Tuesday, June 11, 2013

PENGANALISIS: UMNO AKAN MUNDUR JIKA LAKSANA SISTEM KUOTA PRESIDEN, TIMBALAN

SHAH ALAM – Penganalisis berpendapat, Umno akan kembali mundur sekiranya sistem kouta diperkenalkan semula dalam pemilihan jawatan presiden dan timbalan presiden dalam pemilihan parti itu akan datang.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, sistem pemilihan sedia ada untuk jawatan tertinggi itu sudah memadai dan lebih baik berbanding sistem kuota yang diamalkan sebelum ini.

Jelasnya sekiranya sistem itu dilaksanakan semula, Umno akan dilihat sebagai sebuah parti tidak demokratik kerana menyekat kebebasan ahlinya bertanding dan memilih pemimpin mereka.

"Saya fikir, kalau diperkenalkan balik sistem kuota, Umno jadi tidak demokratik.

"Dengan sebab itu, kalau kita perkenalkan balik kuota dan sebagainya, maka itu seolah-olah mengembalikan Umno seperti zaman dulu yang mana ada seolah-olah ada sekatan untuk mana-mana pihak untuk bertanding dalam parti.

"Sepatutnya sebagai parti demokratik, Umno tidak harus membiarkan parti itu dilihat tidak demokratik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang mengesyorkan supaya sistem kuota pencalonan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden Umno diperkenalkan semula pada pemilihan parti itu pada masa akan datang.
 
Sementara itu, Pensyarah Sains Politik dan Kajian Politik Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, pelaksanaan sistem kuota dilihat tidak wajar dan kena pada tempatnya kerana ia menghalang ruang demokrasi dalam Umno.

Katanya, pembaharuan dan transformasi diuar-uarkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa tahun lalu perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penilaian dan andaian yang tidak berasas.

“Sistem kuota itu yang menghalang orang lain bertanding dan ia tidak wajar diteruskan.

“...ia sepatutnya beri ruang demokrasi dan hak kepada ahli peringkat bahagian untuk memilih pemimpin mereka.

“Jika mengikut tradisi Umno sebelum ini, ia hanya melibatkan perwakilan di lebih 200 bahagaian sahaja,” katanya.

Shaharuddin menegaskan, sistem baru itu mampu menarik orang Umno dari pelbagai peringkat untuk bertanding, sekaligus menafikan dakwaan bahawa Umno dikuasai oleh kelompok tertentu sahaja.

Katanya lagi, usaha mendemokrasikan Umno tidak seharusnya dihantui dengan sistem kouta yang jauh kebelakang beberapa tahun lalu.

“Ia tidak kira sesiapa pun dan terbuka kepada setiap ahli parti untuk bertanding dalam Umno.


“Jika sistem kuota diamalkan lagi, hilanglah ruang demokrasi, buat apa halang konsep demokrasi,” katanya.-Sinar Harian
LAGU NEGARAKU PULA MANGSA PENGHINAAN

KUALA LUMPUR: Bukit Aman mengesan tindakan melampau pemilik akaun Facebook dikenali sebagai Mohd Farizal dipercayai menyiarkan kata-kata penghinaan terhadap lagu kebangsaan negara, Negaraku.
Mohd Farizal dipercayai graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyiarkan lirik lagu kebangsaan yang diubah suai menggunakan perkataan lucah, menghina dan berbaur hasutan terhadap Raja dan keadaan negara ini.

Mohd Farizal dipercayai graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyiarkan lirik lagu kebangsaan yang diubah suai menggunakan perkataan lucah, menghina dan berbaur hasutan terhadap Raja dan keadaan negara ini.

Kesan identiti sebenar

BH difahamkan, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan untuk mengesan identiti sebenar pemilik akaun terbabit.

Tulisan Mohd Farizal itu disiarkan semalam mendapat maklum balas negatif dan dikecam pengunjung laman berkenaan.

Cetus kemarahan

Sebelum ini, akhbar pada Ahad melaporkan, seorang pemegang akaun Facebook, menggunakan nama ‘Programmer Calvin Gani’ yang membuat penghinaan melampau terhadap Nabi Muhammad SAW.

Kelmarin, Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengenal pasti dan menyerahkan siasatan terhadap dua individu yang menghina Nabi Muhammad SAW melalui Facebook.

Dua akaun Facebook yang menggunakan nama Calvin Gani dan Rakyat Anarki mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini apabila memaparkan kenyataan menghina Nabi.

Minggu lalu, seorang wanita pemilik akaun Facebook berusia 32 tahun ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan selepas didapati menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 1 Jun lalu. -BHarian

DBKL TOLAK PERMOHONAN ADAKAN HIMPUNAN “BLACK 505” DI PADANG MERBOK

PETALING JAYA: Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan daripada penganjur perhimpunan “Black 505” untuk mengadakannya di Padang Merbok pada 22 Jun.

Datuk Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib pada Isnin bagaimanapun berkata, beliau terbuka untuk bertemu dengan Pakatan Rakyat bagi membincangkan mengenai kemungkinan untuk mengadakan perhimpunan di kawasan yang lebih tertutup, di mana katanya, beliau tidak mempunyai masalah untuk meluluskannya.

“Terdapat beberapa sebab kenapa kami memutuskan untuk menolak permohonan terbaru mereka selepas mengadakan pertemuan dengan polis.

“Pertamanya ialah Padang Merbok sudah pun disewakan oleh Majlis Olimpik Malaysia untuk mengadakan Larian Olimpik pada 23 Jun.

“Mereka memerlukan padang itu sehari sebelumnya untuk persediaan logistik untuk majlis mereka. Dan mereka telah memohon lokasi itu pada akhir tahun lepas,” katanya kepada para pemberita pada Isnin.

Ahmad Phesal berkata, beliau turut mengambil pertimbangan mengenai padang itu, yang terletak di sepanjang Jalan Parlimen, yang merupakan penghubung jalan utama seperti Jalan Hishamuddin, Jalan Kuching, Jalan Raja Laut, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Raja.

“Jalan Raja merupakan salah satu jalan utama yang menyokong kebanyakan jalan dalam dan luar bandar. Maka adalah sebaik-baiknya bagi kami untuk menasihatkan mereka untuk mengadakannya di kawasan tertutup bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, memandangkan majlis mereka akan berlangsung dari pukul 11 pagi sehingga 6 petang.

“Kebanyakan peniaga turut membuat permohonan untuk membuka gerai pada hari berkenaan, maka kami perlu memastikan mereka diberikan kawasan yang bersesuaian untuk beroperasi. Kawasan terbuka seperti Padang Merbok tidak sesuai untuk mereka,” katanya.

Ketiganya, Datuk Bandar menyuarakan kebimbangan bahawa perhimpunan itu mungkin akan menjejaskan landskap Jalan Parlimen di mana katanya, ia telah dicantikkan dengan pelbagai jenis tanaman.

Bagaimanapun, Ahmad Phesal berkata, beliau terbuka untuk duduk berbincang dengan wakil Pakatan Rakyat pada 14 Jun untuk membincangkan mengenai perjanjian bersama mengenai lokasi baru perhimpunan itu.

Kedua-dua DBKL dan polis telah memberikan lampu hijau untuk perhimpunan itu, cuma lokasinya sahaja tidak dipersetujui.

“Mereka sepatutnya mempertimbangkan lokasi tertutup, seperti sebuah stadium yang mereka lakukan di Selangor,” katanya, sambil menamakan Stadium Titiwangsa dan Stadium Merdeka sebagai pilihan mereka.


DBKL menolak permohonan daripada para penganjur “Black 505” untuk mengadakan perhimpunan di Padang Merbok pada 22 Jun, sambil mengatakan padang itu perlu bersedia untuk penganjuran Larian Olimpik pada hari berikutnya. -mStar
PEMBANGKANG TANGGUH ‘BLACK505’ 22 JUN

PETALING JAYA: Himpunan Black505 yang dijadualkan pada Sabtu ini ditangguhkan ke 22 Jun kerana berlaku pertindihan dengan dua program yang diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada tarikh asal.

Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli berkata, penundaan perhimpunan yang sepatutnya dijadualkan pada Sabtu ini dibuat selepas mengambil kira rayuan penganjur program lain yang terlebih dahulu mempunyai program di lokasi dan tarikh yang sama.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak akan berlaku lagi sebarang perubahan tarikh selepas ini walau apa jua alasan diberikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melengah-lengahkan permohonan mengadakan perhimpunan di Padang Merbok.

"Ini adalah ketetapan akhir kita. Tidak akan ada sebarang perubahan selepas ini tidak kira apa alasan yang diberikan DBKL," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Isnin.

Selain itu Mohd Rafizi yang juga Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa terdapat dua program yang akan diadakan di padang tersebut pada Sabtu ini iaitu Karnival Kitar Semula dan majlis perkahwinan yang telah membuat permohonan lebih awal.

Beliau menegaskan permohonan untuk menggunakan padang tersebut pada Sabtu depan telah dikemukakan pada Jumaat lepas.

"Oleh itu, tiada lagi alasan untuk DBKL melengah-lengahkan permohonan ini. Hormati hasrat rakyat Wilayah Persekutuan yang ingin berhimpunan secara aman di padang tersebut.

"Kita juga dapat pengesahan bahawa semasa permohonan dibuat pada 7 Jun lalu, tidak ada mana-mana pihak yang membuat permohonan mengadakan acara di Padang Merbok pada Sabtu depan," katanya.

Beliau berkata notis untuk mengadakan perhimpunan pada tarikh tersebut akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Selasa iaitu dalam tempoh 10 hari seperti yang dituntut Polis Diraja Malaysia (PDRM).