Friday, May 3, 2013

PRU13: MAHATHIR SIFATKAN KIT SIANG 'BUTA'

BUKIT GANTANG - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang seorang yang 'buta' kerana terus melakukan fitnah mengatakan kononnya Malaysia hanya untuk orang Melayu sahaja.

Berucap dalam majlis ceramah yang dihadiri lebih 5,000 orang di Dataran Simpang di sini malam tadi, Dr. Mahathir berkata, tohmahan Kit Siang itu membuktikan hakikat bahawa pemimpin tersebut sememangnya seorang yang rasis.

Menurut beliau, pemimpin DAP termasuk Kit Siang sengaja melemparkan fitnah seumpama itu semata-mata mahu orang Cina membenci orang Melayu dan akhirnya undi Cina akan berpihak pada parti tersebut.

"Pemimpin DAP ini (Kit Siang) matanya buta. Tak nampakkah bangunan pencakar langit yang ada di Ipoh, Pulau Pinang dan Johor. Apakah ini semua milik orang Melayu? adakah hanya Melayu dapat nikmat? Itu tidak benar, satu fitnah.

"Kaum Cina pun ada rumah besar, ada bangunan besar dan perniagaan besar-besaran seperti Tan Sri Vincent Tan, sama juga dengan kaum India seperti Datuk Seri Tony Fernandes yang memiliki 100 kapal terbang," katanya.

Yang turut hadir ialah calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bukit Gantang, Datuk Ismail Sapian dan ketiga-tiga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu, Datuk Rosli Husin (Changkat Jering), Dr. Zabry Abdul Wahid (Trong) dan Loh Swee Eng (Kuala Sepetang). - UTUSAN ONLINE
PRU13: TOLAK PEMBANGKANG, ELAK MALAPETAKA

KUALA LUMPUR - Para pengundi diingatkan supaya menjauhkan negara daripada malapetaka dengan tidak memilih pakatan pembangkang yang sehingga kini masih belum dapat memuktamadkan calon Perdana Menteri mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemilihan calon pemimpin untuk mentadbir negara merupakan perkara penting pada Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi menentukan hala tuju kerajaan.

Kata beliau, pakatan pembangkang masih tidak mempunyai calon tetap Perdana Menteri kerana Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut berminat untuk dipilih ke jawatan itu, sementara Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengimpikan jawatan tersebut sejak sekian lama.

"Tetapi PKR merupakan parti yang paling lemah. Adakah Pas setuju (jika Anwar dilantik). Pas sehingga kini masih belum memberikan kata putus.

"Kemudian mereka ada orang tua, (Penasihat DAP), Lim Kit Siang yang secara realistik tidak boleh menjadi Perdana Menteri dan DAP juga sering memainkan sentimen perkauman yang berbahaya," katanya.

Najib berkata, bukti kemantapan pemerintahan BN boleh disaksikan dengan rekod kemajuan negara sepanjang tempoh empat tahun sejak beliau menerajui kerajaan.

"Jika anda sukakan program transformasi BN, saya dengan rendah diri meminta anda semua untuk memberikan mandat kepada BN bagi tempoh lima tahun lagi,'' katanya.

"Ini kali pertama saya meminta mandat anda semua, bukan kerana BN berhak mendapat mandat kerana kami telah mentadbir negara sejak merdeka atau kerana saya memintanya (mandat), tetapi berdasarkan rekod kami selama ini," katanya. - UTUSAN ONLINE
PSSGM LUCUTKAN SANDANG KETUA IMAM KHALIFAH DARIPADA ANWAR

SEREMBAN - Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) hari ini melucutkan Sandang Ketua Imam Khalifah yang diberikan kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2007 selepas mendapati perjuangan pemimpin itu telah tersasar.

Pelucutan itu diumumkan oleh Waris Keturunan Mutlak Mahaguru PSSGM, Datuk Siti Fadzilah Meor Abd. Rahman dalam sidang akhbar khas di sini.

''Selepas membuat kajian terperinci, kita dapati Anwar dengan jelas menyokong agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan fahaman pluralisme agama yang sangat bercanggah dengan perjuangan silat gayong termasuk mentaati Tuhan, setia kepada raja dan pemimpin negara serta beramal baik.

''Saya selaku anak dan waris mutlak seni silat gayong yang diasaskan oleh Mahaguru Silat Seni Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman dengan ini menarik semula anugerah ini," katanya.

Yang turut hadir, Timbalan Imam Khalifah PSSGM Negeri Sembilan, Datuk Dr. Ishak Hassan dan Pengasas serta Pemegang Amanah Yayasan Beladiri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohamad Fairus Khairuddin.

Siti Fadzilah berkata, pihaknya tidak perlu menghantar sebarang surat pelucutan kepada Anwar kerana tiada keperluan berbuat demikian kerana sudah mengumumkan kepada media.

''Selain itu, berdasarkan aku janji dalam pertubuhan PSSGM, sebarang pelakuan yang tidak selari dengan perjuangan pertubuhan itu akan dilucutkan apa-apa anugerah yang diberi sebelum ini secara automatik.

''Apa yang diperjuangkan Anwar sekarang jelas menyalahi tatasusila sebagai seorang pemimpin gayong kerana telah melanggar ikrar dan perjuangan silat seni gayong," jelasnya.

Pada sidang akhbar itu juga, beliau mengingatkan kepada semua anak murid dan guru silat gayong di seluruh negara agar tidak menentang kerajaan.

''Semua anak gayong di luar sana berdiri teguhlah di bawah kepimpinan Imam Khalifah Agong Gayong iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, taat setia kepada raja dan pemimpin negara.

''Sebagai anak murid kepada mahaguru, kita mesti mencontohi sifat taat setia mahaguru kita kepada raja-raja Melayu dan pemimpin negara," katanya.UTUSAN ONLINE
PRU13: ANWAR SEMAKIN PANIK

KUALA LUMPUR - Bimbang akan mengalami kekalahan teruk dan memalukan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 Ahad ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperhebatkan pelbagai penipuan, manipulasi, tohmahan serta fitnah terhadap Barisan Nasional (BN) dan agensi kerajaan bagi mengelirukan rakyat.

Terbaharu, Ketua Pembangkang itu mendakwa, UMNO dan BN akan mendalangi pembelian undi secara besar-besaran membabitkan dana berbilion ringgit, menjelang hari pembuangan undi 5 Mei ini tanpa mengemukakan sebarang bukti.

Tidak cukup dengan itu, Anwar mereka cipta pula cerita karut kononnya, terdapat 15 penerbangan khas dari Kota Kinabalu ke semenanjung menggunakan pesawat jumbo jet 747 bagi membawa 'pengundi hantu' untuk mengundi calon-calon BN di Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau juga secara berterusan menipu kononnya sistem pilihan raya di negara ini tidak telus walaupun pembangkang menawan lima negeri pada 2008 apabila menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal membersih daftar pengundi, selain mempolitikkan isu dakwat kekal.

Fitnah dalam isu dakwat kekal umpamanya bertukar menjadi senjata makan tuan apabila pegawai tentera, Mejar Azmee Bujang yang namanya dijaja pembangkang dalam siri ceramah mereka tampil menafikan pembohongan tersebut serta mahu menyaman pemimpin pakatan.

Bagi beberapa pemimpin politik, sikap 'desperado' Anwar mudah difahami kerana Ketua Pembangkang itu sedar bahawa sokongan majoriti rakyat kini berpihak kepada Barisan Nasional (BN) berikutan rekod pentadbiran Perdana Menteri yang terbukti berjaya.

Menurut bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, beliau tidak hairan melihat 'wayang' Anwar dalam meracuni fikiran rakyat kerana Ketua Pembangkang itu hanya mempunyai baki beberapa hari sahaja lagi yang bakal menjadi penentu kelangsungan hayat politiknya.

"Anwar adalah manusia yang paling pentingkan diri dan tamakkan kuasa. Dia sanggup berbuat apa sahaja malah saya tidak terkejut jika berlaku kejadian huru-hara ala Arab Spring di Malaysia sehingga meragut nyawa rakyat demi memastikan cita-cita politik beliau berjaya.

"Dia hanya ada beberapa hari sahaja lagi dan saya percaya Anwar akan melakukan pelbagai lagi perkara-perkara yang melangkaui batas hanya untuk bergelar Perdana Menteri maka fitnah sebegini tidak menghairankan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Dalam pada itu, penyandang kerusi Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pula berkata, Anwar kini sangat terdesak kerana laporan terbaru mendedahkan pakatan pembangkang akan hilang beberapa negeri ekoran sokongan rakyat beralih kepada BN.

Katanya, memang menjadi kepakaran Anwar dalam melemparkan fitnah dan menipu rakyat sebagaimana pembohongan isu 16 September dan nasib yang menimpa masyarakat India di Kampung Puah Pala, Pulau Pinang yang langsung tidak dipedulikan selepas pakatan pembangkang menang di negeri tersebut

"Nasihat saya kepada Anwar tunai dan jawab dulu isu Kampung Buah Pala sebelum sibuk mencipta pelbagai fitnah baru. Rakyat Malaysia kini sudah matang dan tidak mudah lagi tertipu dengan budaya politik fitnah sebegini kerana ternyata BN lebih berjaya dalam memerintah," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, selaku pemimpin gagal, baik ketika berada bersama kerajaan atau semasa menerajui pakatan pembangkang, modal politik Anwar adalah dengan melemparkan fitnah.

"Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun baharu mengambil alih pemerintahan negara empat tahun lalu berjaya dan diakui dunia. Rakyat juga merasai setiap transformasi yang dibawa oleh beliau tetapi apa rekod Anwar? Semasa dalam BN, dia hampir menjahanam ekonomi negara.

"Ketika bersama pembangkang dan menjadi Penasihat Ekonomi Selangor apa yang berlaku? Isu sampah yang tidak begitu rumit pun Anwar tidak boleh selesai, usahkan nak bawa pelaburan besar ke Selangor," katanya.

Tambahnya, langkah melemparkan fitnah, tohmahan serta menipu rakyat itu juga merupakan taktik Anwar untuk mengalih isu pergolakan dalaman antara parti komponen dalam pakatan pembangkang yang sehingga kini gagal diselesaikan Ketua Pembangkang tersebut.

Sementara itu, bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Senator Ezam Mohd. Noor pula berkata, sebagai jaguh putar alam, fitnah adalah 'wirid' wajib Anwar kerana tanpanya, hayat politik Ketua Pembangkang yang terpalit dengan isu moral tidak akan mendapat perhatian.

"Sebab itu, saya selalu berkata antara Ayah Pin (ketua ajaran sesat) dengan Anwar, Anwar lebih bahaya. Anwar adalah 'Ayah Spin'. Malaysia boleh porak-peranda kerana beliau manakala agama dan bangsa pun akan tergadai. Setiap kata-kata Anwar merupakan pembohongan kepada rakyat.

"Lihat sahaja pembohongan tentang 16 September. Terang-terang beliau tipu seluruh rakyat Malaysia. Saya cukup mengenali Anwar, malah sehingga sanggup berkorban masuk penjara, jadi rakyat mesti berhati-hati dengan setiap tutur kata Anwar," katanya. UTUSAN ONLINE
PRU13: ANWAR SEMAKIN KEMARUK KUASA

DUNGUN - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah kemaruk kuasa ekoran tindak-tanduknya kebelakangan ini termasuk mendakwa beliau sudah menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Menurut Timbalan Perdana Menteri, berdasarkan maklumat yang diterimanya, Anwar telah mengadakan sidang akhbar yang memaklumkan kemenangannya itu tetapi pada masa sama, Ketua Pembangkang itu juga takut Barisan Nasional (BN) akan membawa pengundi dari tempat lain.

"Dia kata ada kapal terbang turun di Selangor (membawa pengundi hantu) dan menyorok di mana? Macam tak betul dah kepala dia, maaf saya cakap begitu," katanya ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang dihadiri kira-kira 7,000 orang di Arena Merdeka di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau juga dimaklumkan mengenai dakwaan pembangkang kononnya pesawat Malaysia Airlines System (MAS) dan AirAsia akan membawa 70,000 penduduk dari Sabah dan Sarawak untuk mengundi di Semenanjung.

"Ada juga kata, nak bawa pengundi dari Bangladesh, mana boleh mereka mengundi, mereka bukan warganegara kita," katanya.

Muhyiddin menegaskan, beliau adalah orang yang paling layak untuk membuat analisis mengenai pilihan raya kali ini kerana bertindak sebagai Pengarah Pilihan Raya BN peringkat kebangsaan.

Beliau berkata, hasil kunjungannya ke negeri-negeri termasuk di Terengganu hari ini, sambutan 'gelombang merah dan biru' sangat memberangsangkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.UTUSAN ONLINE