Tuesday, November 19, 2013

'PETRONAS TIDAK PINGGIR MELAYU' - WAKIL PETRONAS

Bukan mudah untuk menjadi syarikat yang begitu dekat di hati rakyat Malaysia, tetapi dalam masa sama perlu menjaga status sebagai antara syarikat antarabangsa terbesar di dunia.

Dilema itu dihadapi Petroliam Nasional Bhd (Petronas), syarikat petroleum negara ditubuhkan hampir 40 tahun lalu yang kini mencapai kejayaan luar biasa sehingga tersenarai dalam kumpulan syarikat terbesar Fortune Global 500.

Disebabkan kedudukan unik itu, Petronas tidak pernah lekang dikaitkan dengan pelbagai isu dan kontroversi, dengan syarikat itu baru-baru ini dilabelkan sebagai kacang lupakan kulit selepas didakwa mengamalkan dasar baharu yang meminggirkan syarikat Bumiputera dan Melayu dalam pemberian kontraknya.

Sehubungan itu, pertemuan wakil Petronas dengan Sinar Harian diatur bagi menjelaskan dakwaan pelbagai pihak terhadap syarikat itu, terutama peranannya dalam membantu usahawan minyak dan gas Bumiputera dan Melayu.

Ternyata, syarikat itu kecewa dengan tohmahan demi tohmahan yang diterima mereka.

“Bukan kami mahu kata Petronas tak perlu perbaiki apa-apa, memang masih ada ruang penambahbaikan.

“Kami sedia terima kritikan membina, bukan hentaman,” kata pegawai kanan Petronas yang enggan namanya didedahkan.

“Selama ini kami bekerjasama dengan pelbagai pihak berkaitan dalam industri ini untuk sentiasa menambah baik cara, prosedur dan dasar kami,” tambahnya.

Beliau adalah antara individu bertanggungjawab untuk Program Pembangunan Vendor (VDP) Petronas serta pemilihan kontraktor.

Memang pemilihan kontraktor perlu ketat

Menjelaskan dakwaan dilemparkan kepada Petronas, beliau berkata Petronas masih mengguna pakai sistem sama seperti dahulu, di mana rejim pemilihan vendor dan pengagihan kontrak berlandaskan kepada prinsip Dasar Ekonomi Baru.

Beliau bagaimanapun menegaskan tapisan Petronas bagi VDP dan pemberian kontrak perlu mengikuti kriteria ditetapkan, terutamanya aspek keselamatan dan kesihatan yang amat penting dalam industri minyak dan gas, selari dengan kedudukan syarikat itu sebagai antara syarikat terbesar dunia.

“Kita bangunkan syarikat Bumiputera melalui VDP, dan selepas tempoh pembangunan mereka akan dilepaskan, atau kita panggil sebagai graduasi.

"Dalam tempoh VDP, kita bagi kontrak kepada mereka secara eksklusif dengan harapan keuntungan yang mereka peroleh akan digunakan untuk pelaburan semula demi pembangunan syarikat supaya lebih berdaya saing,” katanya.

Beliau turut menerangkan bagaimana Petronas melindungi peserta VDP syarikat itu.

“Kalau syarikat di bawah VDP kita bekalkan barang A, kita tak akan bagi kontrak itu kepada syarikat lain, melainkan bila sebut harga VDP tinggi dan tidak berpatutan. Tetapi VDP mesti ada tempoh akhir, tak boleh selama-lamanya kerana mereka akan jadi terlalu selesa,” katanya.

Menurutnya, selepas tempoh VDP berakhir, syarikat-syarikat itu perlu bersaing di pasaran terbuka dengan syarikat lain yang berdaftar dengan Petronas, rata-rata terdiri daripada syarikat milik Bumiputera.

“Tak timbul isu pinggirkan Melayu kerana lebih 80 peratus daripada syarikat vendor Petronas memang milik Bumiputera, jadi mereka bersaing sesama mereka. Inilah yang kita mahu, meritokrasi sesama Bumiputera,” katanya.

Menurutnya, ada segelintir vendor gagal mendapatkan kontrak selepas graduasi kerana meletakkan harga yang kurang kompetitif.

Tak timbul isu berat sebelah

Beliau menjelaskan, tidak timbul soal berat sebelah dalam pemberian kontrak kerana proses yang dilalui sangat ketat.

“Semua bidaan yang masuk, semasa proses pemilihan tender, kita hanya guna kod seperti A,B,C dan D untuk namakan syarikat. Yang memilih tender itu hanya melihat kepada keupayaan teknikal syarikat, bukan siapa pemiliknya.

“Selepas pembida dipilih mengikut keupayaan teknikal, kita akan serahkan pula kepada pasukan penilaian lain yang akan menilai bidaan mengikut sebut harga yang ditawarkan. Ini kerana bagi Petronas, keupayaan teknikal adalah asas utama, kita bukan semata-mata cari sebut harga termurah,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi beberapa dokumen membuktikan syarikat VDP Petronas telah mencapai perolehan dan keuntungan bersih yang lebih daripada memuaskan di bawah program itu.

Mahu projek tak sepadan kelayakan

Menyentuh isu syarat ditetapkan Petronas bagi syarikat Bumiputera dianggap tidak munasabah, beliau berkata isu itu timbul kerana ada syarikat yang ingin mendapatkan kontrak bagi projek besar, tidak sepadan dengan kelayakan dan pengalaman mereka.

“Ada yang datang dan minta kita kurangkan tahap kelayakan untuk tender, sedangkan mereka memang tak penuhi kelayakan sebab projek yang mereka mahu lebih kompleks dan besar.

“Mereka sepatutnya membida projek yang sesuai dengan kapasiti mereka,” katanya.

Katanya lagi, ada juga sesetengah vendor meminta untuk menyambung tempoh VDP bagi meneroka atau memasuki bidang baru.

“Kita cakap, bagilah peluang kepada yang lain pula, sebab ramai lagi yang perlu dibimbing untuk berjaya di bawah skim ini. Sepatutnya yang sudah maju perlu membimbing mereka yang baru,” katanya.

Menurut beliau, secara keseluruhan, syarikat di bawah VDP Petronas telah menikmati kontrak bernilai lebih dari RM7.5 bilion sejak program itu dimulakan.

Sumber: Sinar Harian

KERAJAAN PERLU PEJUANG HUDUD SEPERTI KALIMAH ALLAH

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud sama seperti isu kalimah ALLAH yang mencerminkan pegagangan akidah umat Islam.
 
Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham), Ahmad Zamri As'ad Khuzaim berkata, dalam pelaksanaan hukum hudud, sepatutnya ia disokong dan tidak wajar dihalang sama sekali.

Beliau juga berkata, semua pihak perlu yakin, optimis dan bekerja secara professional di dalam penguatkuasaan perlaksanaan undang-undang hudud khususnya di negeri Kelantan.

"Sewajarnya, tiada dolak dalih lagi perlu diberikan oleh ahli-ahli Parlimen Islam di dalam hal ini.

“Sokongan terhadap perlaksanaan undang-undang ini adalah cerminan pegangan akidah Islamiah yang sering dilaung-laungkan oleh majoriti ahli Parlimen di pihak kerajaan, sepertimana di dalam isu kalimah ALLAH.

"Juham menggesa supaya perkara ini dapat dibentangkan segera di Parlimen serta mendapat sokongan ahli Parlimen yang majoritinya beragama Islam agar undang-undang ini dapat dipinda bagi membolehkan negeri Kelantan melaksanakan hudud," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Kerajaan Kelantan akan memperuntukan RM 1 juta untuk melaksanakan hukum tersebut.

Susulan itu, ahli  Majlis Tertinggi Umno yang juga Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa turut menyambut baik perkara tersebut dan menegaskan parti bukan Islam lain tidak perlu masuk campur dalam perkara tersebut.

Terbaru, Pas juga menyatakan akan membahaskan usul hukum hudud pada Muktamar Pas yang akan berlangsung pada 22 hingga 24 November ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zamri menambah, Juham akan sedia mengembeling usaha dan kepakaran guaman untuk merelisasikan pelaksanaan undang-undang Islam itu di Kelantan.

"Juham telah memperhalusi perkara ini dari sudut undang-undang sedia ada dan melihat halangan ke arah perlaksanaan undang-undang hudud ini dapat di atasi dengan penuh berhemah dan profesional.

"Atas rasa tanggungjawab dan penuh iltizam, Juham bersedia memberikan bantuan khidmat guaman kepada Kerajaan Kelantan bagi membantu penguatkuasaan perlaksanaan undang-undang tersebut di  Kelantan," ujarnya lagi.

Sumber: Sinar Harian

TERENGGANU BENAR PENGUATKUASA AGAMA BAWA SENJATA API
 
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu membenarkan pegawai penguat kuasa agamanya membawa senjata api sewaktu bertugas sejak lima tahun lalu, kata Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas, Ghazali Taib.
   
Beliau berkata langkah itu bagi menjamin keselamatan pegawai terbabit ketika menjalankan operasi.
   
"...memang setiap kali menjalankan operasi mereka dibekalkan senjata api dan memang mereka digalakkan membawa senjata tersebut," katanya dalam sidang media sempena perasmian Pameran Haiwan Berbisa 2013 di Muzium Terengganu, di sini hari ini.
   
Pengerusi Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib
Ghazali Taib
Menurut Ghazali semua pegawai terbabit dilatih dengan penggunaan senjata api.
   
"Mereka juga disahkan oleh doktor tidak mempunyai masalah kesihatan seperti sakit mental," katanya.

Sumber: Sinar Harian
PAC CADANG TUBUH JAWATANKUASA KHAS SETIAP KEMENTERIAN

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan mencadangkan kepada kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas di setiap kementerian untuk memantau perbelanjaan wang negara, kata Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed.
  
Katanya, jawatankuasa khas ini mempunyai fungsi yang sama seperti PAC dengan keanggotaannya terdiri daripada anggota-anggota Parlimen parti kerajaan dan juga pembangkang.
  
"Kita cuma ada satu PAC sahaja untuk memantau semua kementerian. Sedangkan di United Kingdom (UK), setiap kementerian ada jawatankuasa macam PAC," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
  
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan sembilan anggota Parlimen UK diketuai anggota Parlimen dari Parti Konservatif UK, Ian Liddell-Grainger.
  
Katanya, jawatankuasa khas berkenaan akan menyoal perbelanjaan setiap kementerian yang dipantau dan soalan itu harus dijawab oleh menteri atau pegawai tertinggi kementerian berkenaan.
 
"Di UK, dia ada jawatankuasa khas untuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan dan sebagainya. Kita dapat idea ini selepas bertukar pendapat dengan rakan-rakan kita dari UK dan difikirkan wajar untuk kita cadangkan kepada kerajaan," katanya.
  
Soal jawab di antara anggota dalam jawatankuasa khas itu akan meningkatkan lagi interaksi di antara anggota Parlimen dan mereka yang memegang kuasa eksekutif dan seterusnya pentadbiran kementerian akan dapat dilaksanakan dengan lebih baik, katanya.
  
Sementara itu, Jazlan memuji langkah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menawarkan diri untuk bertemu dengan PAC Khamis ini berhubung isu pembayaran RM1.6 juta kepada artis Korea semasa sambutan Hari Belia Kebangsaan tahun lepas seperti yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.
  
Bayaran itu dibuat semasa Ahmad Shabery menerajui Kementerian Belia dan Sukan dan tindakan beliau wajar dicontohi menteri-menteri lain, katanya.
  
Nur Jazlan juga melarang media mempolitikkan pertemuan PAC dengan Ahmad Shabery kerana tindakan beliau (Ahmad Shabery) lebih kepada rasa tanggungjawab sebagai seorang menteri untuk menjelaskan perkara yang benar dan langkah beliau akan membolehkan PAC mendapat maklumat terperinci. - Bernama


Sumber: Sinar Harian

LAKSANA HUDUD DI KELANTAN HANYA 'PERMULAAN'

SHAH ALAM - Kelantan akan menjadi "permulaan" bagi Pas untuk meneruskan pelaksanaan hukum hudud di negeri bawah naungan PR yang lain, kata Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub.

Salahuddin AyubMenurutnya, jika Kelantan berjaya melaksanakan hukum hudud, ia akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaannya di negeri-negeri PR yang lain.

"Ini (Kelantan) sebagai permulaan untuk diteruskan di negeri PR yang lain," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Terdahulu, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas akan mendesak kerajaan PR yang lain untuk melaksanakan hukum hudud di negeri-negeri yang dinaungi parti perikatan itu.

Tuan Ibrahim berkata, perkara mengenai undang-undang syariat Islam dan hukum hudud akan dibahaskan pada Muktamar Pas ke-59 yang akan bermula Rabu ini.

Tambahnya, jika Kelantan berjaya melaksanakan hudud, maka wajar Pas mencadangkan undang-undang itu diperkenalkan di negeri PR yang lain.

"Kalau Kelantan berjaya, baru boleh kita cadangkan ia dilaksnakan di negeri PR lain," ujarnya.

Bagaimanapun, Salahuddin yang juga bekas ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, bantuan daripada kerajaan Pusat dan pihak yang terbabit perlu untuk merealisasikan hukum hudud itu terutama di negeri Kelantan.

Sumber: Sinar Harian


70 PERATUS KUMPULAN PELAKSANA PENJAWAT AWAM TANPA IJAZAH

KUALA LUMPUR - Sebanyak 70.8 peratus atau 801,871 orang menyertai kumpulan pelaksana dalam sektor perkhidmatan awam tanpa kelayakan ijazah sarjana muda, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata, sebanyak 29.2 peratus atau 330,579 orang pula menyertai kumpulan pengurusan tertinggi dan profesional sektor itu dengan ijazah sarjana muda.

"Jumlah penjawat awam, tidak termasuk polis dan tentera, sehingga Oktober 2013 ialah 1,132,450 orang," katanya ketika menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Lip Eng bertanya mengenai jumlah penjawat awam setakat Oktober 2013 mengikut bangsa, jantina, mahasiswa, bukan mahasiswa dan bilangan yang perlu ditambah setiap tahun untuk lima tahun akan datang.

Shahidan berkata, jumlah penjawat awam mengikut kaum ialah 77.4 peratus Melayu, Cina (6.2), India (4.1), bumiputera Sabah (6.6), bumiputera Sarawak (4.3) dan lain-lain kaum 1.4 peratus.

"Jumlah penjawat awam mengikut jantina pula ialah lelaki sebanyak 45.5 peratus manakala wanita 54.5 peratus," katanya.

Shahidan berkata, pada masa ini, pertambahan perjawatan adalah bagi memenuhi keperluan negara khususnya bagi keselamatan, pendidikan dan kesihatan.

"Pendekatan penugasan semula dan tukar ganti pula digunakan bagi memenuhi fungsi dan tugas agensi," katanya. – Bernama

Sumber: Sinar Harian