Wednesday, January 30, 2013

KE MANA NASHA SELEPAS INI?

-Rencana oleh:  Muhamad Mat Yakim/Sinar Harian
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam seakan menunjukkan pintu kepada Nasharudin Mat Isa supaya segera keluar meninggalkan Pas. Maksud ini diperlihatkan menerusi kenyataannya bahawa Nasha kini sudah boleh memilih mana-mana parti yang mahu disertainya - seumpama seorang wanita yang sudah diceraikan.

"Selepas itu (diceraikan), mana-mana lelaki lain nak buat bini, ambillah ..." Demikian Nik Aziz dilaporkan berkata.

Meneliti perkembangan terbaru konflik dalaman parti itu, boleh disimpulkan bahawa perjuangan Nasha bersama Pas yang digelumanginya sejak zaman pelajar di Jordan, sudah hampir berakhir.

Sekarang adalah masa untuk beliau membuat keputusan, sama ada meneruskan karier sebagai ahli politik sepenuh masa yang telah menjadi bidangnya sejak dilantik sebagai Setiausaha Agung Pas pada 1999, menyertai mana-mana pertubuhan bukan kerajaan terutama yang memberi perhatian terhadap isu-isu kemanusiaan di Timur Tengah, khususnya Palestin, ataupun kembali semula ke bilik kuliah sebagai ahli akademik.

Apa sahaja bidang yang disertainya, Nasha sememangnya adalah ahli dan mempunyai reputasi yang tinggi. Cumanya, jika beliau memilih untuk terus menjadi ahli politik, parti manakah yang akan dipilih?

Nik Aziz semalam sudah mengingatkan, jika Nasha menganggap dirinya seorang pejuang Islam, di negara ini tidak ada parti yang memperjuangkan Islam selain Pas. Jika beliau memilih Umno, bagi Nik Aziz, Umno adalah parti yang menolak Islam dan memilih perjuangan kebangsaan (assobiyah).

Itu kenyataan Nik Aziz. Soalnya, adakah Nasha - yang pernah jadi orang nombor dua Pas selama tiga penggal berturut-turut - pun berpendirian seperti itu juga?

Mengenali Nasha, beliau bukan seorang ulama konservatif seperti kebanyakan ulama dalam Pas. Meskipun di peringkat awal kontroversi yang meletakkan dirinya di atas bara ketika isu Kerajaan Perpaduan berkumandang pada 2009, Nasha dikatakan hanya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya oleh Majlis Syura Pas untuk mengatur rundingan dengan pemimpin Umno, beliau sebaliknya tidak pernah mengundur daripada laluan yang telah dirintis untuk terus berhubungan mesra dengan pemimpin Umno.

ILMU SEDIA TERIMA NASHARUDIN

SHAH ALAM - Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia (Ilmu), menerima dengan tangan terbuka sekiranya bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berhasrat menyertainya.

Pengerusinya, Fathul Bari Mat Jahya berkata, atas asas dan wadah perjuangan menegakkan Islam yang sama, penyertaan Nasharudin amat dialu-alukan.

Menurutnya, kerjasama Nasharudin sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Al-Quds Malaysia amat diperlukan.

“Tidak timbul masalah untuk beliau menyertai Ilmu, meskipun masih lagi menjadi ahli Pas. Ilmu merupakan NGO yang proUmno dan bukannya sepenuhnya dengan Umno.

“Bagaimanapun, tiada paksaan untuk Nasharudin. Terpulang kepadanya untuk membuat keputusan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Fathul Bari sebelum itu membalas cadangan pihak tertentu supaya Nasharudin menyertai Ilmu dalam laman sosial Twitter miliknya.

Dipetik dalam tweetnya, Fathul Bari membalas, ‘ahlan wa sahlan’ atas cadangan tersebut dan menyifatkan Nasharudin sebagai seorang yang menghormati perjuangan dan pandangan orang lain.

Majlis Syura Ulama Pas, pada mesyuarat yang dipengerusikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 13 Januari, menggugurkan Nasharudin sebagai anggota majlis itu kerana didapati melanggar peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh parti.

Keputusan menggugurkan Nasharudin diambil setelah mendapati tindak-tanduk beliau kebelakangan ini merugikan parti. – Sinar Harian
SARINGAN SPRM: PAS TAKUT BAYANG-BAYANG SENDIRI
 
KEMAMAN - Pas kelihatan takut dengan bayang sendiri bila tidak bersedia menyerahkan senarai nama calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk saringan.

Menyatakan demikian, Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, parti pembangkang itu memang tidak berani menentukan bersih atau tidaknya bakal calon mereka.

“Sudah menjadi sikap Pas dan pakatan pembangkang yang suka menentang prosedur termasuk berkaitan saringan oleh SPRM. Kita (Barisan Nasional) memang akur dengan saringan yang dibuat oleh SPRM kerana mahu pastikan calon kita bersih dan tidak timbul masalah kemudian, berbanding Pas,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

“Pas yang gemar menuduh Umno/BN terbabit rasuah, penyelewengan dan sebagainya, cepat-cepat desak dan pergi ke SPRM untuk disiasat, tetapi apabila pemimpin mereka sendiri terbabit, mereka tidak lapor pun untuk disiasat,” katanya.

Beliau mengulas keputusan Pas tidak akan menyerahkan senarai nama bakal calon mereka kepada SPRM, sebagaimana dilakukan Umno dan BN, kerana percaya semua calon mereka bersih.

Baru-baru ini, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sehingga ini Pas berpuas hati dengan semakan dan siasatan senarai nama calon yang dibuat jawatankuasa dalaman parti itu yang telah diteliti Majlis Syura. –Sinar Harian
ADA LAGI PEMIMPIN KANAN PAS DIJANGKA DIPECAT DARI MAJLIS SYURA ULAMA

KUALA TERENGGANU - Seorang pemimpin kanan Pas dijangka dipecat sebagai Ahli Majlis Syura Ulama parti itu, kata bekas pengikut setia parti itu Zainon Ismail.

Katanya beliau difahamkan antara nama yang disebut-sebut berada dalam senarai pemecatan oleh Majlis Syura Ulama Pas ialah Ketua Dewan Ulama parti itu Datuk Harun Taib.

Beliau berkata tidak mustahil perkara itu berlaku selepas bekas Timbalan Presiden parti itu Nasharudin Mat Isa digugurkan sebagai ahli majlis itu pada 13 Januari lalu.

"Majlis Syura Ulama Pas adalah badan tertinggi parti itu dan apabila keputusan dibuat oleh majlis itu, maka ia tidak perlu dipertikaikan lagi oleh mana-mana pihak dalam parti berkenaan," kata Zainon yang juga seorang penulis buku dengan nama penanya, C.N.Al-Afghani.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program diskusi 'Dilema dan Ranjau Perjuangan Islam di Malaysia' yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Sebelum ini, akhbar tempatan melaporkan pemecatan Nasharudin sebagai Ahli Majlis Syura Ulama parti itu berikutan tindak tanduknya yang didakwa boleh merugikan parti itu. – Bernama/Sinar Harian
TANGANI ISU KALIMAH ALLAH DENGAN CERMAT, TITAH TENGKU ABDULLAH

KUANTAN - Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini bertitah, isu kalimah Allah, yang kini menjadi polemik semasa, perlu ditangani dengan cermat dan tidak sepatutnya menjadi perbahasan terbuka.

Titah baginda ia perlu dibincang secara tertutup di kalangan ilmuan, ahli agama dan pemimpin politik.

Baginda juga menyeru umat di negara ini supaya berdiri teguh mempertahan kalimah Allah dan kalimah lain yang telah dinyatakan tidak boleh digunakan bukan Islam sama ada di media elektronik dan cetak.

"Pihak lain seharusnya mengambil perhatian serta menghormati sensitiviti agama masing-masing agar kesejahteraan rakyat berbilang bangsa dan agama tidak tergugat," titah baginda pada majlis pelancaran dan penyerahan dana Tabung Palestin-Gaza di sini, hari ini.

Baginda bertitah, di negeri Pahang, larangan penggunaan, penyataan, penyebaran, percakapan, apa-apa bentuk penerbitan sama ada media cetak atau eletronik menggunakan kalimah Allah oleh orang bukan Islam yang boleh mengelirukan atau memesongkan akidah umat Islam telah termaktub dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam No. 5 tahun 1989.

"Majlis Fatwa Kebangsaan dalam Muzakarah ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 juga mengeluarkan fatwa bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam dan adalah wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah itu, ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," titah baginda. - Bernama /Sinar Harian