Monday, November 18, 2013

OBESITI: KAJI SEMULA TEMPOH OPERASI KEDAI 24 JAM
 
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan bersetuju dengan saranan agar tempoh operasi kedai makan 24 jam disemak semula dalam usaha menangani obesiti, kata Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Katanya satu kajian lanjut mengenai perkara itu boleh dilaksanakan oleh pihak berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan dan mengeluarkan garis panduan bagi mengehadkan tempoh operasi kedai terbabit.

"Walaupun kementerian setuju supaya kedai makan 24 jam ini dikurangkan, namun yang lebih utama sebenarnya adalah kesedaran individu itu bagi mengawal pemakanan mereka sekali gus mengelakkan obesiti," katanya.


Sumber: Sinar Harian
BILANGAN PENJAWAT AWAM RAMAI BUKAN ISU

GEORGETOWN - Bilangan penjawat awam di negara ini tidak seharusnya dijadikan isu kerana apa yang penting adalah bagaimana mahu meningkatkan sistem penyampaian dan kecekapan perkhidmatan awam, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
  
Beliau berkata, kecekapan perkhidmatan dan inovasi penjawat awam seharusnya menjadi agenda utama dalam usaha mentransformasikan sektor perkhidmatan awam agar ia selaras dengan perubahan dan perkembangan semasa. 
  
"Kita tidak bercakap dari segi jumlah, tetapi kita bercakap dari segi produk yang kita nak buat...yang boleh memberi kejayaan kepada negara.
  
"Kalau kita bercakap dari segi nombor semata-mata tapi dari segi hasil dan produknya kita tidak bercakap, jadi tidak nampaklah kejayaannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Inovasi Sektor Awam Peringkat Kebangsaan 2013 di sini hari ini.
  
Beliau berkata, demikian sebagai mengulas cadangan sesetengah pihak supaya bilangan penjawat awam dikurangkan bagi meningkatkan kecekapan sektor perkhidmatan awam.
 
Mohamad Zabidi berkata, pihaknya akan sentiasa memastikan setiap penjawat awam dapat meningkatkan perkhidmatan dari semasa ke semasa bagi membolehkan sektor itu bergerak seiring dengan status negara maju menjelang 2020.
  
"Pegawai-pegawai perkhimatan awam adalah tulang belakang kepada pelaksanaan. Daripada dulu lagi mereka memainkan peranan penting dan peranan ini akan kita teruskan. Ilmu pengetahuan, teknologi dan kemahiran baharu yang kita perlukan, ini yang akan kita tingkatkan," tambahnya.
  
Mengulas mengenai seminar itu, Mohamad Zabidi berkata kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan sektor awam menganjurkan program seumpama itu mampu membentuk dimensi baharu dalam memperkasa pembangunan modal insan.
  
Beliau berkata, jalinan kerjasama itu adalah cerminan pendekatan kreatif dan inovatif dalam menterjemahkan hasil dengan lebih cepat dan berkesan kepada pelanggan dan pihak berkepentingan.
  
Katanya kolaborasi proaktif itu wajar dikembangkan kerana ia secara langsung menyumbang kepada usaha meningkatkan kebolehan dan keupayaan perkhidmatan awam ke tahap yang lebih baik.
  
Seminar dua hari bertemakan 'Kreativiti dan Inovasi Menjana Modal Insan Produktif' itu adalah anjuran bersama Institut Tadbiran Awam Negara dan Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam Universiti Sains Malaysia bertujuan membincangkan pendekatan pembangunan budaya inovasi dalam perkhimatan awam. – Bernama


Sumber: Sinar Harian