Thursday, May 16, 2013

PASCA PRU13: SPR PERLU REFORMASI JAMIN PRU14 BERSIH - IDEAS

KUALA LUMPUR - Hanya dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa yang benar-benar adil saksama, anggotanya terdiri daripada wakil dua parti utama negara, barulah pilihan raya akan datang boleh dilaksanakan dengan bersih.
Menurut wakil Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Keeran Sivarajah, lantikan pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mestilah dibuka kepada semua dan bukannya ditentukan oleh pihak-pihak tertentu.

"Ideas memang mencadangkan sebuah agensi bebas yang duduk di bawah Parlimen.

"Sekarang ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berada di bawah Jabatan Perdana Menteri," katanya pada Seminar Pasca PRU13 : Ke Arah Mana Politik Malaysia, di sini, hari ini.

Jelasnya, apa yang paling penting ialah, sebuah suruhanjaya itu mestilah memenuhi keyakinan rakyat.

"Jika Parlimen pada hari ini mendapati SPR tidak telus, maka SPR mesti direformasikan," tegas beliau.

Keeran sebelum itu ditanya peserta seminar, bagaimana negara pada pilihan raya akan datang bebas daripada amalan penipuan yang didakwa berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Kita mencadangkan SPR yang baru di mana-mana ahli SPR dilantik secara terbuka. Sesiapa rasa layak untuk menjadi pesuruhjaya SPR, layak untuk memohon," katanya.

Sementara itu, Pengarah Umcedel, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman ketika ditanya soalan sama, meminta hadirin menimbang dari aspek jumlah peratusan keluar mengundi luar biasa pada pilihan raya lalu.

"Di negara Turki, pilihan raya adalah diwajibkan, tetapi hanya 83 peratus keluar mengundi. Namun, di Malaysia, tidak wajib, yang keluar hanya mengundi 89 peratus.

"Tapi kalau begitu ramai kerana kesedaran baguslah," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh hadirin.
 -Sinar Harian
PASCA PRU13: GAGAL TAWAN PUTRAJAYA, ANWAR PERLU KOTAKAN JANJI

SHAH ALAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengotakan janjinya untuk berundur kerana gagal menawan Putrajaya selepas PRU13.


Bekas Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Abu Seman Yusop berkata, Anwar dilihat masih mengimpikan jawatan Perdana Menteri sehingga sanggup melakukan apa sahaja bagi merealisasikan cita-citanya.

“Beliau telah menyatakan sebelum ini, jika kalah beliau akan berundur tetapi jelas sehingga kini beliau masih lagi menjadi Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR).

“Beliau sepatutnya menunaikan janjinya itu tetapi saya lihat apa yang dilakukan hari ini lebih kepada keinginan peribadi berbanding kepentingan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, usaha PR menganjurkan pelbagai perhimpunan untuk menolak keputusan PRU13 bakal memberi impak negatif kepada negara.

Katanya, Anwar sengaja tidak mahu menerima hakikat bahawa PR telah tewas merampas Putrajaya sehingga menimbulkan pelbagai persepsi dalam masyarakat.

“Sehingga kini beliau tiada bukti kukuh untuk dibawa ke hadapan, oleh itu menggunakan rakyat untuk berdemo di jalanan bagi menarik perhatian.

“Kita ada proses undangundang sepatutnya PR mengikut proses yang ditetapkan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Rashid Shirlin berkata, pembangkang sepatutnya akur dengan suara majoriti rakyat dan Anwar sebagai pemimpin utama perlu berundur kerana tidak mampu menunaikan janjinya sebelum pilihan raya.
 
“PR dilihat mengamalkan demokrasi terpilih apabila enggan menerima keputusan daripada Kerajaan Pusat, tetapi boleh menerima keputusan di kerusi-kerusi yang dimenangi sehingga bertindak pantas membentuk Kerajaan Negeri mereka.

“Mereka lemparkan banyak tuduhan bagi mengelirukan rakyat, PR juga menggalakkan demonstrasi jalanan sebagai cara untuk menyuarakan  masalah, saya mahu pemimpin PR bertanggungjawab terhadap kesan yang bakal berlaku di kemudian hari nanti,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Papar itu, berdemonstrasi di jalanan hanya merosakkan perpaduan yang telah dibina selama ini.

Menurut laporan The Edge, 81 peratus pembaca akhbar itu mahu Anwar bersara kerajaan gagal membentuk Kerajaan Pusat.

Bancian yang melibatkan 12,588 menunjukkan 10,275 orang mahu Anwar mengotakan janji untuk bersara.

Anwar dalam video ucapannyapada 17 Ogos 2012 berkata, beliau akan berundur daripada politik dan memilih menjadi pensyarah jika rakyat masih memberi mandat kepada BN pada PRU13.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pematang Pauh itu menukar pendiriannya sebelum ini untuk bersara dari dunia politik kerana mendakwa PRU13 penuh penipuan dan akan terus memperjuangkan hak rakyat menuntut pilihanraya adil dan bersih.-Sinar Harian
PASCA PRU13: BN PERLU LAKSANA REFORMASI RADIKAL, ELAK ‘TRAGEDI’ PRU13

SHAH ALAM – Majlis Perundingan Melayu (MPM) berharap Barisan Nasional (BN) segera menggubal dan melaksana Dasar dan Pelan Reformasi Radikal BN supaya ‘tragedi’ PRU13 tidak akan berulang buat selama-lamanya.

Sehubungan itu, Setiausaha Agungnya, Dr Hasan Mad berkata, MPM akan mengemukakan syor berkaitan Lima Dasar Utama yang akan menjadi kerangka kepada Dasar Kemakmuran dan Kesejahteraan Negara dalam masa terdekat.

“Perkara wajar dilaksanakan segera demi kemakmuran dan kesejahteraan serta keharmonian semua rakyatnya dalam mengharungi kehidupan di bumi bertuah ini.

“Walaupun barisan kabinet untuk Penggal 2013-2018 telah diumumkan,  MPM tetap bimbang dan lebih cenderung untuk melihat bagaimana BN yang diterajui Umno mentadbir negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)  lalu, BN berjaya membentuk Kerajaan sekalipun hanya mampu menang mudah dan gagal perolehi majoriti dua per tiga sepertimana yang diidam-idamkan.

Mengulas lanjut mengenai keputusan PRU13, Hasan berkata, kerisauan MPM meningkat sebaik melihat keputusan itu dan mendakwa wujud beberapa petanda yang tercetus dari pilihan raya itu.

“Dengan begitu gigih usaha BN yang diterajui Umno, membuat persiapan menghadapi PRU13 itu, keputusan yang diperolehi bukanlah sesuatu yang melegakan dada kita semua.

“Lebih menggusarkan ialah wujudnya beberapa petanda buruk yang akan menjadikan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jauh lebih mencabar dan boleh menjerumuskan negara ini kepada revolusi politik perkauman, kebencian, keganasan serta campurtangan pihak,” katanya lagi.

Ujar beliau, dalam kesibukan Kerajaan baru menjalankan tugas dan amanah sepertimana yang dimanifestasikan semasa PRU13, pucuk pimpinan BN yang diterajui Umno wajar menggubal segera Dasar dan Pelan Reformasi itu.

Langkah itu katanya, bukan sekadar menjadikan BN lebih diterima malah jauh lebih penting dari BN mendominasi senario politik negara terutamanya mampu memastikan amalan demokrasi dalam sistem politik terbaik di dunia.

Sehubungan itu, katanya lagi, MPM menawarkan diri untuk bekerjasama bagi melihat agenda ini dengan lebih mendalam.

Katanya, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)  sudah tidak beberapa lama lagi dan BN sudah tiada masa. -Sinar Harian