Monday, January 14, 2013

PASCA KL112: ISUNYA BUKAN TARIKH PRU TAPI TEMPO

ANALISIS - "Isunya bukan tarikh tetapi tempo." Demikian rumusan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli apabila ditanya kesan Himpunan Kebangkitan Rakyat kelmarin dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Banyak pihak mengaitkan himpunan itu dengan PRU13. Ia turut diakui pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat  (PR) secara langsung dan secara tidak langsung.

Berbanding dua perhimpunan yang dilabel sebagai demonstrasi jalanan iaitu Himpunan Bersih 2.0 dan Himpunan Bersih 3.0, Himpunan Kebangkitan Rakyat, atau yang turut dikenali dengan panggilan #KL112, dianjurkan sendiri oleh Pakatan Rakyat (PR). Sebelum ini, ada analisis yang mengatakan dua perhimpunan terdahulu, yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan Bersih 2.0, secara tidak langsung melewatkan PRU13.

Bagaimanapun situasi pada hari ini berbeza. Sama ada suka atau tidak, parti-parti politik tiada pilihan kecuali menerima hakikat bahawa PRU13 akan berlangsung menjelang akhir Jun ini dengan Parlimen akan dibubarkan bila-bila masa dari sekarang atau terbubar dengan sendiri akhir April.

Sehubungan itu, Rafizi melihat bahawa tumpuan selepas ini ialah sejauh mana parti-parti akan membawa rentak masing-masing.

"Tempoh, rentak dan tingkah laku dan bentuk kenyataan akan dibuat... selepas ini semua akan berhati-hati," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Oleh itu beliau mengakui bahawa "tempoh satu hingga dua bulan ini adalah sangat penting."

Oleh itu Rafizi melihat kedua-dua BN dan PR akan menggunakan baki masa yang ada sebelum PRU13 untuk mencari sokongan.

"Kami melihat himpunan kali ini sebagai pemangkin moral kepada Pakatan Rakyat... menunjukkan bahawa kami juga boleh melakukan sesuatu untuk rakyat jika diberi mandat... kami pun mahu berhimpun secara aman," katanya lagi.

Ditanya sama ada PR sudah mengeluarkan garis panduan tentang gerak-geri dan bentuk kenyataan yang seharusnya dikeluarkan menjelang PRU13, Rafizi berkata, "tidak ada garis panduan rasmi, tetapi aspek ini ditekankan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Presiden."

Bagaimanapun beliau mengakui kadangkala sukar untuk "mengikat" ahli-ahli politik.

"Memang sukar, tetapi kami melakukan sesuatu supaya tidak ada kenyataan yang boleh memudaratkan peluang kami di PRU," katanya apabila merujuk kenyataan-kenyataan 'cari pasal' pemimpin-pemimpin PR sejak enam bulan lalu.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian tidak melihat perkembangan selepas ini sebagai "soal tarikh atau tempo semata-mata."

"Saya melihat lebih daripada itu. Saya melihat keupayaaan Pakatan Rakyat membawa isu-isu lokal ke peringkat nasional... ini yang saya dapat saksikan semalam (Sabtu lalu)," kata beliau yang mengakui BN masih ada kelebihan kerana menguasai jentera kerajaan dan juga media arus perdana.

"Dalam hal itu, BN adalah sedikit kelebihan," katanya apabila ditanya sama ada "padang permainan" sudah sama bagi kedua-dua perikatan ini susulan himpunan kelmarin.

Dua hari sebelum Himpunan Kebangkitan Rakyat Merdeka Center  adamengeluarkan hasil kajian berkala yang terbaru berkenaan dengan populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga persepsi ke atas Kerajaan Pusat. 

Populariti Najib, selaku Presiden Umno dan juga Pengerusi BN, merosot sedikit manakala persepsi orang ramai ke atas kerajaan kurang memberangsangkan.

Sehubungan itu, Ibrahim tidak menolak persekitaran dan harapan peserta himpunan dengan hasil kajian tersebut, yang diadakan selepas Perhimpunan Agung Umno 2012.

Meskipun kerajaan mengumumkan pertumbuhan ekonomi yang baik dan hasil pelaksanaan pelan transformasi ekonomi, katanya, "pada akhirnya orang ramai melihat pada kesan kos hidup dan isu-isu berkaitan ekonomi seharian."

"Mereka tidak faham angka-angka berkaitan dengan pertumbuhan ekonomi, saham dan transformasi ekonomi," katanya.

Berkongsi pandangan berkenaan perkembangan terbaru ini,  Prof Madya Dr Sivamurugam Pandian dari Universiti Sains Malaysia melihat kedua-dua parti akan bertindak "secara berhemah" untuk menang PRU13.

"Saya boleh ini politik berhemah. Kita akan dapat melihat politik berhemah menjelang hari pilihan raya," kata beliau yang turut yakin semua pihak yang bakal bertanding dalam PRU13 khususnys BN dan PR akan menggunakan kejayaan kelmarin sebagai senjata untuk menarik pengundi atas pagar.

"Yang datang hari itu kebanyakan pengundi tegar atau penyokong setia Pakatan Rakyat dan parti masing-masing, mereka tidak akan berubah... akan kekal bersama parti masing-masing.

"Begitu juga BN. Tetapi apa yang menarik ialah masing-masing akan bertindak sebagai 'budak baik', untuk menarik sokongan pengundi atas pagar," katanya lagi.
BN akan mengambil kredit ia sebagai kesan langkah transformasi mereka, kata beliau.

Perkara itu diakui oleh beberapa pemimpin BN semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menyifatkan perhimpunan kelmarin membuktikan Akta Perhimpunan Aman 2012 dapat dilaksanakan dengan baik sekiranya semua pihak bertindak dengan penuh tanggungjawab dan terkawal.

Undang-undang itu menekankan keikhlasan dan kesungguhan kerajaan pimpinan Najib dalam menyediakan ruang demokratik dan memastikan perhimpunan aman bagi rakyat melaksanakan hak dan kebebasan mereka dengan bertanggungjawab.

"Tambahan pula, Najib dan BN yang mengambil langkah konkrit untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan memansuhkan atau membuat kajian terhadap undang-undang terhad yang lain," katanya semalam.

Berdasarkan pengalaman Bersih 2.0 dan Bersih 3.0, Tsu Koon berkata, Perdana Menteri berulang kali menekankan keperluan bagi mengadakan perhimpunan aman di stadium dan tempat lain dengan syarat penganjur dan peserta juga perlu menerima  syarat-syarat tertentu yang munasabah.

"Nampaknya, beberapa pemimpin pembangkang, ejen provokasi dan penghasut juga telah belajar daripada Bersih 3.0 dengan menyedari bahawa segala perbuatan provokasi di pihak mereka tidak akan terlepas daripada mata awam dan lensa video dan kamera telefon bimbit," kata Presiden Gerakan ini dalam satu kenyataan semalam.

Himpunan Kebangkitan Rakyat mengembalikan kedua-dua BN dan PR medan pertarungan PRU13 yang sebenar. Masing-masing menggerakkan langkah bagi mendampingi rakyat khususnya mereka di atas pagar.

Oleh kerana kemenangan bakal ditentukan oleh pengundi di atas pagar yang jumlahnya dalam lingkungan 30 peratus, setiap langkah selepas ini amat berharga dan bernilai.

Sikap itu akan menentukan kemenangan mutlak sesebuah parti: BN atau PR.

Tarikh PRU13 sudah tidak penting. Angka kehadiran di Stadium Merdeka kelmarin juga bukan penting lagi. Kedua-duanya hanya tinggal detik sejarah dan kenangan.

Hanya tempo akan melakar detik sejarah baru iaitu pada PRU13.

- G MANIMARAN/ Sinar Harian
KL112: SUHAKAM PUJI SIKAP PROFESIONAL SEMUA

Himpunan Kebangkitan Rakyat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dengan berbesar hati dan kepuasan ingin mengalu-alukan kejayaan perhimpunan aman “Himpunan Kebangkitan Rakyat” yang diadakan di Stadium Merdeka di Kuala Lumpur dan di Kota Kinabalu hari ini (semalam).

Kejayaan ini jelas menunjukkan bahawa dengan adanya sifat keikhlasan dan tolak ansur di kalangan parti yang berkenaan, hak demokratik berhimpun secara aman boleh dilaksanakan dalam negara ini dan bukannya seperti mana yang diragui oleh skeptis.

Suhakam memuji sikap profesional yang ditunjukkan oleh pihak polis, penganjur dan peserta dalam mengendalikan perhimpunan ini yang mana mencerminkan imej yang baik terhadap negara. Suruhanjaya turut memuji pemimpin atasan polis atas kecerdasan dan kebijaksanaan mereka dalam menangani keadaan berkenaan perhimpunan.

Suruhanjaya juga berbesar hati dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh kedua-dua pihak polis dan penganjur perhimpunan dalam usaha mengawal keadaan perhimpunan dan persuraian peserta untuk mengelakkan sebarang kejadian dan penahanan yang tidak diingini.

Menyedari akan perhimpunan tersebut telah menggambarkan bahawa perhimpunan aman boleh direalisasikan menerusi penglibatan terbuka di antara pihak penguatkuasa, penganjur dan peserta perhimpunan, Suruhanjaya berharap bahawa usaha positif ini akan terus meningkatkan persefahaman di antara semua pihak yang terlibat terhadap peranan masing-masing dalam memastikan pengendalian perhimpunan yang aman seterusnya memberi kelonggaran kepada sekatan yang sedia ada.

Dalam melaksanakan peranannya sebagai badan pemantau yang bebas, Suruhanjaya telah menggerakkan pasukan pemantaunya untuk memerhatikan keadaan perhimpunan di beberapa lokasi utama di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.

Ia akan meneruskan peranan penting ini disamping menjalankan siasatan mengenai sebarang pelanggaran hak asasi manusia yang dikemukakan kepadanya.

-Tan Sri Hasmy Agam, Pengerusi Suhakam
#KL112 GAGAL PATUHI SYARAT

Logo Himpunan Kebangkitan RakyatIPOH - Penganjuran Himpunan Kebangkitan Rakyat kelmarin ternyata gagal malah penganjur telah melanggar beberapa syarat yang dipersetujui sebelum ini.

Ketua Pemuda Umno Perak, Khairul Azwan Harun berkata, antara syarat yang tidak dipatuhi itu adalah membawa atau merekrut kanak-kanak bersama mereka menyertai perhimpunan.

“Sudahlah syarat mereka langgar malah ada antara mereka membawa pelekat atau sepanduk menghasut dan ini boleh membawa kepada perpecahan atau permusuhan.

“Bukan itu sahaja, penganjur gagal mematuhi syarat yang dipersetujui iaitu menetapkan bilangan peserta tidak lebih 30,000 orang sahaja,” katanya.

Khairul Azwan menambah, seperti yang diperuntukkan dalam Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, memang menjadi satu kesalahan apabila peserta bawa kanak-kanak.

“Memang hak semua untuk berkumpul di bawah Akta Perhimpunan Awam namun peserta mengeksploitasikannya malah melanggar perintah untuk tidak membawa kanak-kanak.

“APA 2012 sudah nyatakan sedemikian namun mereka degil dan ia amat menyedihkan,” katanya.

Katanya, seharusnya penganjur harus memastikan syarat yang dipersetujui sebelum ini jalankan dan pelanggaran syarat terbabit nyata tidak menghormati perlembagaan negara. – Sinar Harian
#KL112 LIBATKAN KANAK-KANAK?

Polis mula siasat penganjur
Logo Himpunan Kebangkitan Rakyat
KUALA LUMPUR - Polis hari ini membuka kertas siasatan berhubung pelanggaran tiga syarat Himpunan Kebangkitan Rakyat, anjuran Pakatan Rakyat, yang berlangsung di Stadium Merdeka, di sini semalam.
Dipetik Bernama, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata, polis akan menjalankan siasatan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta memanggil beberapa individu.
Melalui rakaman CCTV, polis ada bukti penganjur melanggar syarat yang ditetapkan, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.
Tiga syarat itu ialah larangan membawa kanak-kanak berusia bawah 15 tahun; membawa plakad, sepanduk dan kain rentang berunsur hasutan serta peserta perhimpunan yang melebihi 30,000 orang.
Syarat terbabit adalah antara 27 yang dipersetujui penganjur dan polis, mengikut Seksyen 15 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Mengulas lanjut, Zainuddin berkata, rakaman CCTV antara lain menunjukkan ada ibu bapa membawa anak-anak kecil ke perhimpunan itu yang dianggar polis disertai 45,000 orang.
Penganjur mendakwa lebih 100,000 orang menyertai perhimpunan semalam. – Sinar Harian
 Peserta #KL112 Ingkar Akta, Bawa Kanak-Kanak Turun Padang
Antara kanak-kanak yang turut serta di Himpunan Kebangkitan Rakyat hari ini. Pic: Twitter @adamachoKUALA LUMPUR: Peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat (#HKR112, #KL112) dilihat melanggar Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 kerana membawa kanak-kanak dan remaja menyertai perhimpunan itu.
 Tinjauan Bernama di Masjid Negara di sini mendapati sekumpulan peserta yang berhimpun di kawasan masjid itu membawa bersama-sama kanak-kanak berusia antara enam bulan dan 15 tahun sebelum bergerak ke Stadium Merdeka. 
Kebanyakan peserta yang memakai kemeja-t hijau dan kuning dilihat turut berkumpul di KLCC, Kelab Sultan Sulaiman, Central Market, Brickfields, Jalan Sultan dan Dataran Merdeka sebelum bergerak ke Stadium Merdeka. Mereka juga mula berhimpun di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini, sejak 9 pagi. 
Di Jalan Tuanku Abdul Rahman, para peserta yang membawa kanak-kanak juga berhimpun di hadapan kompleks beli-belah Sogo sejak 8 pagi dan telah diberi amaran oleh pihak polis supaya tidak melibatkan kanak-kanak kerana ia melanggar undang-undang.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar sebelum ini menasihatkan penganjur dan peserta himpunan itu supaya mematuhi APA. Beliau berkata seseorang itu melakukan kesalahan jika bukan warganegara menyertai perhimpunan, menganjurkan perhimpunan di tempat larangan dan dalam jarak 50 meter dari had larangan.
Mereka juga melanggar APA jika menyertai dan menganjur protes jalanan, seseorang bawah umur 21 tahun menganjurkan perhimpunan, kanak–kanak menyertai perhimpunan (bawah 15 tahun), merekrut atau membawa kanak-kanak untuk perhimpunan. Ismail turut menegaskan jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda antara RM10,000 dan RM20,000. - Bernama /Malaysian Digest
HIMPUNAN #KL112 BERJAYA SEPERTI DIRANCANG - AZIZ BARI

SABAK BERNAM - Himpunan Kebangkitan Rakyat dilihat berjaya seperti mengikut perancangan yang ditetapkan sebelum ini. Bekas Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Aziz Bari berkata, sepanjang perhimpunan yang diadakan, tiada sebarang bentuk provokasi yang mampu mencetuskan kekecohan berlaku.

Menurutnya, tanpa berlakunya provokasi serta kempen mengarut Barisan Nasional (BN) melalui media yang dikawal mereka, himpunan tersebut berjaya mencapai sasaran yang dikehendaki.

“Semuanya lancar dan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini dan saya rasa himpunan kali ini amat berjaya malah ramai peserta dapat dihimpunkan bersama dengan aman,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Aziz BariMenurutnya, pihaknya menyarankan supaya badan berkuasa memansuhkan undang-undang yang tidak mesra perhimpunan memandangkan ia dilihat dapat mengundang kesan buruk.

Katanya, polis lebih disarankan supaya memberi fokus untuk mengawal kadar jenayah dan bukannya dipaksa oleh BN untuk berpolitik.

“Mereka (polis) perlu lebih memberi fokus untuk menjaga keamanan di negara ini dan saya harap agar mereka tidak lupa akan tujuan asal,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, rakyat kini semakin bijak dalam menilai pucuk pimpinan dan mereka lebih mengetahui perkhidmatan sesebuah pihak tersebut.

Katanya, jumlah yang hadir pada himpunan menjelaskan rakyat semakin berani pertahankan hak serta mahukan kerajaan yang adil.– Sinar Harian
#KL112 LANCAR KESAN AKTA PERHIMPUNAN AMAN - MUSA HASSAN

 #KL112: Tahniah semua!SHAH ALAM - Himpunan Kebangkitan Rakyat (#KL112) yang berlangsung di Stadium Merdeka kelmarin memberi gambaran keberkesanan undang-undang baru yang digubal dan dikuatkuasakan tahun lalu.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyifatkan Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah salah satu faktor #KL112 berjalan lancar.

Beliau berkata, undang-undang baru memberi syarat-syarat tertentu untuk dipatuhi dan pihak polis hanya menjalankan tugas mereka sebagai pemantau keselamatan dan lalu lintas.

"Jika sebelum ini sebarang perhimpunan yang ingin diadakan perlu mendapatkan permit polis. Kini, dalam Akta Perhimpunan Awam 2012, permit polis tidak diperlukan lagi.

"Walaupun begitu, syarat-syarat lain yang ditetapkan mesti dipatuhi tidak kira oleh pihak penganjur mahupun peserta," kata beliau kepada Sinar Harian.

Musa berkata, polis tidak akan mengambil tindakan sesuka hati sekiranya keadaan di tempat kejadian terkawal.

"Polis hanya menjalankan tugas mengawal keselamatan orang awam dan memastikan lalu linta berjalan lancar. Sekiranya tidak wujud sebarang provokasi daripada mana-mana pihak, polis tidak akan melakukan sebarang tindakan," katanya.

Sebelum ini, Musa mengingatkan pihak penganjur supaya tidak menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis tugas untuk mengawal keadaan ketika perhimpunan.

Katanya, hanya dengan mengikut syarat-syarat dan undang-undang di mana kedua-dua pihak, polis dan peserta bersikap baik, maka sebuah perhimpunan yang aman akan menjadi realiti.

Ini kali kedua perhimpunan parti politik yang diadakan di dalam stadium berjalan dengan lancar. Umno mengadakan perhimpunan ulang tahun penubuhan di Stadium Nasional Bukit Jalil Mei tahun lalu. – Sinar Harian