditemani isterinya, C Selvarani yang turut tidak bersetuju dengan cadangan PMBOA.

Bebankan pelajar

Pengguna pengangkutan awam, Wan Alfi Rahmie Wan Makazan, 19, berkata kenaikan itu akan membebankan golongan pelajar sepertinya yang bergantung kepada bas henti-henti untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain.

“Tak adil macam ini. Kerajaan kena kaji betul-betul, kalau nak naik tambang sekalipun, jangan sampai 30 peratus, kata pelajar UiTM Jengka, Pahang. “

Kakitangan swasta, Soo Guen Eng, 44, berkata kenaikan tambang itu boleh dibuat secara munasabah dan bukannya tergesa-gesa bagi mengelakkan rakyat dibebani dengan kenaikan kos sara hidup.

“Kos hidup sekarang sudah tinggi jangan ditambah beban rakyat. Kalau mahu kaji, kena buat ikut tahun dan bukan tergesa-gesa. Kalau kaji setiap dua tahun pun boleh tetapi kalau minyak turun tambang juga perlu turun, “ katanya mengulas cadangan PMBOA supaya kerajaan merangka formula kenaikan tambang automatik setiap dua tahun sekali.
POLIS PERLU BANGUN STRATEGI BAHARU

PETALING JAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu membangunkan strategi baharu dalam membanteras jenayah untuk meraih kepercayaan awam dan memperlengkapkan diri mereka dalam menghadapi pelbagai cabaran zaman moden.

Beliau berkata, dalam melakukan transformasi, pasukan perlu mempunyai perubahan kerangka minda secara menyeluruh, keseimbangan etika yang padu, penguatkuasaan ketat serta kepimpinan yang utuh dan efektif di semua peringkat.

"Kita (PDRM) perlu membuat penyesuaian dengan perubahan keperluan orang ramai dan masyarakat. Kita memakai uniform kerana kita mahu melindungi warganegara kita dan ia bukan sekadar satu profesion.

"Ia juga bagi memenuhi cabaran dalam menguruskan operasi satu pasukan polis dalam zaman moden ini dan dalam kalangan masyarakat yang lebih berpendidikan yang mengharapkan standard tinggi, sedar akan hak mereka.

"Oleh yang demikian sebagai satu pasukan polis, kita perlu melakukan transformasi pada diri kita sendiri," katanya./Kosmo

HATI-HATI DENGAN AJARAN SESAT YANG CUBA DIKEMBANGKAN SECARA SENYAP - SULTAN SELANGOR

BANTING: Umat Islam diingatkan supaya berhati-hati dengan ajaran sesat yang cuba disebarkan secara senyap dan terancang, terutama di Selangor, titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda bertitah umat Islam di negeri itu perlu berhari-hati, dan jangan cepat terpengaruh dengan ajakan atau seruan pihak tertentu yang pada mulanya kelihatan begitu baik dan ikhlas untuk membantu, tetapi hakikatnya ada agenda tersembunyi.

"Mereka ini akan sentiasa cuba mempengaruhi umat Islam dari setiap sudut agar terpesong dan taksub serta mempercayai ajaran atau ideologi yang mereka bawa yang akhirnya boleh menyesatkan umat Islam," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada perasmian Masjid Al-Islah Kampung Sawah, yang dibina dengan kos RM4.65 juta dan boleh memuatkan 1,500 jemaah, di sini Selasa.

Sultan Sharafuddin bertitah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) perlu memantau ajaran sesat ini, dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terbabit dalam penyebarannya.

Baginda turut menasihati umat Islam supaya sentiasa berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang merupakan ajaran yang sederhana dan tidak terlalu ekstrim yang diamalkan oleh majoriti umat Islam di negara ini.

Sultan Selangor turut menyarankan para pegawai dan anggota jawatankuasa masjid ini sentiasa menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin, serta melaksanakannya dengan ikhlas.

Selain itu, baginda menyarankan kariah masjid supaya menerima dan menghormati lantikan anggota jawatankuasa masjid yang telah dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Ini adalah penting bagi mengeratkan hubungan sesama ummah, dan beta tidak berkenan jika ada di kalangan masyarakat, terutamanya orang Melayu yang berpuak-puak dan bersikap pilih kasih terutamanya ketika berada di dalam masjid," titah baginda. - BERNAMA