Thursday, April 4, 2013

PRU13 BUKAN PERTANDINGAN ANTARA INDIVIDU TAPI PARTI – TUN M

PUTRAJAYA: Selaras dengan pembubaran Dewan Rakyat pada Rabu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengingatkan penyokong Barisan Nasional (BN) agar mendahulukan parti tanpa mengira individu yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.

"Ini pertandingan antara parti, bukan pertandingan antara orang perseorangan kerana hanya parti saja yang boleh tubuh kerajaan, jadi mereka mesti tentukan parti mereka menang.

"Kalau mereka betul-betul setia pada parti, jangan kira siapa jadi calon. Kalaupun di situ dia letak calon MCA, Umno mesti sokong. Kalau dia letak calon Umno, MCA, MIC mesti sokong kerana kita hendak parti BN menang," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Rabu.

BN diyakini akan memenangi PRU13 nanti, malah mungkin dengan majoriti dua pertiga berdasarkan pengundi, termasuk pengundi Cina kini dilihat kembali kepada BN berdasarkan respons daripada siri perjumpaan yang dihadiri pemimpin parti, katanya.

Ditanya sama ada beliau akan kembali bertanding untuk menyahut cabaran penasihat DAP Lim Kit Siang supaya beliau bertanding bagi kerusi Parlimen Gelang Patah, Johor, Dr Mahathir berkata beliau tidak mahu bertanding lagi memandangkan beliau sudah bersara dan Lim yang sepatutnya mengikut jejak beliau.

"Dia patut bersara sebab dia aktif dalam politik ini sejak tahun 1964, bagilah can (peluang) kepada orang muda. Saya bagi peluang pada orang muda sebab itu saya letak jawatan pada 2003.

"(Lim) Kit Siang ini walaupun dia seorang ahli politik yang berpengalaman dan berpengaruh, tapi tiba masanya dia tarik diri, tak usah bertandinglah, bagilah peluang pada orang muda," katanya.

Dr Mahathir sebelum itu menerima kunjungan bekas ahli PAS seumur hidup Zainon Ismail yang memohon maaf kepada beliau.

Zainon atau lebih dikenali dengan nama CN Afghani mengaku pernah merancang membunuh Dr Mahathir pada tahun 1988 kerana terpengaruh dengan 'Amanat Haji Hadi' yang menyatakan bahawa Umno kafir. BERNAMA/mStar


PRU13: ANWAR DIJANGKA GANTI LIM KIT SIANG DI KERUSI PARLIMEN IPOH TIMOR

Pada tahap ini semua pihak sudah mengetahui 'hero' pakatan pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan mempertahankan kerusinya di Permatang Pauh.

Melainkan untuk seketika (diambil alih oleh isterinya Wan Azizah Ismail), Anwar adalah wakil rakyat Permatang Pauh sejak 1982 - iaitu sejurus selepas beliau menyertai Umno.

Setakat ini masih tidak diketahui bagaimanakah perasaan dan reaksi para penyokong setia Anwar di Permatang Pauh dengan keputusan terbarunya itu.

Anwar sendiri mengakui terpaksa turun padang untuk bersemuka dan memujuk jentera bawahannya agar rasa kecewa dan marah mereka jangan sampai membantutkan peluang penggantinya menang di kerusi berkenaan nanti.

Namun Anwar enggan menjawab siapakah bakal pengantinya itu. Tetapi ramai kini yang menunjuk ke arah Nurul Nuha iaitu seorang lagi anak perempuannya yang seringkali mengiringi Wan Azizah pulang ke sana.

Mengapa Perak?

Berkeras mahu meninggalkan Permatang Pauh, Anwar membayangkan kepada pihak media yang beliau sudah membuat keputusan untuk berpindah kerusi ke Perak dengan alasan untuk memastikan matlamat pakatan pembangkang menawan Putrajaya tercapai.

Tapi persoalan yang timbul ialah mengapa Anwar berminat untuk menjadi calon 'payung terjun' di Perak?

Jika dirujuk perkiraan atas kertas tentang rekod pakatan pembangkang di negeri yang terkenal dengan kraftangan labu sayong itu, pada 2008, PKR mengetuai jumlah kerusi yang ditandingi di peringkat Parlimen iaitu sebanyak 10 kerusi berbanding PAS dan DAP masing-masing dengan tujuh kerusi.

Bagaimanapun rekod kemenangan PKR sangat buruk kerana hanya memenangi tiga kerusi Parlimen iaitu di Bagan Serai, Sungai Siput dan Gopeng.

Lebih memburukkan rekod PKR apabila Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri bertindak keluar parti itu dan menjadi ahli Parlimen Bebas.

Difahamkan penghijrahan Anwar ke Perak dilihat sebagai strategi pembangkang khususnya bagi membantu PKR negeri itu menyumbang lebih banyak kerusi di peringkat Parlimen.

Tidak dipertikaikan, Anwar memang satu nama besar di kalangan penyokongnya, namun disebalik kekuatan yang ada padanya, beliau masih perlu berhati-hati dalam memilih kerusi yang bakal ditandinginya.

Sokongan Cina

Melihat kepada 24 senarai kerusi Parlimen yang ada di Perak, besar kemungkinan Anwar bakal mencuba nasib di kerusi Ipoh Timor.

Ia disokong dengan perkembangan terkini apabila penyandang kerusi berkenaan iaitu veteran DAP, Lim Kit Siang memutuskan untuk bertanding di kerusi Parlimen milik PKR di Gelang Patah, Johor.

Sebagai ganti, DAP akan turut mengorbankan kerusi mereka kepada Anwar di Perak. Ini adalah satu perkiraan yang logik.

Lebih logik lagi, dalam situasi sekarang Anwar tidak mahu mengambil risiko dengan para pengundi Melayu.

Sebaliknya beliau berasa lebih yakin yang dirinya akan diterima dengan tangan yang terbuka oleh para pengundi bukan Melayu.

Oleh yang demikian, Ipoh Timor dengan majoriti pengundi di kawasan berkenaan terdiri daripada masyarakat Cina adalah pilihan yang semulajadi dan tepat.

Pengundi di Parlimen Ipoh Timor terdiri daripada Cina (81.07 peratus), Melayu (13.09 peratus), India (5.27 peratus) dan lain-lain 0.57 peratus. - mStar
PRU13: AMALKAN POLITIK MATANG – RAJA DR.NAZRIN

Kuala Kangsar: Pemimpin parti politik diingatkan bijak berpolitik melalui amalan demokrasi yang matang bagi menjamin kelancaran proses PRU-13.

Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah, bertitah pilihan raya adalah satu proses yang memberikan hak dan peluang kepada warga negara untuk memilih kerajaan dan wajib dihargai.

Bantu jamin pilihan raya aman

Justeru titah baginda, semua pihak dan setiap rakyat perlu membantu menjamin pilihan raya berlangsung dalam keadaan aman dan tenteram berteraskan semangat keluhuran Perlembagaan dan mendaulatkan undang-undang.

“Parti-parti politik terutama barisan pimpinannya hendaklah mencerminkan sifat penuh bertanggung jawab dengan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan perpaduan warga.

“Dalam usaha untuk mendapatkan sokongan, perkara yang berpotensi mengguris perasaan warga berhubung sensitiviti agama, kaum, budaya dan bahasa hingga ke peringkat yang boleh menjejaskan hubungan harmoni dan perpaduan hendaklah dijauhkan sama sekali.

“Adalah wajib dipelihara dan wajib dipastikan tidak diucap sebarang perkataan dan tidak dilakukan sebarang perbuatan yang boleh menghalang kelancaran perjalanan pilihan raya,” titah baginda ketika menzahirkan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-12 di Istana Iskandariah di sini, semalam.

Pada istiadat itu baginda memperkenankan dan menandatangani Watikah Perkenan Pembubaran DUN ketika menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bagi mendapatkan perkenan pembubaran itu. - BHarian

PRU13: PAS SEDIA TAMBAH CALON MUSLIMAT, BUKAN ISLAM

MARANG: PAS akan mempertaruhkan calon Muslimat untuk bertanding mewakili parti itu bagi 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, berkata calon Muslimat adalah sebahagian pertaruhan parti itu untuk memenangi PRU-13, selain calon bukan Islam yang dipilih daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sendiri.

Tanding 76 kerusi Parlimen
 
Beliau berkata, PAS akan bertanding di 76 daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen pada PRU-13 dan bakinya adalah pembahagian yang akan dibuat antara DAP, PKR termasuk parti pembangkang di Sabah dan Sarawak.

“PAS bakal menambah lebih ramai calon Muslimat selain muka baru, serta mengekalkan muka lama untuk bertanding termasuk di lebih 200 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.

“Calon sudah dimuktamadkan termasuk calon bukan Islam daripada DHPP merangkumi kaum Tionghua, India dan Iban di Sarawak,” katanya pada sidang media di kediamannya di Rusila di sini, semalam.

Hadi berkata, secara keseluruhan (pembahagian kerusi Parlimen) yang akan ditandingi pakatan pembangkang sudah selesai dan kalau ada pun ia lebih kepada masalah teknikal yang akan diselesaikan dalam masa terdekat, iaitu sebelum penamaan calon.

Keputusan Hadi

Ditanya sama ada beliau sudah membuat keputusan untuk bertanding atau kekal di Parlimen Marang yang diwakilinya sekarang, Hadi berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada parti untuk menentukannya.

Mengenai desas desus beliau mahu memberi laluan kepada anaknya, Muhammad Khalil untuk bertanding di DUN Rhu Rendang, beliau berkata PAS tidak menjadikan kedudukan wakil rakyat sebagai warisan turun temurun. - BHarian