Wednesday, March 20, 2013

TEROWONG DASAR LAUT: GUAN ENG KESAL KENYATAAN CAP, TIDAK AKAN BINA TEROWONG JIKA TIDAK LULUS EIA
Lim Guan Eng

GEORGE TOWN – Pembinaan terowong dasar laut tidak akan dilaksana jika tidak lulus Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Katanya kontrak pembinaan terowong itu hanya akan ditandatangani selepas semua perincian selesai dan ini mengambil masa beberapa bulan lagi.

“Ada lagi yang boleh diubah,” katanya pada sidang media, di sini, Selasa.

Mengenai kritikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bahawa pembinaan terowong itu tidak selamat, Lim berkata:

S.M. Idris
“Kalau CAP mahu berbincang dengan kerajaan negeri, pintu saya terbuka bila-bila masa untuk (Presiden CAP) S.M. Idris. Tapi jangan sebut kerana ada kemalangan kita tak boleh bina terowong.

“Kalau macam ini jangan bina jalan kerana pun ada kemalangan. Jangan gunakan logik macam ini, saya rasa ini (alasan CAP) kurang waras.”

Semalam, Idris dilapor berkata CAP membantah projek itu kerana bimbang dengan aspek keselamatan pengguna kelak.

Projek mega bernilai RM6.3 bilion oleh kerajaan negeri pimpinan DAP itu melibatkan pembinaan empat lebuh raya utama termasuk terowong bawah dasar laut dari Gurney Drive ke Bagan Ajam. – BERNAMA /http://mynewshub.my
TOL TEROWONG DASAR LAUT PULAU PINANG, DAP PERSENDA MANIFESTO SENDIRI

PULAU PINANG - Kerajaan DAP Pulau Pinang seolah-olah mempersendakan manifesto mereka sendiri apabila projek terowong dasar laut yang ingin dibangunkan bakal dikenakan tol.

Rowena Yam 
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tikus, Rowena Yam berkata, perkara itu menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat negeri itu kerana Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebelum ini lantang mahu memansuhkan tol sekiranya pembangkang berjaya membentuk kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang.

Tegasnya, jika benar pembangkang mahu memansuhkan tol di seluruh negara, mengapa tidak dimulakan di negeri itu melalui projek yang mereka sendiri lancarkan.

"Selepas lima tahun mentadbir negeri ini, Tol Sungai Nyior sendiri masih tidak dimansuhkan, kini tampil pula terowong bertol. Jelas mereka sendiri membelakangkan manifesto yang selama ini dilaung-luangkan kepada rakyat," katanya. - Utusan Malaysia 
INTIPATI UCAPAN PM SEMPENA PELANCARAN LAPORAN TAHUNAN PROGRAM TRANSFORMASI NEGARA (GTP)

Berikut adalah intipati ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Negara:
 * Sebahagian besar matlamat GTP dan ETP berjaya dicapai.

* Pendapatan Negara Kasar per kapita meningkat daripada US$257 pada tahun 1957 kepada US$9,970 pada 2012.

* Pendapatan isi rumah bulanan purata Malaysia meningkat daripada RM4,025 pada 2009 kepada RM5,000 pada 2012.

* Kadar kemiskinan terus menurun daripada lebih 60 peratus pada awal kemerdekaan kepada 1.7 peratus pada 2012.

* Kadar inflasi negara kekal berada di paras yang rendah iaitu 1.2 peratus pada Disember 2012.

* Kerajaan memperuntukkan RM2.34 bilion bagi program Bantuan Rakyat 1Malaysia untuk lebih enam juta rakyat.

* Baucer Sekolah 1Malaysia berjumlah RM524 juta beri manfaat kepada lebih 5.24 juta murid.

* Baucer Buku 1Malaysia manfaat lebih 390,000 pelajar dengan peruntukan lebih RM97.5 juta.

* Kerajaan peruntuk RM37.8 bilion biayai pelbagai subsidi untuk tanggung kos kehidupan seharian rakyat.

* Lebih 100,000 orang berjaya dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan dalam tempoh tiga tahun di bawah program e-Kasih.

* Kerajaan tawar lebih 100,000 unit kediaman mampu milik kepada rakyat. 

* NKRA telah menambah baik kesejahteraan hidup hampir empat juta penduduk
luar bandar.

* Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International letakkan Malaysia di kedudukan yang lebih baik daripada tahun lepas.

* Sejumlah 260 daripada 400 kes rasuah yang dibicarakan, telah diselesaikan tahun lepas.

* Kadar jenayah dikurangkan sehingga 27 peratus dalam tempoh tiga tahun.

* Hampir 50 juta pelancong melawat Malaysia pada 2011-2012 dengan Pendapatan Negara Kasar hampir RM100 bilion.

* Eksport sektor kandungan dan infrastruktur, komunikasi dan industri kreatif catat RM547 juta.

* Malaysia boleh capai status negara berpendapatan tinggi, mengikut takrifan Bank Dunia lebih awal dari dijangkakan.

* Kuasa beli rakyat Malaysia kini hampir dua kali ganda pendapatan per kapita yang ada.

* Sumbangan Pendapatan Negara Kasar pada 2020 dijangka mencecah RM135.64 bilion dan lebih 400,000 peluang pekerjaan dijangka dapat diwujudkan.

* Malaysia negara ke-12 paling mesra perniagaan di dunia mengikut World Bank Ease of Doing Business Report 2013.

* Malaysia negara ke-14 paling berdaya saing menurut laporan World Competitiveness Yearbook 2012/2013.

* Malaysia diletakkan sebagai negara ke-10 bagi destinasi menarik pelaburan langsung asing dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing 2012.

* Pengiktirafan global kepada Malaysia adalah satu testimoni kejayaan kepada prakarsa-prakarsa GTP dan ETP.

* Bantuan Rakyat 1Malaysia dijadikan inisiatif tahunan.

– BERNAMA/http://mynewshub.my
BR1M: KERAJAAN KOMITED RINGANKAN BEBAN RAKYAT - PERSATUAN PENGGUNA

KUALA LUMPUR — Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan menjadi inisiatif tahunan membuktikan kerajaan komited untuk meringankan beban dan memenuhi keperluan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman berkata sebelum ini rakyat memang benar-benar berharap BRIM diteruskan dan kini kerajaan tidak menghampakan harapan golongan itu.

“Bantuan BR1M yang diteruskan membuktikan kerajaan prihatin dengan beban kewangan rakyat. Bantuan BR1M ini sangat baik dan efektif kerana ia diberikan secara langsung kepada kumpulan sasar,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri bahawa BR1M akan diteruskan menjadi inisiatif tahunan semasa membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (GTP) semalam.

Sementara itu Presiden Penasihat Pengguna-Pengguna Malaysia (PPPM), M.Varatharajoo berkata langkah kerajaan untuk menjadikan BR1M sebagai inisiatif tahunan dapat meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

“Masyarakat dapat banyak manfaat daripada pengenalan BR1M pertama, jadi saya percaya dengan inisiatif kerajaan, ini membuktikan keprihatinan kerajaan kepada masyarakat tanpa mengira bangsa,” kata Varatharajoo.

Bekas Pengerusi DAP Cawangan Sungai Pelek Tan Tuan Tat menyifatkan bantuan BR1M yang diteruskan dan menjadi inisiatif tahunan sebagai ‘bonus’ terbaik untuk rakyat berpendapatan rendah.

“Kalau kita kerja dengan syarikat kita kena bertungkus-lumus tingkatkan produktiviti baru boleh nikmati bonus.

“Namun kerajaan memberikan bonus kepada rakyat kurang berkemampuan secara berterusan tanpa mereka perlu berbuat apa-apa. Inilah kerajaan yang berjuang untuk membela nasib rakyat,” kata beliau. – Bernama/ The Malaysian Insider