Thursday, March 7, 2013

TEROWONG PULAU PINANG TIDAK RELEVAN SEKARANG - PENSYARAH

KUALA LUMPUR - Pulau Pinang tidak perlukan satu lagi jambatan atau terowong untuk tempoh 20 tahun akan datang kerana infrastruktur yang ada hari ini sudah memadai, kata seorang pensyarah.
  
Pensyarah Perancangan Bandar dan Wilayah UiTM Prof Madya Ahmad Fuzi Arshad berkata, cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk mewujudkan terowong bawah laut yang menghubungkan pulau itu ke tanah besar dilihat tidak relevan berdasarkan keperluan semasa.
  
Beliau berkata apa jua perancangan ia perlu dibuat berdasarkan kepada keperluan dan penilaian isi padu lalu lintas oleh pakar pengangkutan.
  
"Saya tidak nampak keperluan untuk membina terowong ini dalam masa 20 tahun ini sebab Jambatan Pulau Pinang yang sedia ada dan projek jambatan Pulau Pinang kedua sudah mencukupi buat masa sekarang. Lainlah kalau satu daripada jambatan ini runtuh," katanya kepada Bernama.
  
Lim baru-baru ini mengumumkan pembinaan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion bagi menghubungkan Gurner Drive di pulau dengan Bagan Ajam sebelah tanah besar bertujuan mengurangkan kesesakan serta berpeluang menambah pendapatan negeri itu.
  
Ahmad Fuzi berkata, kalau hendak ikutkan laluan Singapura dan Johor lebih tinggi isi padu lalu lintasnya berbanding di Pulau Pinang, dan pada pandangannya setiap pakar pengangkutan boleh menjangkakan pertambahan kenderaan di atas jalan raya dan akan membuat perkiraan serta menentukan masa yang sesuai untuk dibina sesuatu terowong atau jambatan.
  
Projek yang dijangka menelan belanja RM8 bilion itu merupakan janji yang sukar ditepati dan kos buat terowong ini lebih mahal daripada jambatan, dan sudah semestinya memerlukan campur tangan kerajaan pusat dari segi peruntukan serta akan melibatkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam, katanya.   

Ahmad Fuzi berkata, kos juga boleh meningkat mengikut harga pasaran mentah semasa dan kalau tidak cukup bajet, mungkin pihak swasta akan ambil alih dan jika keadaan ini berlaku, rakyat yang terpaksa membayar dan ini akan menimbulkan isu lain pada masa hadapan.
  
Pengarah Urusan AJM Planning and Urban Design Group Norliza Hashim turut bersetuju dengan pandangan Ahmad Fuzi bahawa projek itu tidak relevan pada masa ini, dan tidak menjadi satu keperluan memandangkan jambatan kedua dijangka siap September ini.
  
"Banyak lagi alternatif yang lebih efisien dan tidak menelan belanja yang tinggi misalnya meningkatkan kapasiti jambatan Pulau Pinang seperti mengadakan laluan kereta api atau LRT (Transit Aliran Ringan) pada satu daripada lorong jambatan itu," katanya.
   
Norliza juga mencadangkan kerajaan atau pihak swasta memajukan sistem pengangkutan air di Pulau Pinang seperti mewujudkan teksi air yang sangat popular seperti di New York (Amerika Syarikat), Cardiff (United Kingdom) dan Melbourne (Australia). – Bernama/SinarHarian

PENCEROBOHAN LAHAD DATU: BUKAN SEMUA TEMPAT DI SABAH TAK SELAMAT

PUTRAJAYA: Insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah sedikit sebanyak turut memberi kesan kepada industri pelancongan negara, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Menurutnya, sebanyak 24 pakej pelancongan dari Filipina membatalkan kunjungan ke Malaysia, manakala tiga pelancong dari United Kingdom (UK) yang sepatutnya meneruskan penerbangan ke Kota Kinabalu, Sabah menukar haluan masing-masing ke Pulau Langkawi, Kedah.

“Saya ingin memaklumkan kepada orang ramai tidak semua tempat di Sabah tidak selamat, cuma jangan pergi ke Lahad Datu dan Semporna atas faktor keselamatan. Sebuah hotel di Pulau Penyu, Sandakan juga ditutup sementara waktu.”

 “Anggota tentera turut berkawal di kawasan pulau bagi memastikan tahap keselamatan kawasan berkenaan. Kehadiran tentera bukan selepas kejadian di Lahad Datu, tetapi mereka berkawal di kawasan pulau sebelum insiden pencerobohan berlaku,” katanya pada sidang media pelancaran Festival Kasut Antarabangsa Malaysia (MISF) 2013 di sini, semalam.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya sentiasa mendapatkan maklumat perkembangan terkini daripada Lembaga Pelancongan Sabah mengenai kejadian berkenaan serta kesannya terhadap industri pelancongan khususnya di negeri itu.

“Maklumat terkini akan disampaikan kepada kita setiap 12 jam. Kita mahu memastikan keselamatan pelancong sepanjang berkunjung ke negara ini. “Saya percaya insiden ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya. – HMetro

JAMALUL KIRAM III BUKAN SULTAN SULU SEBENAR, KATA KERABAT DIRAJA

KUALA LUMPUR: Jamalul Kiram III, yang mengaku sebagai Sultan Sulu dan pengikutnya menceroboh Sabah serta membunuh anggota polis Malaysia, tidak boleh menuntut gelaran yang sudah tidak wujud lagi itu, kata sumber yang tahu dengan mendalam sejarah dan salasilah keluarga berkenaan.

Oleh itu, katanya, Jamalul Kiram 111 tidak berhak mengaku sebagai waris kepada sultan Sulu terakhir, Jamalul Kiram II, yang mangkat pada 1936.

Sumber itu seterusnya menjelaskan bahawa Jamalul Kiram III bukan merupakan keturunanan kepada sembilan "waris sah" Jamalul Kiram II, seperti yang tercatatdalam "Penghakiman Macaskie" pada 1939 untuk melayakkannya menerima bayaran bagi penyerahan wilayah Sabah, yang ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara, kepada British North Borneo Company (BNBC).

Sumber berkenaan, yang amat mengenali anggota kerabat diraja kesultanan Sulu serta begitu memahami sejarahnya, berkata mengikut salasilah keluarga, walaupun Jamalul Kiram III merupakan kerabat diraja, beliau bukan berketurunan waris utama yang berhak menerima bayaran penyerahan wilayah berkenaan.

"Apabila Jamalul Kiram II mangkat pada 1936, baginda tidak meninggalkan waris takhta secara langsung dan dengan itu, BNBC berhenti daripada membuat bayaran bagi penyerahan wilayah. Berikutan itu, sembilan waris berkenaan secara berkumpulan membawa perkara tersebut ke mahkamah untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai pihak yang berhak menerima bayaran tahunan itu," kata sumber berkenaan.

Pada 1939, Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo Utara Hakim Macaskie, membuat keputuan yang menyebelahi waris berkenaan dan dengan itu, bayaran tahunan itu disambung semula. Kerajaan Malaysia meneruskan bayaran itu berikutan penubuhanpersekutuan Malaysia.

Pada 2011, keturunan sembilan waris utama Jamalul Kiram II memperoleh perintah sebuah mahkamah Sulu yang mengiktiraf mereka sebagai keturunan secara langsung kepada sembilan waris berkenaan.

Generasi kedua waris ini ialah Dayang-Dayang Piandao Taj-Mahal Kiram-Tarsum Nuqui, Putli Nurhima Kiram-Forman, Siti Ayesha K.H Sampang, Sulatan Fuad A. Kiram, Dayang-Dayang Sheramar T. Kiram, Puteri Permaisuri Kiram Guerson dan Sitti Jenny K.A Sampang.

"Oleh itu, beliau (Jamalul Kiram III) tidak boleh mendakwa sebagai waris atau keturunan kepada mana-mana sembilan waris utama itu," kata sumber berkenaan. – BERNAMA/mStar