Wednesday, March 20, 2013

BR1M: KERAJAAN KOMITED RINGANKAN BEBAN RAKYAT - PERSATUAN PENGGUNA

KUALA LUMPUR — Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan menjadi inisiatif tahunan membuktikan kerajaan komited untuk meringankan beban dan memenuhi keperluan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman berkata sebelum ini rakyat memang benar-benar berharap BRIM diteruskan dan kini kerajaan tidak menghampakan harapan golongan itu.

“Bantuan BR1M yang diteruskan membuktikan kerajaan prihatin dengan beban kewangan rakyat. Bantuan BR1M ini sangat baik dan efektif kerana ia diberikan secara langsung kepada kumpulan sasar,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri bahawa BR1M akan diteruskan menjadi inisiatif tahunan semasa membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (GTP) semalam.

Sementara itu Presiden Penasihat Pengguna-Pengguna Malaysia (PPPM), M.Varatharajoo berkata langkah kerajaan untuk menjadikan BR1M sebagai inisiatif tahunan dapat meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

“Masyarakat dapat banyak manfaat daripada pengenalan BR1M pertama, jadi saya percaya dengan inisiatif kerajaan, ini membuktikan keprihatinan kerajaan kepada masyarakat tanpa mengira bangsa,” kata Varatharajoo.

Bekas Pengerusi DAP Cawangan Sungai Pelek Tan Tuan Tat menyifatkan bantuan BR1M yang diteruskan dan menjadi inisiatif tahunan sebagai ‘bonus’ terbaik untuk rakyat berpendapatan rendah.

“Kalau kita kerja dengan syarikat kita kena bertungkus-lumus tingkatkan produktiviti baru boleh nikmati bonus.

“Namun kerajaan memberikan bonus kepada rakyat kurang berkemampuan secara berterusan tanpa mereka perlu berbuat apa-apa. Inilah kerajaan yang berjuang untuk membela nasib rakyat,” kata beliau. – Bernama/ The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment