Tuesday, October 9, 2012

KERJASAMA PAS-DAP BERCANGGAH DENGAN KEHENDAK ISLAM - SHAHNON


GEORGE TOWN: Perjuangan politik PAS kini tidak lagi menepati kehendak Islam apabila parti itu bekerjasama dengan DAP, kata Sasterawan Negara Profesor Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad.

Beliau berkata apa yang dilakukan oleh PAS sekarang ialah hanya menuruti kehendak politik DAP dan pendekatan seumpama itu bercanggah dengan kehendak Islam kerana PAS sepatutnya memimpin dalam memperjuang Islam.

Shahnon yang juga anggota PAS seumur hidup berkata adalah sangat menyedihkan kerana kerjasama PAS dengan DAP itu bukan seperti yang diharapkan dan ia bercanggah dengan pendekatan yang diambil Rasulullah SAW ketika memerintah dan bekerjasama dengan golongan bukan beragama Islam.

"Sepatutnya DAP tertakluk kepada peraturan Islam kalau mereka hendak bekerjasama dengan PAS," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Beliau yang juga bekas anggota Parlimen Sik berkata dasar PAS sekarang tersasar daripada perjuangan asalnya apabila terpaksa menuruti kehendak DAP.

DAP sebelum ini telah menyatakan tidak akan menyokong penubuhan negara Islam di negara ini seperti yang dimahukan PAS.
                              
Shahnon yang pernah bertugas sebagai Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, pendekatan Rasulullah SAW bekerjasama dengan kaum Yahudi, Kristian dan munafik bukanlah seperti kerjasama PAS dan DAP sekarang kerana ketika itu Islam yang memerintah dan memimpin kaum-kaum berkenaan. -BERNAMA/mStar
ORANG MELAYU PERLU BERSYUKUR - TUN MAHATHIR

Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa bimbang dengan sikap orang Melayu, khususnya generasi muda yang tidak bersyukur dan menghargai jasa kerajaan selama ini dalam memberi keselesaan kepada mereka.

Bekas Perdana Menteri itu berkata sebaliknya golongan tersebut menolak dan menuduh kerajaan sebagai "penindas".

Sebagai contoh katanya, apabila mereka dihantar belajar ke luar negara dan pulang ke tanah air, mereka menolak kerajaan yang memberi nikmat kepada mereka kononnya kerajaan tidak adil dan menindas orang lain.

"Kalau kita bersyukur, akan mendapat banyak lagi nikmat, sebab itu, kita perlu selalu bersyukur sekali gus dapat membentuk masyarakat yang baik dan mampu berjaya," katanya ketika sesi soal jawab pada majlis sarapan bersama alumni Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah Melaka 1982-1986, di sini, Isnin.

Katanya ramai dalam kalangan generasi muda juga mudah terpengaruh dengan pihak tertentu dan gagal menggunakan pengetahuan mereka dengan bijaksana.

"Selain daripada ilmu pengetahuan, apa yang lebih penting ialah nilai moral kerana ilmu saja tidak akan membentuk mereka menjadi sesuatu yang baik...ilmu tidak menjamin generasi muda dan akan datang untuk memimpin kemajuan negara," katanya.Sehubungan itu katanya pelajar perlu disemai dengan nilai-nilai positif serta mempelajari sejarah agar mampu mempertahankan diri daripada pengaruh negatif.

Dr Mahathir berkata pembangunan dan keharmonian dikecapi hari ini tidak akan kekal jika rakyat hidup dalam suasana bertelagah dan berpecah-belah.

Keamanan dan keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum merupakan anugerah yang tidak ternilai kerana tidak semua negara menikmatinya, katanya. -BERNAMA/mStar
UMAT ISLAM DIGESA TANGANI ISU YANG DIHADAPI SECARA INTELEKTUAL

Umat Islam perlu bersedia secara intelektual bagi menangani isu-isu yang dihadapi mereka, kata Anggota Majlis Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Beliau menjelaskan bahawa dunia Islam kini berdepan masalah seperti kemiskinan, buta huruf, keselamatan makanan, ketidakstabilan politik dengan negara-negara yang bergolak, dan juga pemindahan manusia di tempat-tempat seperti Palestin, Syria dan Myanmar.

Abdul Aziz, yang juga Pengerusi Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak)juga merujuk kepada percubaan-percubaan terbaru bagi mengecam Islam atas nama kebebasan.

"Isu-isu kontemporari ini perlu dicabar secara intelektual, secara lebih berhemah, tanpa menimbulkan kekecohan dan kemarahan yang tidak membawa ke manapun," katanya pada majlis Konvokesyen UIAM ke-28 di kampus universiti itu di Gombak, di sini. "Ini merupakan landskap baru yang perlu kita tangani. Saya menyeru kepada suatu kandungan yang lebih inovatif, kritikal dan relevan yang terbenam dalam teras korpus pengetahuan kita," katanya.

Abdul Aziz berkata walaupun dianugerahkan dengan kekayaan minyak dan gas yang boleh didapati di hampir kesemua negara umat Islam, mereka kekal terpinggir.

Beliau menjelaskan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)dengan 20 peratus daripada penduduk dunia hanya mengeluarkan tujuh peratus daripada output global.

"Pada masa sama, jutaan daripada mereka menderita akibat kurang zat makanan dan berpendapatan kurang daripada US$1 sehari," katanya sambil mengesyorkan mungkin wakaf korporat yang diperkenalkan di Malaysia ditukar kepada wakaf berdaulat bagi membantu umat yang miskin. –BERNAMA/mStar