Friday, May 3, 2013

PRU13: ANWAR SEMAKIN KEMARUK KUASA

DUNGUN - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah kemaruk kuasa ekoran tindak-tanduknya kebelakangan ini termasuk mendakwa beliau sudah menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Menurut Timbalan Perdana Menteri, berdasarkan maklumat yang diterimanya, Anwar telah mengadakan sidang akhbar yang memaklumkan kemenangannya itu tetapi pada masa sama, Ketua Pembangkang itu juga takut Barisan Nasional (BN) akan membawa pengundi dari tempat lain.

"Dia kata ada kapal terbang turun di Selangor (membawa pengundi hantu) dan menyorok di mana? Macam tak betul dah kepala dia, maaf saya cakap begitu," katanya ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang dihadiri kira-kira 7,000 orang di Arena Merdeka di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau juga dimaklumkan mengenai dakwaan pembangkang kononnya pesawat Malaysia Airlines System (MAS) dan AirAsia akan membawa 70,000 penduduk dari Sabah dan Sarawak untuk mengundi di Semenanjung.

"Ada juga kata, nak bawa pengundi dari Bangladesh, mana boleh mereka mengundi, mereka bukan warganegara kita," katanya.

Muhyiddin menegaskan, beliau adalah orang yang paling layak untuk membuat analisis mengenai pilihan raya kali ini kerana bertindak sebagai Pengarah Pilihan Raya BN peringkat kebangsaan.

Beliau berkata, hasil kunjungannya ke negeri-negeri termasuk di Terengganu hari ini, sambutan 'gelombang merah dan biru' sangat memberangsangkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment