Showing posts with label SPRM. Show all posts
Showing posts with label SPRM. Show all posts

Monday, July 1, 2013




ISU DAKWAT KEKAL: SPRM SIASAT SPR 

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan badan tersebut sedang menyiasat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan sama ada terdapatnya unsur-unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah dalam pembelian dakwat kekal.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali berkata, satu pasukan penyiasat sudah pun dibentuk bagi membuat siasatan terperinci ke atas setiap laporan dan aduan yang diterima.

“Saya hanya boleh mengesahkan bahawa SPRM menyiasat isu ini sama ada terdapatnya penyelewengan dalam pembelian dan spesifikasi (dakwat kekal),” katanya.

Difahamkan pasukan ini sudah dibentuk sejak minggu lalu berikutan rungutan orang ramai berkenaan penggunaan dakwat kekal padaPRU13, 5 Mei lalu, yang didakwa tidak kekal. -Sinar Haria

Wednesday, January 30, 2013

SARINGAN SPRM: PAS TAKUT BAYANG-BAYANG SENDIRI
 
KEMAMAN - Pas kelihatan takut dengan bayang sendiri bila tidak bersedia menyerahkan senarai nama calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk saringan.

Menyatakan demikian, Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, parti pembangkang itu memang tidak berani menentukan bersih atau tidaknya bakal calon mereka.

“Sudah menjadi sikap Pas dan pakatan pembangkang yang suka menentang prosedur termasuk berkaitan saringan oleh SPRM. Kita (Barisan Nasional) memang akur dengan saringan yang dibuat oleh SPRM kerana mahu pastikan calon kita bersih dan tidak timbul masalah kemudian, berbanding Pas,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

“Pas yang gemar menuduh Umno/BN terbabit rasuah, penyelewengan dan sebagainya, cepat-cepat desak dan pergi ke SPRM untuk disiasat, tetapi apabila pemimpin mereka sendiri terbabit, mereka tidak lapor pun untuk disiasat,” katanya.

Beliau mengulas keputusan Pas tidak akan menyerahkan senarai nama bakal calon mereka kepada SPRM, sebagaimana dilakukan Umno dan BN, kerana percaya semua calon mereka bersih.

Baru-baru ini, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sehingga ini Pas berpuas hati dengan semakan dan siasatan senarai nama calon yang dibuat jawatankuasa dalaman parti itu yang telah diteliti Majlis Syura. –Sinar Harian

Friday, January 25, 2013

GAGAL UJIAN TAPISAN SPRM: 4 MENTERI DINASIHAT TAK TANDING PRU13

MUKA DEPANSHAH ALAM – Beberapa parti politik dijangka terpaksa menggugurkan nama-nama besar daripada menjadi calon mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pengguguran itu tidak boleh dielakkan kerana beberapa tokoh itu gagal dalam ujian tapisan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mempunyai masalah dengan undang-undang.

Antara nama-nama besar yang disebut sebagai mereka yang dijangka tidak akan dicalonkan semula akibat masalah berkenaan ialah seorang menteri besar, seorang ketua menteri dan dua pemimpin tinggi sebuah parti.

Difahamkan, perkembangan terbaru ini disedari setelah urusan awal tapisan senarai calon yang diserahkan beberapa parti kepada SPRM untuk tapisan menjelang PRU13 selesai, baru-baru ini.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, ratusan nama calon sudah diserahkan kepada SPRM dan berikutan tapisan yang dilakukan, beberapa nama-nama besar telah gagal saringan.

Berdasarkan hasil ujian tersebut, parti-parti yang terlibat telah dinasihatkan tidak meletakkan nama-nama besar yang bermasalah itu sebagai calon mereka.

Maklumat yang diterima Sinar Harian menunjukkan nama-nama besar yang gagal ujian tapisan tidak boleh diletakkan sebagai calon dan jika dicalonkan juga, ia akan memberi implikasi kepada parti terbabit.

Ketika dihubungi Sinar Harian, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdul enggan memberi sebarang komen mengenai perkara tersebut.

Beliau sekadar menegaskan bahawa Cawangan Tapisan Keutuhan, Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat SPRM masih membuat tapisan ke atas senarai calon yang dihantar parti-parti politik.

Katanya, parti-parti yang akan meletakkan calon dalam PRU13  masih terus menghantar nama-nama calon masing-masing untuk tapisan dan ada yang akan terus menghantar senarai tersebut walaupun selepas Parlimen dibubarkan nanti. – Sinar Harian

KD: Pemimpin adalah idola n teladan kepada rakyat. Jika ada yang tidak kena dengan peribadi pemimpin, sewajarnya undurlah diri, sebelum menjadi bualan dan tohmahan.