Thursday, April 4, 2013

PRU13: PAS SEDIA TAMBAH CALON MUSLIMAT, BUKAN ISLAM

MARANG: PAS akan mempertaruhkan calon Muslimat untuk bertanding mewakili parti itu bagi 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, berkata calon Muslimat adalah sebahagian pertaruhan parti itu untuk memenangi PRU-13, selain calon bukan Islam yang dipilih daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sendiri.

Tanding 76 kerusi Parlimen
 
Beliau berkata, PAS akan bertanding di 76 daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen pada PRU-13 dan bakinya adalah pembahagian yang akan dibuat antara DAP, PKR termasuk parti pembangkang di Sabah dan Sarawak.

“PAS bakal menambah lebih ramai calon Muslimat selain muka baru, serta mengekalkan muka lama untuk bertanding termasuk di lebih 200 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.

“Calon sudah dimuktamadkan termasuk calon bukan Islam daripada DHPP merangkumi kaum Tionghua, India dan Iban di Sarawak,” katanya pada sidang media di kediamannya di Rusila di sini, semalam.

Hadi berkata, secara keseluruhan (pembahagian kerusi Parlimen) yang akan ditandingi pakatan pembangkang sudah selesai dan kalau ada pun ia lebih kepada masalah teknikal yang akan diselesaikan dalam masa terdekat, iaitu sebelum penamaan calon.

Keputusan Hadi

Ditanya sama ada beliau sudah membuat keputusan untuk bertanding atau kekal di Parlimen Marang yang diwakilinya sekarang, Hadi berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada parti untuk menentukannya.

Mengenai desas desus beliau mahu memberi laluan kepada anaknya, Muhammad Khalil untuk bertanding di DUN Rhu Rendang, beliau berkata PAS tidak menjadikan kedudukan wakil rakyat sebagai warisan turun temurun. - BHarian

No comments:

Post a Comment