Wednesday, December 19, 2012

PEMILIHAN CEC DAP BERUPA PENGHINAAN KEPADA DEMOKRASI

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Sistem pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP sempena kongres parti itu Sabtu lalu jelas merupakan satu penghinaan kepada sistem demokrasi yang diamalkan bukan sahaja di Malaysia, tetapi di kebanyakan negara luar.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kasim berkata, ini terbukti apabila pemilihan jawatan Timbalan Pengerusi, Naib-naib Pengerusi dan Setiausaha Agung tidak diundi oleh 2,576 perwakilan yang hadir, sebaliknya ditentukan oleh anak-beranak Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

"Sudah terang lagikan bersuluh bahawa DAP hanyalah demokratik dari segi nama partinya sedangkan amalannya adalah jauh panggang dari api, ibarat telunjuk lurus kelingkingnya berkait.

"Cara melantik kepimpinan utama parti yang mereka lakukan diharap membuka mata, hati dan minda rakyat bahawa demokrasi yang dilaungkan selama ini hanya ibarat madu berisi racun dan tak lebih daripada slogan kosong semata-mata," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ruslan, Pengerusi DAP, Karpal Singh juga hipokrit kerana sering melaungkan slogan ketelusan, integriti dan demokrasi sedangkan jawatan yang disandang bukan dipilih ahli parti tetapi didakwanya melalui pelantikan.

Oleh itu, katanya, Karpal tidak layak untuk menentukan calon Perdana Menteri bagi pakatan pembangkang seperti tindakannya menegaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengepalai kerajaan jika pakatan menguasai kerajaan kelak.

Menurutnya, atas sebab itu, para pemimpin DAP tidak layak menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak demokratik atau tidak telus dan parti itu juga seharusnya tidak mendabik dada kononnya mereka menjuarai konsep demokrasi.

"Rakyat Malaysia harus sedar jika DAP diberi peluang memerintah negara, mereka akan mengamalkan pemerintahan ala kuku besi atau autokratik kerana sebarang keputusan penting akan hanya ditentukan oleh bapa dan anak sahaja.

"Perkasa menyeru semua orang Melayu dalam DAP jika mereka ada maruah dan harga diri beramai-ramai meninggalkan parti tersebut kerana kehadiran serta penyertaan mereka tidak diperlukan dalam parti itu," katanya. -UtusanOnline
1.9 JUTA PERMOHONAN BARU BR1M 2.0 DITERIMA SETAKAT 12 DISEMBER

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1.9 juta permohonan bagi program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 diterima setakat 12 Disember lepas, persidangan Dewan Negara diberitahu. 

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai berkata jumlah itu meliputi 1.4 juta pemohon bujang dan 435,232 pemohon isi rumah (keluarga).

Pengagihan BR1M 2.0 akan bermula pada awal 2013 dan dijangka dapat memanfaatkan 4.3 juta isi rumah serta 2.7 juta individu bujang yang melibatkan peruntukan sebanyak RM3 bilion," katanya menjawab soalan Senator Chew Lee Giok.

Lim berkata pendaftaran BR1M 2.0 telah bermula 1 November lepas dan akan berakhir 31 Disember ini. –BERNAMA/mStar
SAMAN AES TANGGUH

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara menangguhkan semua prosiding berhubung kes Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di mahkamah.

Bagaimanapun, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, menegaskan semua saman AES yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah sah. Penangguhan itu bagi membolehkan jabatan mengkaji semula undang-undang berkaitan berikutan percanggahan pendapat sesetengah pihak termasuk beberapa isu yang dibangkitkan berkaitan aspek perundangan dan teknikal.

“Memandangkan kebimbangan yang ditimbulkan pihak tertentu, Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk mengkaji semula pelaksanaan ini.

“Semua prosiding ditangguhkan sehingga kebimbangan berkaitan diatasi dan keputusan mengenainya akan dibuat dalam masa beberapa hari lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mengulas mengenai empat kes saman yang dilepaskan tanpa dibebaskan, Gani berkata ia akan dikaji kembali dan akan didaftar semula jika boleh dilakukan pendakwaan.

AES dikuatkuasakan JPJ bermula 23 September lalu dan setakat 10 Disember, 14 unit AES dipasang iaitu tujuh di Perak, dua di Selangor dan lima di Kuala Lumpur serta Putrajaya termasuk empat unit bergerak AES.

Sejak penguatkuasaan sistem itu, JPJ mendapati kadar kesalahan trafik di beberapa lokasi strategik berjaya dikurangkan sehingga 75 peratus.

Bagaimanapun, segelintir pihak mempersoalkan penguatkuasaan itu kerana didakwa membebankan pemandu manakala kadar had laju yang ditetapkan tidak sesuai di sesetengah lokasi, selain pertikaian mengenai kadar yang berbeza bagi saman AES berbanding saman polis.

Di Kuala Lumpur, orang ramai yang hadir di Mahkamah Majistret semalam, bagi menghadapi tuduhan membabitkan AES, diarahkan pulang dan tidak dituduh.

Peguam Zulhasmi Sharif, berkata beliau dimaklumkan pihak polis tiada prosiding untuk mendakwa semua pesalah semalam, manakala hanya prosiding untuk sebutan kes diadakan bagi pesalah yang sudah pun dituduh di mahkamah sebelum ini. -BHarian