Wednesday, March 20, 2013

TEROWONG DASAR LAUT: GUAN ENG KESAL KENYATAAN CAP, TIDAK AKAN BINA TEROWONG JIKA TIDAK LULUS EIA
Lim Guan Eng

GEORGE TOWN – Pembinaan terowong dasar laut tidak akan dilaksana jika tidak lulus Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Katanya kontrak pembinaan terowong itu hanya akan ditandatangani selepas semua perincian selesai dan ini mengambil masa beberapa bulan lagi.

“Ada lagi yang boleh diubah,” katanya pada sidang media, di sini, Selasa.

Mengenai kritikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bahawa pembinaan terowong itu tidak selamat, Lim berkata:

S.M. Idris
“Kalau CAP mahu berbincang dengan kerajaan negeri, pintu saya terbuka bila-bila masa untuk (Presiden CAP) S.M. Idris. Tapi jangan sebut kerana ada kemalangan kita tak boleh bina terowong.

“Kalau macam ini jangan bina jalan kerana pun ada kemalangan. Jangan gunakan logik macam ini, saya rasa ini (alasan CAP) kurang waras.”

Semalam, Idris dilapor berkata CAP membantah projek itu kerana bimbang dengan aspek keselamatan pengguna kelak.

Projek mega bernilai RM6.3 bilion oleh kerajaan negeri pimpinan DAP itu melibatkan pembinaan empat lebuh raya utama termasuk terowong bawah dasar laut dari Gurney Drive ke Bagan Ajam. – BERNAMA /http://mynewshub.my

No comments:

Post a Comment