Saturday, June 8, 2013

ELAK PERBALAHAN POLITIK, JAWATAN TERTINGGI UMNO JANGAN DITANDINGKAN

KOTA KINABALU - Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berpendapat, jawatan presiden dan timbalan presiden Umno sewajarnya tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.

Abdul Rahim Bakri
Beliau berkata, justifikasinya adalah demi memelihara keutuhan perpaduan di kalangan anggota Umno, parti yang menjadi tonggak Barisan Nasional (BN).

Katanya, kejayaan kepimpinan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak mempertahankan kerajaan BN dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dengan kemenangan selesa mengikut standard semasa iaitu 133 daripada 222 kerusi Parlimen merupakan petanda bahawa kepimpinannya dan timbalan presiden parti masih mantap dan mendapat kepercayaan rakyat.

"Ini mengambil kira suasana politik baharu dunia yang semakin sengit berikutan terjahan globalisasi dan ledakan komunikasi dan informasi yang telah turut mengubah landskap politik di setiap kerajaan dan negara di dunia, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Rahim yang juga anggota Parlimen Kudat berkata, negara yang mengamalkan sistem demokrasi "westminster" yang serupa dengan sistem demokrasi Malaysia seperti Britain dan Australia turut berhadapan dengan suasana sengit sehingga mewujudkan "hung" parlimen.

"Kesimpulannya, pertandingan terbuka jawatan utama Umno sudah tentu akan mewujudkan "kem kem" dan berdasarkan pengalaman lampau ia dikhuatiri akan mengheret perbalahan politik dalaman dan permainan politik berterusan yang sudah pasti akan melemahkan parti," katanya.


Abdul Rahim berkata suasana sebegitu harus dielakkan, sebaliknya keutamaan sewajar harus diberi kepada usaha mengukuhkan perpaduan anggota parti untuk membolehkan Umno dan BN mampu menghadapi PRU14 yang akan datang dengan lebih mantap. – Bernama/Sinar Harian
KADAR GST 7 PERATUS LEBIH SESUAI

Kadar enam hingga tujuh peratus adalah kadar yang lebih sesuai bagi Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) yang dijangka akan dilaksanakan di Malaysia tidak lama lagi.

Pengarah Eksekutif Kanan PricewaterhouseCoopers Malaysia, Wan Heng Choon berkata, kadar GST lebih tinggi daripada empat peratus yang dicadangkan kerajaan akan menjadikan sistem cukai lebih sama rata serta mengatasi masalah defisit negara.
 
“Kadar GST terlalu rendah tidak akan memberi manfaat kepada negara. Mengikut pandangan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), kadar GST kurang daripada 10 peratus tidak akan memberi pulangan jangka panjang kepada negara,” katanya semasa bengkel penerangan GST kepada media di Kuala Lumpur, semalam.

GST apabila dilaksanakan akan menggantikan sistem cukai yang diguna pakai Malaysia kini, iaitu cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan tertentu pada kadar lima hingga 10 peratus.

Menurut Heng Choon, kadar GST yang diperkenalkan kelak juga tidak semestinya tetap dan boleh dinaikkan atau diturunkan mengikut keperluan perbelanjaan negara.

“Contohnya di United Kingdom (UK) semasa krisis ekonomi melanda Eropah. UK mempunyai kadar GST 15 peratus selama beberapa tahun tetapi apabila negara itu perlukan pendapatan lebih untuk atasi masalah dalam ekonomi mereka, kadar itu dinaikkan kepada 17 peratus sebelum diturunkan semula apabila ekonomi kembali stabil.

“Ini membuktikan GST lebih berkesan dalam menjana pendapatan negara yang tidak lagi mampu diberikan melalui cukai korporat dan pendapatan,” katanya.


Beliau juga menekankan pelaksanaan GST jika difahami secara terperinci oleh orang ramai sepatutnya tidak akan membawa kepada kenaikan harga barang tetapi ianya berkesan dalam menutup ketirisan hasil kutipan cukai negara. –Sinar Harian
PAKATAN CADANG BOIKOT ANGKAT SUMPAH PARLIMEN

SHAH ALAM: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berhasrat untuk memboikot sesi pembukaan Parlimen ke-13 sebagai tanda protes terhadap keputusan pilihan raya umum, 5 Mei lalu dan enggan menghantar soalan Parlimen.
 
Tarikh akhir bagi ahli Parlimen mengemukakan soalan untuk jawapan kementerian pada sesi yang bermula 24 Jun ini berakhir pada Rabu.

Tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu enggan menghantar sebarang soalan bakal mengundang kritikan ahli-ahli Parlimen kerajaan.

"Politik adalah perkara persepsi dan persepsi yang meluas bahawa PRU13 telah dicemari oleh penipuan dan beri peluang kepada kita memikirkan pilihan sama ada untuk memboikot sesi pembukaan," kata Anwar.

Anwar mungkin dicadangkan sebagai Ketua Pembangkang Parlimen oleh partinya PKR, namun jawatan berkenaan turut diintai oleh DAP.


Jawatan ketua pembangkang secara tradisi disandang oleh wakil parti yang menang paling banyak kerusi pada pilihan raya umum. –AntaraPos.com