Thursday, December 12, 2013

TAMBANG LRT, MONOREL NAIK?

SHAH ALAM - Tambang bagi pengangkutan awam jenis LRT dan monorel dijangka naik pada tahun depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar menyatakan sedang mengkaji semula struktur tambang pengangkutan awam itu.

Beliau juga berkata, peningkatan itu bergantung kepada peningkatan tarif elektrik yang akan bermula Januari depan.

"Sudah 10 tahun tambang tak pernah dinaikkan, jadi kadar tambang LRT dijadualkan akan naik tahun depan," katanya dipetik The Malay Mail.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, kajian itu akan dilakukan secara menyeluruh dan mengambil kira beberapa faktor untuk memastikan kenaikan itu tidak membebankan rakyat.

"Ia akan menjadi satu keadaan menang-menang antara kemampuan orang ramai dan kemampanan industri kereta api.

"Kita sedar kenaikan bahan api dan kos tenaga boleh menyebabkan kesan negatif dengan bilangan penumpang yang rendah dan mengurangkan  pasaran saham pengangkutan awam," katanya.

Selain itu, Syed Hamid berkata, sebarang keputusan yang dibuat akan memastikan jangka panjang industri rel mampan dan kurang bergantung kepada sokongan kewangan kerajaan.


Sumber: Sinar Harian


DISKRIMINASI KE ATAS PEKERJA MELAYU?

SHAH ALAM –Amalan diskriminasi pekerja kaum Melayu sememangnya wujud di sesetengah syarikat bukan Bumiputera kata Pengarah Hak Asasi Manusia Manusia, Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna-pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia), Muhammad Sha’ani Abdullah.

Beliau berkata, amalan diskriminasi itu bukan saja dari segi pengambilan pekerja, tetapi turut membabitkan layanan selepas diterima kerja.

“Misalnya, syarikat bukan Melayu tidak membenarkan pekerja Muslim memakai tudung. Hak kakitangan juga ditindas apabila ada yang disuruh melakukan kerja penting menjelang musim perayaan.

“Lebih malang, ada syarikat bukan Melayu yang dianggotai ahli lembaga pengarah berbangsa Melayu. Tetapi, mereka langsung tidak memainkan peranan untuk mencegah penindasan sebegini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Sukaguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat yang menerima banyak aduan tentang diskriminasi syarikat bukan melayu terhadap pekerja Melayu.

Khairul Anwar dilaporkan berkata, aduan  paling banyak diterima adalah berhubung dengan syarat mesti mahir berkomunikasi dalam bahasa Mandarin atau Kantonis untuk diterima bekerja.

Muhammad Sha'ni berkata, laporan sebegitu pernah diterimanya ketika memegang jawatan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

“Memang ada laporan yang kita terima daripada pekerja. Malah, saya pernah hantar surat aduan ke hotel yang tidak membenarkan pekerja Muslimnya bertudung.

“Kita juga ada hantar surat ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Tetapi, baru-baru ini kita semak, masih tiada perubahan,” katanya.

Oleh itu, katanya, pekerja perlu berani membuat laporan sekiranya terdapat amalan diskriminasi kakitangan berdasarkan kaum oleh majikan.

"Tidak kira Melayu atau bukan Melayu, diskriminasi pekerja mengikut kaum tidak sepatutnya berlaku. Menjadi tanggungjawab pekerja agar menyalurkan maklumat sekiranya mendapati situasi ini terjadi.  

“Mereka boleh menyalurkan aduan kepada Suhakam dan NGO lain. Ini bagi memastikan majikan tidak berani melakukan amalan sebegini,” katanya.


Sumber: Sinar Harian
DISKRIMINASI PEKERJA BUMIPUTERA: KERAJAAN PERLU PANTAU

Diskriminasi: Kerajaan perlu pantauSHAH ALAM - Kerajaan perlu memandang serius berkenaan dakwaan wujudnya diskriminasi terhadap pekerja Bumiputera di syarikat bukan Melayu.

Naib Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputra Malaysia (PPIPBM), Mohd Ghazali Abu Bakar berkata, ia kerana melibatkan hak Melayu yang sengaja ditindas pihak tidak bertanggungjawab.

“Di sini pentingnya aduan yang diterima pejabat Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) untuk diambil tindakan segera,” katanya.

Kata beliau, perkara ini berlaku akibat rasa tidak puas hati kaum lain terhadap Melayu dan sengaja mahu merendah-rendahkan kaum Bumiputera.

“Sebenarnya perkara ini sudah lama berlaku, syarikat milik bukan Bumiputera ini memang melaksanakan dasar diskriminasi terhadap Melayu secara senyap.

“Bukan sahaja layanan, tapi melibatkan gaji dan pangkat juga berlaku diskriminasi terhadap Melayu,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, berlainan dengan syarikat milik Melayu yang sama sekali tidak menjalankan diskriminasi terhadap mana-mana kaum.

“Sepanjang saya terlibat dalam syarikat-syarikat Melayu, ada juga mereka mengambil pekerja bukan Melayu, tapi tidak pula melakukan diskriminasi.

“Ini sepatutnya dilaksanakan semua pihak supaya dapat mengekalkan keamanan dan keharmonian antara semua kaum di Malaysia,” kata beliau.

Sumber: Sinar Harian
DAPATKAN MAKLUMAT LENGKAP SEBELUM BELI PRODUK TELEKOMUNIKASI

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menasihatkan orang ramai mendapatkan maklumat lengkap sebelum membeli produk telekomunikasi dan multimedia untuk memastikan mereka mendapat perkhidmatan terbaik.

Ahmad Shabery dan Dr Elistina
Beliau berkata walaupun kerajaan menyediakan infrastruktur dan undang-undang bagi menyediakan perkhidmatan telekomunikasi yang terbaik, langkah awal harus diambil oleh pihak pengguna sendiri bagi memastikan hak mereka dilindungi.

Katanya InfoKONSUMER.my, portal maklumat perkhidmatan telekomunikasi dan multimedia yang sedang dibangunkan Forum Pengguna dan Multimedia (CFM) akan menyalurkan maklumat lengkap mengenai produk dan peralatan telekomunikasi dan multimedia kepada pengguna.

"Portal maklumat InfoKONSUMER.my secara online yang akan disediakan oleh CFM kelak akan membantu kerajaan dalam usaha untuk memperkasakan pengetahuan rakyat dalam isu-isu kepengunaan membabitkan komunikasi dan multimedia," kata Ahmad Shabery dalam ucapannya sebelum melancarkan InfoKONSUMER.my di sini, Selasa.

Katanya portal berkenaan diwujudkan tepat pada masanya kerana pengguna di Malaysia kerap membuat aduan di media dan di alam siber mengenai tahap perkhidmatan telekomunikasi yang kurang memuaskan, antaranya penyataan bil yang mengelirukan dan banyak kos-kos yang tersembunyi yang tidak diberitahu kepada pengguna.

Ahmad Shabery berkata CFM akan mengumumkan kelak bila portal itu beroperasi.

Sementara itu, Dr Elistina berkata maklumat yang akan disalurkan portal itu nanti sangat berinformatif dari sumber-sumber yang boleh dipercayai dan memberi pilihan terbaik kepada pengguna dalam membuat pemilihan melanggan mana-mana perkhidmatan telekomunikasi dan multimedia.

CFM
InfoKONSUMER.my merupakan jalan penyelesaian kepada pelbagai permasalahan dalam perkhidmatan jalur lebar, telefon bimbit, saluran televisyen berbayar dan juga talian telefon tetap, katanya.

Katanya orang ramai kini boleh mendapatkan pelbagai maklumat mengenai produk telekomunikasi dan multimedia dengan melayari laman web www.cfm.org.my.

Sumber: mStar Online