Tuesday, August 7, 2012

77 SYARIKAT DISENARAI HITAM BANK NEGARA
PETALING JAYA: Kira-kira 77 syarikat yang terlibat dalam transaksi tanpa kebenaran dan salah di sisi undang-undang telah disenaraihitamkan oleh Bank Negara dengan RM100 juta dilaporkan lesap akibat jenayah komersial.

Difahamkan senarai syarikat tersebut tidak menyeluruh dan hanya berfungsi sebagai panduan untuk membantu orang ramai supaya lebih berjaga-jaga.

Senarai yang disiarkan dalam laman web (www.bnm.gov.my) merangkumi syarikat yang beroperasi tanpa lesen (38), terlibat dalam pelaburan emas (22) dan perdagangan mata wang asing atau lebih dikenali sebagai forex (17).

"Senarai itu akan dikemaskini setiap masa," kata Bank Negara dalam satu kenyataan.

Orang ramai dinasihatkan supaya waspada dengan syarikat dan individu yang menyalahgunakan surat perakuan dari Bank Negara untuk mendapatkan pelaburan.

"Surat tersebut bukan lesen perniagaan atau kelulusan daripada Bank Negara Malaysia berhubung dengan perniagaan terjadual," katanya.

Di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan, sesebuah syarikat yang menjalankan sama ada aktiviti pemajakan, pemfaktoran, kewangan pembangunan atau kredit bangunan hanya diperlukan untuk mendapatkan perakuan bertulis daripada Bank Negara Malaysia.

Surat itu dikeluarkan untuk tujuan perangkaan semata-mata dan akan ditarik balik sekiranya sesebuah institusi terjadual tidak, atau berhenti daripada menjalankan perniagaan terjadualnya, kata Bank Negara.

Bank Negara turut mengingatkan sesiapa yang berurusan dengan syarikat haram itu tidak dilindungi di bawah undang-undang tersebut.

"Orang ramai yang terlibat dengan aktiviti kewangan secara haram juga boleh didakwa kerana bersubahat dengan syarikat tersebut," katanya.

Bank Negara menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung urus niaga atau aktiviti secara haram dan mencurigakan itu supaya menghubungi talian 1-300-88-5465 atau emel bnmtelelink@bnm.gov.my.

Orang ramai perlu berhubung segera dengan Bank Negara sekiranya mereka mengesyaki penyalahgunaan lesen Bank Negara, nama dan jawatan pegawai kanannya dalam perkhidmatan kewangan atau perniagaan forex.

Menurut sumber Bank Negara, orang ramai perlu menghubungi Suruhanjaya Sekuriti dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk mengesahkan status syarikat yang menawarkan pelaburan kepada mereka.

Berikut sedikit info mengenai syarikat-syarikat yang terbabit: 




Sumber: (http://gengsilver.com/)
PENGGUNA PERLU BANTU PANTAU BARANGAN KAWALAN - ISMAIL SABRI

KUALA LUMPUR: Pengguna khususnya anggota Skuad Rakan Pengguna di seluruh negara perlu memantau dan melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengenai sebarang kenaikan harga terutamanya melibatkan barangan kawalan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata menjelang musim perayaan, peniaga seharusnya lebih bertimbang rasa dan bekerjasama dengan pengguna bagi kepentingan serta kebaikan bersama.

"Tiada sebab harga barang perlu dinaikkan. Pengguna juga boleh gunakan kuasa mereka memulaukan peniaga dan pekedai (yang menaikkan harga barang)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada warga media yang banyak berjasa dan telah meninggal dunia ketika menjalankan tugas sama ada di dalam atau luar negara.

Beliau berkata KPDNKK telah menggerakkan 60,000 anggota Skuad Rakan Pengguna di seluruh negara tahun ini bagi memantau aktiviti perniagaan yang tidak beretika pada musim perayaan Aidilfitri ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata skuad berkenaan yang terdiri daripada orang awam termasuk pelajar, penghulu dan ketua kampung akan bertindak sebagai pemantau harga barangan dan perkhidmatan, penyelewengan urusniaga serta perkara berkaitan kepenggunaan.

Seramai 11 warga media yang banyak berjasa dan waris kepada petugas media yang telah meninggal dunia ketika menjalankan tugas menerima sumbangan Ramadan pada majlis berbuka puasa KPDNKK bersama media itu. - BERNAMA
PAHANG SAMBUT BAIK PENUBUHAN JAWATANKUASA KAJI ROYALTI MINYAK

BENTONG: Kerajaan negeri Pahang menyambut baik penubuhan Jawatanakuasa khas bagi mengkaji bayaran hasil petroleum bagi negeri-negeri di Pantai Timur.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata penubuhan jawatankuasa tersebut sekaligus boleh menyelesaikan segala masalah dan kontroversi yang selalu ditimbulkan kerajaan Kelantan.

"Kita perlu beri peluang dan masa bagi jawatanakuasa tersebut membuat kajian agar hasrat murni kerajaan pusat itu diterima dengan baik.

"Saya akan menghadap Sultan Pahang dalam tempoh terdekat bagi melantik wakil daripada kerajaan negeri untuk menganggotai jawatankuasa tersebut," katanya kepada pemberita di sini semalam ketika diminta mengulas mengenai penubuhan jawatankuasa itu yang diumumkan Perdana Menteri kelmarin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad turut dianggotai pakar undang-undang dalam dan luar negara dan wakil daripada tiga kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Jawatankuasa tersebut akan membuat kajian menyeluruh dalam tempoh enam bulan mengambil kira semua aspek tuntutan dan membuat syor kepada kerajaan pusat.Terdahulu Adnan merasmikan upacara pecah tanah Projek Pembangunan Baru Yayasan Maahad Tahfiz Quran Adnan Yaakob berharga RM2.9 juta dekat sini.

Katanya maahad itu yang ditubuhkan 10 tahun lalu mempunyai 32 pelajar yang kini menghuni di bangunan sementara.

Adnan yang juga penaung yayasan itu berkata bangunan baru setinggi empat tingkat itu apabila siap kelak, berupaya menempatkan 160 pelajar yang bukan sahaja mahir dalam bidang keagamaan malah bidang akademik. Ia akan dilengkapi dengan kemudahan seperti dewan, pejabat, blok asrama dan kelas tahfiz. –BERNAMA/MStar
AGAMA ISLAM TIDAK HARUS DIPOLITIKKAN – PM

JOHOR BAHARU: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata agama Islam tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak di negara ini.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, agama Islam seharusnya diletakkan di tempat yang paling tinggi, sekali gus banyak permasalahan yang membelenggu umat Islam pada masa kini dapat diatasi.

"Jika politik mengatasi Islam dan diletakkan lebih tinggi maka banyak permasalahan menghantui umat Islam dan menyebabkan perpecahan yang kini telah jadi punca kelemahan umat Islam dan menjadi punca musuh-musuh Islam perlekehkan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis tadarus dan khatam al-Quran serta majlis berbuka puasa di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid, Taman Universiti, Skudai di sini, Isnin.

Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Johor Datuk Abd Ghani Othman dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Najib berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sendiri sentiasa mengutamakan Islam dalam mentadbir urus negara dan mengikut landasan serta tuntutan syiar Islam.

"Kita memajukan pentadbiran negara kita berdasarkan syariah dan itulah tuntutan Islam kepada kita dan antara lima perkara yang kita lakukan ialah menjaga Islam, sebab itulah kita dikenali negara Islam.

"Kita juga menjaga akidah Islam, jaga akhlak Islam, meningkatkan syiar Islam, menyediakan prasarana Islam, perundangan Islam dan sebagainya," katanya.

Perdana Menteri berkata kejayaan kerajaan menguruskan Malaysia dengan baik walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran mendapat pengiktirafan negara Islam yang lain sehingga menjadikan negara ini sebagai model negara Islam yang berjaya.

Dalam masa yang sama, katanya kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan kepada rakyat dan menyalurkan pelbagai jenis bantuan yang tidak dapat diperoleh di mana-mana negara di dunia ini.

"Malam tadi (semalam) saya berada di Bachok, Kelantan, rupanyanya ada bantuan yang saya sendiri tidak tahu iaitu bantuan gangguan binatang buas. Kalau kena patuk ular boleh dapat bantuan, mana ada kerajaan di dunia berbuat demikian," katanya.

"Inilah kerajaan yang jaga kebajikan kita secara menyeluruh di mana konsepnya kita hendak Islam dan dalam masa yang sama kita juga mahukan kemajuan serta pembangunan.

"Kita tidak mahu Islam dikaitkan kemiskinan, kita tidak mahu Islam dikaitkan dengan kelemahan dan kita mahu Islam yang dikaitkan dengan gagah serta perkasa kerana Allah sayangkan orang yang berjaya," katanya.

Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut menunaikan solat Maghrib berjemaah sebelum menikmati hidangan bersama Muhyiddin serta pemimpin parti komponen B Nyang lain.Beliau selepas itu menunaikan solat Isyak dan Tarawih sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur. – BERNAMA/MStar