Friday, August 10, 2012

HANYA UMNO MAMPU SATUKAN ORANG MELAYU - DR MAHATHIR

BALING: Hanya Umno sebuah parti terbaik dalam menyatukan orang Melayu di negara ini dan membawa pembangunan kepada rakyat, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata ini kerana, Umno yang mula berpolitik membantu rakyat di negara ini mencapai kemerdekaan dan seterusnya membawa pembangunan manakala parti lain untuk orang Melayu, hanyalah parti serpihan.

"Dulu waktu kita kuat, kita tak mengada-ngada buat benda yang tak baik. Kita bangunkan negara kita sampai dunia iktiraf Malaysia sebagai negara membangun yang cukup maju.

"Ini hasil pentadbiran dilakukan sebuah parti (Barisan Nasional) yang diketuai Umno yang mewakili orang Melayu. Orang Melayu tiada niat tak baik kat kaum lain. Kita tolong mereka dan kita tolong diri kita juga," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Ihsan Ramadan dan Aidilfitri di Masjid Tok Bandar di sini, Khamis.

Turut hadir, isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan Penyelaras Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Dr Mahathir berkata kerana itu, orang Melayu perlu bersatu di bawah Umno walaupun parti itu kini dikatakan tidak begitu kuat dalam menyatukan orang Melayu berikutan perpecahan dalam kalangan kaum berkenaan.

"(Kalau nak bersatu) Takkan badan besar masuk serpihan. Yang serpihan yang kena kembali kepada asal. Ada orang nak jadi Perdana Menteri sampai sanggup pecahkan Umno untuk dapat sokongan bagi diri dia. Dia fikir diri dia sahaja dan bukan negara serta rakyat," katanya.

Dr Mahathir berkata perjuangan Umno adalah perjuangan benar kerana itu ketika beliau memimpin Umno, beliau sanggup menerima pemimpin daripada parti serpihan yang mahu kembali kepada Umno. - BERNAMA
SEKUMPULAN NGO ANJUR PERHIMPUNAN “JANJI BERSIH” PADA AMBANG MERDEKA
 
KUALA LUMPUR: Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama Bersih akan menganjurkan satu perhimpunan di Dataran Merdeka pada malam sambutan Hari Merdeka bagi mengulangi tuntutan penambahbaikan pilihan raya.

Wakil kumpulan itu iaitu Pengerusi bersama Bersih, Datuk A Samad Said berkata, perhimpunan itu yang dikenali sebagai “Janji Bersih” akan bermula pada pukul 10 malam pada 30 Ogos, bertempat di sebelah pancutan air berhampiran dengan tepi Dataran Merdeka.

Semua yang menyertainya diminta untuk memakai pakaian warna kuning.

“Objektif kami adalah untuk meminta rakyat Malaysia supaya sentiasa ingat bahawa sambutan kemerdekaan perlu berlandaskan demokrasi yang telus,” kata Samad pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina di sini, Khamis.

Beliau berkata, para penganjur belum lagi menjangkakan berapa ramai yang akan hadir tetapi katanya, perhimpunan yang seperti itu turut akan diadakan pada waktu yang sama di lokasi-lokasi lain seluruh negara dan semua orang, termasuk pemimpin parti politik akan dijemput untuk menyertainya.

Ketika ditanya sama ada para penganjur merancang untuk memohon permit daripada polis untuk menganjurkan majlis itu, aktivis politik, Hishammuddin Rais yang turut hadir pada sidang media dan menjawab mewakili penganjur berkata, isu itu tidak dibangkitkan.

Beliau berkata, ini kerana majlis tersebut adalah bermakna bagi membolehkan rakyat Malaysia menyokong terhadap tuntutan kepada pilihan raya yang bersih, untuk menyertai detik sambutan kemerdekaan yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada malam itu.

Bersih pada tahun lalu mengeluarkan lapan tuntutan terhadap kerajaan, di mana antaranya termasuk mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya.

Laporan PSC mengandungi 22 cadangan yang dibentangkan di Parlimen pada April dengan kerajaan kini mengkaji dan melaksanakan cadangan tersebut.
HAD LAJU DI JALAN PERSEKUTUAN, JALAN NEGERI DIKURANGKAN 10KM SEJAM BERMULA 12 OGOS - 26 OGOS

KUALA LUMPUR: Had laju di jalan persekutuan dan jalan negeri di seluruh negara akan dikurangkan sebanyak 10km sejam (km/j) dalam usaha memastikan keselamatan pengguna jalan raya ketika perjalanan 'balik kampung' untuk menyambut Aidilfitri.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, pengurangan kadar had laju itu akan dikuatkuasakan selama dua minggu bermula 12 Ogos sehingga 26 Ogos.

Katanya, sehubungan itu had laju bagi jalan persekutuan diturunkan kepada 80km/j daripada 90km/j dan jalan negeri ialah 70km/j daripada 80km/j.

"Langkah ini diambil bagi memberi kesedaran pada orang ramai mengenai keselamatan jalan raya yang mana kelajuan tinggi merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan angka kemalangan saban tahun.

"Justeru kerajaan berharap bahawa tindakan dan intervensi ini akan membawa impak positif dalam usaha mengurangkan kemalangan, kadar kecederaan parah sertakematian akibat kemalangan jalan raya," katanya kepada pemberita selepasmelancarkan Kempen Bersepadu Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan sempenaAidilfitri di Terminal Bersepadu Selatan di sini, Khamis.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah MatHassan, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Leslie Leon, KetuaPengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Salleh Yusup, Ketua PengarahInstitut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Dr Wong Shaw Voon dan TimbalanKetua Pasukan Bukit Aman ACP Mohd Fuad Abd Latif.

Kong berkata, semua kenderaan barangan yang membawa muatan berat bukan bekalan keperluan harian juga dilarang menggunakan lebuh raya di seluruh negara pada 17 dan 18 Ogos serta 25 dan 26 Ogos.

Katanya, larangan tersebut dikeluarkan bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna lebuh raya yang akan pulang ke kampung masing-masing sebelum dan selepas Aidilfitri.

Sementara itu, beliau berkata, Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) masih didalam peringkat percubaan dan dijangka beroperasi sepenuhnya selewatnya hujungtahun ini.

Katanya, pada masa ini, sistem tersebut telah dibangunkan di 10 lokasi 'blackspot' di seluruh negara dan sedang diuji keberkesanannya sebelum ianya dilaksanakan secara berperingkat.

"Kesemua kamera akan dipasang secara berperingkat dan buat masa ini kitalakukan percubaan terhadap sistem tersebut bagi memastikan pelaksanaannya nanti berjalan lancar dan berfungsi dengan betul".

Beliau berkata, sebagai langkah peringatan kepada pemandu, papan tanda pemberitahuan 'Zon Operasi Kamera' yang mencukupi akan dipasang dalam lingkungandua kilometer daripada lokasi kamera.

Sistem itu yang akan dilaksanakan di 825 kawasan berisiko kemalangan dan kawasan lampu isyarat pada mulanya dijangka dilaksana sepenuhnya di seluruh negara bermula 12 Ogos ini.

Dalam pada itu, Kong berkata, bagi memastikan keadaan bas dan pemandu dalamkeadaan baik, JPJ akan membuat pemeriksaan di 32 buah terminal utama di seluruh negara dengan memberi tumpuan kepada brek dan tayar bas.

"Demi memastikan pemandu bas ekspres bebas dari pengaruh dadah, pasukan narkotik dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan turut bersama membuat pemeriksaan di terminal-terminal bas utama di seluruh negara.

"Selain itu, JPJ juga akan mempunyai pasukan penyamaran sebagai penumpang bas ekspres untuk memerhatikan tingkah laku pemandu bas," katanya. - BERNAMA