Thursday, August 16, 2012

NASHA KELUAR PAS, NIK AZIZ TAK HAIRAN
KOTA BHARU 15 Ogos - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak hairan jika Nasharudin Mat Isa keluar daripada parti itu setelah bekas Timbalan Presiden Pas tersebut dilihat bersama Datuk Seri Najib Tun Razak di Mekah semalam.

Pelik apa, kalau (Datuk Mohd.) Asri (Muda) yang berpuluh tahun menjadi Presiden Pas boleh masuk UMNO, jadi Nasharudin juga akan turut berbuat demikian," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Akhbar hari ini memaparkan gambar Nasharuddin menyertai Perdana Menteri dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di Arab Saudi.

Nik Abdul Aziz juga berkata, adalah lebih baik bagi Nasharudin meninggalkan Pas daripada menimbulkan masalah kepada parti.

Gesaan Nasharudin yang meminta parti itu menyatakan pendirian tegas berhubung penghinaan Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam isu hukum hudud disambut dengan perasaan marah oleh pemimpin Pas.

Malah, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan secara terbuka menganggap gesaan tersebut sebagai penolakan terbuka Nasharudin terhadap keputusan parti dan melabelkan tindakan demikian sebagai pendekatan pincang.

Semakin kencang topik mengenai kedudukan Nasharudin dengan mengambil kira beberapa langkah beliau yang sangat pincang apabila secara terbuka menolak keputusan parti dengan menyerang dan mempertikai di media lawan.

Tiada siapa yang gembira dengan perkembangan ini kecuali musuh politik yang mahu melihat pergolakan dalam parti. Pastinya kesempatan ini akan diambil sepenuhnya untuk melemahkan Pas," kata Nasrudin di Facebooknya hari ini.

Semalam, bekas Timbalan Presiden Pas tersebut menggesa parti itu menyatakan pendirian berhubung penolakan konsisten DAP dan Karpal terhadap cita-cita menubuhkan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud.

Tegas Nasharuddin lagi, sesuatu perlu dilakukan oleh Pas termasuk menimbang untuk keluar daripada pakatan pembangkang kerana ahli akar umbi resah melihat perkembangan antara parti tersebut dengan DAP.

Dalam pada itu, Nasrudin seolah-olah memberi ingatan kepada Ahli Parlimen Bachok tersebut bahawa Pas tidak kisah jika beliau mahu berpaling dan menyokong parti selain daripada Pas dalam isu negara Islam serta hudud.

Nasharudin sewajarnya insaf bahawa beliau yang memerlukan perjuangan Islam ini, bukan sebaliknya. Perjuangan Islam tidak pernah rugi hanya kerana kita (pemimpin) meninggalkannya," katanya.




BANTERAS KES TIPU DI INTERNET

Rangka tindakan khusus -PPIM

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta kerajaan merangka tindakan lebih khusus untuk membanteras kegiatan skim penipuan termasuk menerusi internet yang turut menyasarkan golongan elit dan berpendidikan tinggi.

Kegiatan penipuan antaranya gores dan menang, pelaburan emas, tambah nilai kad SIM, cabutan nombor kad SIM, pembelian rumah, loteri dan wasiat yang dikesan didalangi warga asing itu dipercayai membabitkan transaksi berbilion ringgit.

Kerugian besar

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata walaupun membabitkan kerugian yang besar kepada mangsa, tidak banyak laporan polis dibuat kerana mangsa malu dan masih berharap untuk mendapatkan wang seperti dijanjikan penganjur skim.

“Sampai bila kerajaan hendak menunggu untuk mewujudkan satu mekanisme secara menyeluruh kerana setiap hari pengguna terdedah kepada skim penipuan yang menggunakan pelbagai modus operandi.

“Selain itu, masyarakat juga perlu berhati-hati, tidak mudah terpedaya dan membuang sikap tamak, sebaliknya mewujudkan zon penampan dalam diri masing-masing dan sentiasa berkata `tidak’ dengan sebarang tawaran yang memberikan habuan secara mudah,” katanya kepada BH, semalam.

Berikutan peningkatan kes penipuan yang diterima PPIM, sejak setahun lalu, persatuan itu membangunkan laman forumsemak.blogspot.com untuk berkongsi maklumat berkaitan kegiatan penipuan bagi mengelak lebih ramai pengguna terus tertipu.

Kumpul aduan

Blog itu juga mengumpul aduan pengguna mengenai segala penipuan termasuk membabitkan pelaburan, syarikat jualan langsung dan perniagaan atas talian.

Terbaru blog itu memaparkan penipuan satu sindiket yang mengguna nama yayasan diraja negara jiran./BHarian
MENJELANG BAJET 2013: PERMINTAAN RAKYAT KEPADA PM
·       Kawal harga rumah
·       Tambah pelepasan cukai

KUALA LUMPUR: Saranan supaya kerajaan mengawal harga rumah yang terlalu tinggi adalah antara cadangan utama dikemukakan rakyat kepada Perdana Menteri untuk dipertimbangkan dalam Bajet 2013.

Satu lagi cadangan yang banyak dikemukakan ialah memberi pelepasan cukai tambahan bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Dua cadangan itu merangkumi 50 peratus daripada 2,990 cadangan yang dihantar oleh 2,693 orang dalam laman web Datuk Seri Najib Razak, www.1malaysia.com.my sejak 16 hingga 29 Julai lalu.

Malah, dua cadangan berkenaan meraih 30,000 sokongan daripada keseluruhan 41,879 undi orang ramai sepanjang tempoh perbincangan mengenai bajet itu dibuka.

Sebahagian besar mereka mengeluh kenaikan harga rumah yang disifatkan amat drastik dan tidak munasabah sehingga menyukarkan rakyat memiliki kediaman sendiri dan terpaksa menanggung sewa yang mahal.

Keluhan sama turut diluahkan oleh rakyat berpendapatan sederhana yang menyifatkan mereka sebagai golongan ‘tersepit dan miskin di bandar raya’ kerana tidak mampu membeli rumah tetapi pada masa sama tidak layak menikmati insentif skim perumahan yang ditawarkan kerajaan.

Dalam konteks ini, ramai meminta kerajaan mengekang aktiviti spekulator mengaut keuntungan besar, terutama pihak yang membeli semata-mata untuk menjualnya semula pada harga lebih tinggi serta memperketatkan dasar pemilikan rumah dan hartanah oleh warga asing.

Antara cadangan yang mendapat undi sokongan tinggi ialah:

“Saya berharap kerajaan melakukan suatu mengenai kenaikan tinggi harga rumah yang mendadak bagi rakyat biasa... ramai yang terlalu sukar memiliki rumah sekarang.”

“Pantau pemaju perumahan. Rumah menjadi terlalu mahal. Enam tahun kebelakangan ini harga meningkat hampir 70 hingga 80 peratus dan berkualiti rendah. Terlalu banyak keretakan dalam tahun pertama mendudukinya. Perlu ada jawatankuasa untuk memantau.”

“Minta Datuk Seri ambil berat mengenai harga rumah yang semakin tidak masuk akal. Langkah itu mungkin membantutkan industri perumahan dan hartanah, tetapi kita harus ambil kira keperluan rakyat. Rumah adalah satu keperluan hidup.”

Dari segi pelepasan cukai, ramai mencadangkan kerajaan memberi potongan lebih besar untuk individu tanggungan, anak di bawah umur 18 tahun, ibu bapa, perubatan, penyakit kritikal, insurans dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sebahagian besar mereka berpendapat kadar pelepasan cukai individu tanggungan sebanyak RM9,000 ketika ini tidak memadai, sebaliknya ada yang menyarankan ia ditingkatkan sehingga RM18,000./BHarian