Tuesday, April 23, 2013

PRU13: MICHELLE YEOH SERU SOKONG PM

KUALA LUMPUR - Pelakon antarabangsa kelahiran Ipoh, Perak, Datuk Michelle Yeoh secara terbuka meminta rakyat supaya memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, Najib merupakan pemimpin yang telah melakukan banyak perkara bagi membangunkan negara dan sudah pastinya beliau akan melakukan lebih lagi selepas ini.

"Saya setulus hati berharap beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri, dan saya meminta anda semua memberikan mandat yang kukuh kepadanya supaya beliau dapat memimpin negara ke arah masa depan yang lebih cerah," katanya kepada kira-kira 60,000 orang pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Pelabuhan Klang, semalam.

Pada majlis tersebut, Najib menegaskan jika perubahan yang dicari rakyat, mereka harus memberikan mandat sekali lagi kepada Barisan Nasional (BN) kerana kerajaan sememangnya sedang melakukan perubahan menerusi pelbagai program transformasi. –UTUSAN ONLINE
PRU13: ANWAR BERANGAN-ANGAN JADI PM?

PARIT - Walaupun belum ada kesepakatan dalam pakatan pembangkang mengenai siapa akan menjadi Perdana Menteri jika mereka menang pilihan raya umum kali ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berangan-angan mengangkat sumpah memegang jawatan tersebut.

Malah, Ketua Pembangkang itu sudah mencipta skrip ucapan sebaik sahaja sah bergelar Perdana Menteri nanti.

"Mereka umum (kemenangan) lewat 2 pagi, jadi tidak boleh angkat sumpah sebab Yang di-Pertuan Agong sudah tidur, kena buat esoknya.

"Lepas (angkat sumpah) itu, TV3 dan RTM datang beratur nak temuramah. Saya kata pergi belakang dulu, kasi pengajaran sikit," katanya dalam ceramah yang dihadiri kira-kira 1,500 penyokong pembangkang di Kampung Teluk Sena, Lambor Kiri di sini malam tadi.

Seperti biasa, Anwar menggunakan pentas ceramah untuk menabur janji manis tanpa menjelaskan langsung mengenai kegagalan pakatan pembangkang mengotakan janji manifesto 2008 kepada rakyat Selangor.

Pada 12 Februari lalu, media melaporkan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh sekali lagi menegaskan Anwar akan menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum ini.

Penegasan itu dibuat oleh Karpal susulan wujudnya dakwaan kononnya Majlis Syura Ulama Pas menolak Anwar bagi menduduki jawatan berkenaan selain menganggapnya sebagai satu spekulasi.

Namun, semasa Muktamar Pas pada November tahun lalu, terdapat perwakilan termasuk daripada Dewan Ulama Pas, Hairun Nizam mencadangkan agar jawatan Perdana Menteri bagi pakatan pembangkang diberi kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut Hairun, ahli Pas tidak sepatutnya melobi pemimpin luar daripada Pas untuk mengisi jawatan tersebut selain menganggap Abdul Hadi merupakan calon yang sesuai. –UTUSAN ONLINE
PRU13:  WUJUD JURANG BESAR ANTARA PARTI PEMBANGKANG

SEMPORNA - Kekalutan dalam kalangan pembangkang terutamanya bagi merebut kerusi pilihan raya umum akan datang, membuktikan wujudnya jurang besar kesepakatan parti komponen Barisan Nasional (BN) dengan gabungan cuba dibentuk Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, berbanding pembangkang, BN terbukti mampu mengatasi sebarang masalah secara baik menerusi permuafakatan parti-parti komponennya sekali gus membantu perjalanan kempen berjalan lancar.

"Memanglah apabila diumumkan calon, ada yang tidak puas hati. Tetapi melalui permuafakatan, kini segalanya selesai sehinggakan parti-parti kecil seperti PPP juga diberi peluang bertanding di beberapa kerusi menyebabkan kami dapat terus menumpukan perhatian kepada kempen.

"Berbeza dengan pembangkang, mereka gagal mencari kata putus menyebabkan Pas, DAP, PKR dan parti-parti lain terutama di Sabah bertembung sesama sendiri. Itu belum lagi diungkit pertelagahan di negeri yang ditadbir sebelum ini seperti di Kedah melibatkan DAP dan Pas," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas meluangkan masa lebih lima jam berkempen serta melawat lima pusat mengundi di sekitar Pulau Bum Bum yang mempunyai kira-kira 30,000 penduduk di sini hari ini.

Mengulas keyakinan pembangkang untuk menakluk Sabah, Shafie sambil tersenyum meminta rakyat untuk mengingati semula ucapan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak tahun lalu.

Menurutnya, ketika itu, Anwar melalui siri ceramahnya penuh yakin mengatakan pembangkang akan memerintah Sarawak. Namun keputusan pengundian menunjukkan PKR serta rakan sekutu, Pas tidak menang satu kerusi pun.

"Nilailah seseorang menerusi tindakan dan bukan ucapannya semata-mata. Di Sabah ini mereka sudahlah tiada 'gergasi' yang boleh diharapkan, bergaduh pula untuk merebut kerusi seperti di Batu Sapi di mana Pas bertanding di kawasan yang majoriti pengundinya adalah masyarakat Cina.

"Bukan itu saja, di Kota Kinabalu yang dikatakan kubu kuat mereka, ahli DAP bercakaran sesama sendiri menyebabkan parti itu retak. Kami yakin bukan saja Kota Kinabalu, malah beberapa lagi kubu pembangkang dapat ditawan sekali gus membawa kejayaan cemerlang kepada BN pada 5 Mei nanti," katanya. -UTUSAN ONLINE
PRU13: DAP DICABAR BUKTIKAN RAMALAN PEMBANGKANG MENANG PRU

PUTRAJAYA - Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan terdapat laporan polis dibuat berhubung kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mendakwa polis terlibat mendedahkan maklumat mengenai ramalan kemenangan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ketua Bahagian Pendakwaan jabatan itu, Abdul Wahab Mohamed berkata, pihaknya percaya siasatan sedang dijalankan dan masih terlalu awal untuk jabatan berkenaan mengeluarkan sebarang ulasan mengenainya.

''Memang satu laporan polis telah dibuat berhubung kenyataan beliau dan kes itu masih dalam siasatan, jadi AGC tidak dapat memberi sebarang ulasan buat masa ini,'' katanya pada sidang akhbar di jabatan itu hari ini.

Abdul Wahab mengulas tindakan yang boleh diambil terhadap pemimpin kanan DAP itu berhubung dakwaannya yang mengaitkan penglibatan polis mendedahkan butir rahsia berhubung ramalan pilihan raya.

Minggu lalu, Kit Siang dalam blognya http:// blog. limkitsiang.com mendakwa, Pakatan Rakyat (PR) dijangka menang sebanyak 145 kerusi mengalahkan Barisan Nasional (BN) sebanyak 77 kerusi berdasarkan ramalan dari Bukit Aman.

Berikutan itu, polis mencabar Kit Siang mengemukakan bukti jika benar dakwaannya terdapat anggota dan pegawai polis yang bertindak mendedahkan maklumat sulit berhubung ramalan pilihan raya.

Abdul Wahab turut memaklumkan sebanyak 13 lagi individu akan didakwa di beberapa Mahkamah Majistret di seluruh negara esok atas pelbagai kesalahan yang melanggar keharmonian proses pilihan raya. -UTUSAN ONLINE
PRU13: PAKATAN BAKAL BERCERAI BILA-BILA MASA - PM

KUCHING - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pakatan palsu pembangkang boleh disifatkan seperti 'perkahwinan politik' secara kontrak atau perkahwinan mutaah yang boleh bercerai pada bila-bila masa sahaja.

Katanya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang secara diam-diam turut memaki hamun Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mendapati dirinya terjerat dengan strategi pembangkang untuk bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah yang dikatakan bakal menjadi 'kubur' kerjaya politiknya.

"Perkahwinan politik dalam kalangan parti-parti komponen BN (Barisan Nasional) pula merupakan perkahwinan jangka panjang. Talak kita adalah talak raj'i (boleh rujuk) manakala talak mereka pula adalah talak bain, iaitu talak yang tidak boleh rujuk lagi.

"Sebab itu mereka bertelagah dan bertanding sesama sendiri di kerusi sama. PAS lawan PKR, PKR lawan DAP. Itu maknanya mereka telah mula merungkai perkahwinan mutaah tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri pertemuan dengan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi kawasan Kuching di Kem Penrissen, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan serta Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Redzuan Baharuddin.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan dalam pada itu sempat menyindir beberapa ahli BN yang bertanding sebagai calon Bebas dengan menyifatkan mereka sebagai seseorang yang kecewa dan merajuk.

"Yang satu tu frust menantu tak jadi calon, yang seorang lagi nak bertanding di Parlimen, kita bagi jadi calon DUN (Dewan Undangan Negeri).. tak nak lalu merajuk," katanya.

Dalam perkembangan lain Zahid memberitahu kedudukan Datuk Dr. Tiki Lafe sebagai Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) akan diputuskan selepas laporan lengkap mengenainya diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Kata beliau, pelantikan Tiki sebagai Pengerusi MLKN adalah mengikut Akta Latihan Khidmat Negara yang terletak di bawah bidang kuasa Tuanku Abdul Halim.

Katanya, beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyerahkan laporan mengenai perkara tersebut sebaik sahaja mendapat perkenan baginda.

"Keputusan mengenai beliau (Tiki) akan dibuat selepas saya menghadap Tuanku dan perkara ini tidak semestinya sebelum atau selepas pilihan raya, sebaliknya pada bila-bila masa sahaja Tuanku berkenan," katanya.

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) menyaksikan Tiki yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Mas Gading bertanding sebagai calon Bebas menentang calon Barisan Nasional, DAP dan Parti Reformasi Negeri (STAR) dalam pertembungan empat penjuru di kawasan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahidi memberitahu, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berpotensi mencatat pendapatan keseluruhan (PBT) mencecah RM1 bilion pada tahun ini, sekali gus diyakini mampu menawarkan dividen sehingga 18 peratus.
PRU13: LAGI GESAAN TOLAK ANWAR

PERMATANG PAUH 23 April - Masyarakat digesa menolak Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa gagal membela nasib orang Melayu dan Islam di negara ini.

Presiden Majlis Pendekar Malaysia (MPM), Tan Sri Omardin Mauju berkata, Anwar banyak melakukan kemudaratan kepada negara serta menjadi alat kepada DAP untuk memerintah negara ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Himpunan Gempur P044 Parlimen Permatang Pauh yang dihadiri kira-kira 500 orang sini malam tadi. - UTUSAN ONLINE