Saturday, June 1, 2013

NAJIB UMUM SPR BAKAL DILETAKKAN DI BAWAH SATU JAWATANKUASA KHAS PARLIMEN

KUALA LUMPUR— Kerajaan akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menambahbaik wibawa perjalanan pilihan raya di negara ini walaupun pilihan raya umum ke-13 (PRU13) telah berlangsung dengan baik dan lancar, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri menegaskan, janganlah kerana kepentingan diri dan kelompok tertentu, ada pihak cuba merosakkan kebolehpercayaan institusi itu dengan melempar pelbagai persepsi liar.

Beliau menarik perhatian hakikat SPR bukanlah sebuah agensi atau jabatan kerajaan, sebaliknya sebuah mekanisme yang ditubuh berasaskan peruntukan undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dan anggotanya mendapat perlindungan jawatan yang sama dengan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan.

Najib berkata, untuk memperkukuhkan lagi kewibawaan dan kredibiliti SPR, kerajaan memutuskan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili anggota Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.

“Dengan langkah ini, diharap kebebasan SPR tidak dipersoal lagi dan keyakinan rakyat terhadap SPR akan dapat diperkukuhkan,” katanya.

Beliau berkata selesainya proses pilihan raya bermakna penerusan kembali pelayaran bahtera negara untuk tempoh lima tahun akan datang menuju matlamat wawasan kebangsaaan.

“Dalam tempoh itu kita akan menamatkan Rancangan Malaysia (RMK) ke-10 dan memulakan RMK ke-11, rancangan pembangunan lima tahun terakhir sebelum tercapainya Wawasan 2020 yang akan menyaksikan Malaysia, dengan izin Allah SWT, menyertai kelab negara berpendapatan tinggi dunia,” katanya. — Bernama/The Malaysian Insider