Friday, May 17, 2013

PASCA PRU13: BR1M PENYUMBANG KEMENANGAN BN - UMCEDEL

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) mengekalkan kekuasaannya pada hari ini kerana faktor Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menurut hasil kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel).

Pengarahnya, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, pemberian BR1M mendorong rakyat untuk terus memilih BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lalu.

"Senjata paling berkesan BN ialah BR1M," katanya pada Seminar Pasca PRU13 : Ke Arah Mana Politik Malaysia, di Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

rofesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman. — Gambar oleh Choo Choo May.Menurut Redzuan, hasil kajian yang dilakukan pihaknya mendapati, ia faktor penyumbang paling penting kemenangan BN terutama di kawasan-kawasan pedalaman dan Felda.

"Tetapi di kawasan Lembah Pantai misalnya hanya 54 peratus," ujar beliau lagi.

Kajian yang dilakukan pihaknya membabitkan 1,407 responden daripada pelbagai latar belakang mendapati, 75 peratus menyatakan sokongan terhadap BN apabila BR1M diberikan untuk kali pertama pada 2012.

"Di kawasan BN sambutan BR1M sehingga 80 peratus manakala di kawasan pembangkang 60 peratus.

"Manakala di kawasan Felda memberi kelebihan kepada BN. Generasi pertama dan kedua yang tinggal di kawasan Felda begitu 'toktok' terhadap BN, melainkan mereka yang tinggal di luar," katanya. -Sinar Harian
BERJIHAD SELAMATKAN RAKYAT MALAYSIA

Mohd Noor AbdullahKUALA LUMPUR - Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah berkata, beliau berjihad untuk menyelamatkan rakyat Malaysia daripada terjerumus dalam   kancah pergaduhan sesama masyarakat.

Beliau berkata persepsi orang ramai apabila menggunakan istilah jihad adalah berperang, bagaimanapun, transformasi daripada yang buruk kepada yang baik juga merupakan satu jihad.

"Saya sayangkan anak bangsa saya, anak cucu, keturunan saya dan semua rakyat Malaysia, kita lihat negara kita aman, tidak ada bencana alam, yang saya takut ialah bencana buatan sendiri sesama kita.

"Jadi, saya berjihad untuk selamatkan rakyat Malaysia daripada terjerumus ke dalam kancah pergaduhan sesama kita, itu yang saya maksudkan jihad," katanya yang muncul sebagai tetamu dalam rancangan bual bicara Helo Malaysia terbitan BernamaTV di saluran 502 Astro.

Rancangan satu jam yang mengupas tajuk 'Memperkasakan Perlembagaan' itu turut mengundang Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal dan diwawancarakan perantara Dahlan Maamor.

Mohd Noor dikritik banyak pihak terutamanya pembangkang apabila mengeluarkan kenyataan yang dikatakan berbaur perkauman ekoran keputusan pilihan raya umum ke-13, 5 Mei lepas pada satu forum bertajuk 'Wacana Post-Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah' anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), baru-baru ini.

Beliau berkata Perlembagaan menetapkan beberapa kaedah untuk orang Malaysia bersatu-padu, hidup rukun damai dan selamat sejahtera.

"Kita satu bangsa Malaysia, satu negara, satu bahasa, berbilang agama, beraneka budaya, masing-masing mestilah merasa lega oleh kerana Perlembagaan peruntukkan kaedah-kaedah untuk semua.

"Malangnya, orang politiklah memecah-belahkan masyarakat Malaysia ini kepada orang Melayu, orang Cina, orang India dan lain-lain padahal dalam Perlembagaan tidak  ada sepatahpun perkataan Cina, India oleh kerana semasa Merdeka dulu mereka yang datang ke negara ini telah diterima sebagai tetamu dan sebagai warganegara.

"Ketika itu, mereka telah beri sumpah taat setia dan menjunjung duli kepada Raja dan di saat itu mereka tidak digelar sebagai orang Cina, orang India, mereka adalah orang Malaysia," katanya.

Beliau berkata sekiranya ahli politik duduk bersama di dalam satu saf, ia adalah lebih baik daripada mereka bertelingkah sesama mereka.

Mengenai penyusunan semula masyarakat, Mohd Noor berkata masyarakat di bandar dan luar bandar perlu disusun semula supaya masyarakat di luar bandar dapat menikmati apa yang ada di bandar.

"Orang Melayu harus berhijrah di bandar dan tanah-tanah rizab Melayu di pinggir bandar dimajukan untuk orang Melayu tinggal dan berniaga di sana, tetapi 'be fair' (berlaku adil), 30 peratus umpamanya boleh dikhaskan untuk bukan Bumiputera memiliki rumah dan perniagaan di situ.

"Seeloknya juga wujudkan 'settlement' (penempatan) untuk orang awam bersebelahan dengan tanah rizab Melayu supaya dapat berjiran, di dalam pemilikan oleh bukan  Bumiputera pula sediakan pula 30 peratus untuk orang Melayu, di dalam keadaan 'give and take' (bertolak ansur) kan ke cantik kita berjiran," katanya.

Sementara itu, Zainul berkata kaedah tersebut boleh dicuba untuk memperbaiki sistem di bandar di mana polarisasi kaumnya berbeza berbanding di luar bandar dan ia juga mungkin dilihat dapat menjadikan masyarakat Melayu dan bukan Melayu seiring sama ada di bandar mahupun di luar bandar. - Bernama-Bernama/Sinar Harian